Artikel

Karya Agung Melayu di Pesta Buku Frankfurt 2009

31 Jan 2010

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mula menyertai pesta buku terbesar di dunia, iaitu Pesta Buku Frankfurt secara serius pada tahun 2008. Pada awalnya, tujuan penyertaan pesta buku yang telah berusia lebih separuh abad ini adalah untuk melonjakkan pemasaran dan jualan buku terjemahan di peringkat luar negara, selain memperkenalkan karya asli daripada bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Sekali lagi pada 14-18 Oktober 2009, ITNM melaburkan wang ringgit dalam jumlah yang besar bagi menyertai Pesta Buku Frankfurt kerana ia merupakan lubuk pertemuan semua penerbit antarabangsa yang saban tahun mencecah 7,000 pempamer daripada lebih 100 negara di seluruh dunia, serta dikunjungi lebih 280,000 pengunjung perdagangan dan persendirian.

Sekiranya pada tahun 2008, ITNM melancarkan buku Lat The Kampung Boy (versi bahasa Jerman) karya Dato’ Lat, pada tahun ini pula karya terjemahan sastera epik pahlawan legenda, The Epic of Hang Tuah telah dilancarkan oleh Konsul Besar Malaysia di Frankfurt, Encik Saiful Azam Abdullah. Majlis perasmian yang mengambil konsep klasik Hang Tuah turut diserikan dengan persembahan pencak silat dan alunan syair yang diselang-seli dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Encik Saiful menyifatkan penerbitan terjemahan karya agung Melayu tersebut sebagai “sastera bersejarah” dan memuji langkah ITNM melancarkan produk yang mendapat pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO di pesta antarabangsa itu. Ternyata strategi tersebut berkesan kerana menurut Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron, The Epic of Hang Tuah telah menerima pertanyaan dan minat mendalam daripada pelbagai penerbit antarabangsa yang bersedia untuk menterjemahkan naskhah tersebut dalam bahasa kebangsaan masing-masing.

Penyertaan ITNM di pesta buku tersebut turut disertai lapan agensi tempatan, iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dewan Bahasa dan Pustaka, Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., E-Magineers (M) Sdn. Bhd., Future Ace Publishing Sdn. Bhd., Mastery Academy of Chinese Metaphysics, dan Yusof Gajah Lingard Literacy Agency Sdn. Bhd.

Sebagai mempromosikan 1Malaysia di peringkat antarabangsa melalui pesta perdagangan terpenting ini, ITNM menampilkan gerai terbuka dengan konsep “Pavilion Malaysia”, yang menghimpunkan kesemua delegasi di dalam satu ruang, bukan lagi berasingan. Kaedah ini bertujuan untuk menampilkan jenama Malaysia selain memaparkan gagasan kesatuan melalui perdagangan hak cipta dan penerbitan.

Sebagai langkah mempromosikan sasterawan dan penulis Malaysia pula, ITNM menyertakan biodata penulis di katalog serta paparan gambar Sasterawan Negara dan Pemenang Anugerah SEA Write di dinding pavilion. Semua daya usaha ini bagi membuka mata dunia akan kewujudan karya Malaysia yang ternyata mempunyai nilai moral dan intelek yang bertaraf antarabangsa. 

Maklumat Berkaitan

  • ITNM di Pesta Buku Frankfurt 2009