ITBM Logo

Artikel

Siaran Media Majlis Penyampaian Hadiah & Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 Kumpulan Utusan-ITNM

20 Dec 2011

 

  • KUALA LUMPUR, 13 Disember, 2011 – Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah diadakan petang tadi dan disempurnakan oleh Menteri Kewangan II Malaysia, YB. Datuk Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah di Auditorium PNM, Jalan Tun Razak. 
  • Anugerah Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM merupakan kesinambungan daripada dua sayembara yang sama sejak dimulakan pada tahun 1992 oleh Kumpulan Utusan. Anugerah tersebut diwujudkan khas bagi mengenang jasa Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako, tokoh persuratan Melayu dan sasterawan yang berani dan tajam penulisannya. Kebitaraan beliau dalam penulisan terserlah melalui karya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang kritis mengagungkan budaya Melayu serta lantang mengkritik penjajah Inggeris. 
  • Keseriusan karya yang dihasilkan oleh Pak Sako ini menjadi penanda aras bagi penganjur Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM memperoleh lebih banyak novel sastera yang mapan serta mampu memugar pemikiran pembaca tempatan dan antarabangsa. Sayembara ini juga diharapkan dapat menjadi platform bagi penggiat sastera berekspresi melalui penulisan secara serius dengan menekankan hasil karya yang mempunyai pemikiran mendalam. 
  • Kumpulan Utusan yakin dengan kesudian ITNM sebagai rakan kerjasama pintar bukan sahaja untuk projek kali ini, tetapi juga untuk projek Hadiah Sako seterusnya merupakan tindakan bijak demi memartabatkan penulisan sastera ke tahap global. Penglibatan ITNM yang berterusan dalam mengetengahkan karya-karya penulis Malaysia di persada dunia terutama melalui penglibatan ITNM di pesta-pesta buku seluruh dunia seperti di Frankfurt, London dan Tokyo memungkinkan karya pemenang-pemenang Hadiah Sako dapat dibaca oleh peminat buku tanpa batasan bahasa dan sempadan, di mana novel pemenang akan diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan dipasarkan ke luar negara. 
  • Lima judul karya yang terpilih daripada 39 manuskrip ini telah dinilai oleh barisan panel yang mempunyai kepakaran mengenai penulisan dalam dunia sastera Melayu. Penilaian ini telah dijalankan menerusi dua peringkat saringan sebelum karya-karya yang dilancarkan hari ini dipilih. Anugerah Sako menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000 untuk pemenang tempat pertama, RM15,000 bagi pemenang tempat kedua dan RM5,000 bagi pemenang tempat ketiga. Hadiah wang tunai bernilai RM1,000 juga telah diberikan kepada dua buah karya sebagai hadiah penghargaan. 
  • Turut hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM ialah YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi ITNM; YBhg. Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan; YBhg. Dato’ Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah PNM; YBhg. Datuk Mohd Nasir Ali, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan; YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITNM; dan YBhg. Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, Pengarah Eksekutif, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D). 

Maklumat Berkaitan

SIaran Media Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional

18 Dec 2011

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN PENA & PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KALI KETIGA 

  • KUALA LUMPUR, 16 Disember, 2011 – Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga telah diadakan malam tadi dan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB). 
  • Semasa Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, berucap mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak dan semua tetamu ke majlis ini, beliau menyatakan betapa perlunya hubungan baik dan erat antara penulis dengan kepimpinan Negara. Beliau juga mewakili semua penulis dalam kalangan generasi muda menyatakan sokongan terhadap perencanaan Kerajaan dalam membangunkan Negara dan bersedia membantu Kerajaan melalui bidang penulisan dan persuratan. 
  • Dalam ucapan perasmian, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak menekankan peranan Kerajaan terhadap perkembangan kegiatan penulisan dan kesusasteraan di Malaysia. Kehadiran dan amanat Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam majlis ini ternyata mendapat maklum balas yang baik daripada tetamu yang hadir yang terdiri daripada penggiat sastera tempatan. 
  • Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan Tokoh PENA kepada Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain), pemenang S.E.A. Write Award Tahun 1980 yang juga mantan Presiden PENA. Anugerah ini merupakan penghargaan atas pengorbanan besar beliau semasa menerajui PENA sehingga menjadi persatuan penulis yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di negara ini. Beliau menerima watikah penghargaan, hadiah iringan, sepersalinan baju Melayu, dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak. 
  • Pada majlis sama, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak juga melancarkan tiga buku terbitan PENA yang berjudul Takah Lima Puluh: Antologi Puisi Sempena 50 Tahun PENA, Antologi Karya Sasterawan 2011 dan Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran yang merupakan himpunan makalah semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009. 
  • Turut hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga ialah Pengerusi ITNM, YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; dan Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron. Selain dihadiri penulis muda yang menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga, majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa Sasterawan Negara, pemenang S.E.A. Write Award, persatuan-persatuan penulis dan juga penggiat industri buku di Malaysia. 

Maklumat Berkaitan

Siaran Media Majlis Memperkenalkan Buku “Menjuarai Transformasi”

01 Dec 2011

 

 SIARAN AKHBAR

  • Buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) terbitan terkini Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mendedahkan inspirasi Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak terhadap pembangunan bangsa dan Negara sehingga mencetuskan aspirasi supaya bangsa Malaysia berdiri sama tinggi dengan bangsa negara luar yang maju. Sungguhpun beliau menggariskan strategi untuk membina sebuah Negara bangsa yang berdaya saing, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak di dalam buku ini tetap mengingatkan supaya bangsa Malaysia sentiasa memperkukuh jati diri dan menjunjung semangat demokrasi serta mempertahankan hak kebebasan individu dalam politik. 
  • Selain itu, buku yang diterbitkan dalam bentuk dwibahasa dengan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris ini mengandungi 11 bab yang turut menyentuh secara tuntas tentang proses melestarikan kelangsungan kepimpinan UMNO di persada politik kebangsaan:
  1. Melayu dan Kepimpinan/Malay and Leadership
  2. Memperkukuh Jati Diri/Reinforcing Identity
  3. Meneraju Bangsa/Leading the People
  4. Menyatu Bangsa Membina Negara/Uniting the People to Build the Nation
  5. Mendukung Keluhuran Perlembagaan/Upholding the Supremacy of the Constitution
  6. Meneraju Negara/Helming the Nation
  7. Rakyat dan Demokrasi/People and Democracy
  8. Berdiri Sama Tinggi/Standing Equal
  9. Pencetus Perubahan/The Catalyst of Change
  10. Hak, Kebebasan dan Keselamatan Negara/Rights, Freedom and Security
  11. Transformasi untuk Menjuarai Kegemilangan/Transformation to Driving Excellence
  • Empat bab awal menjadi teras buku ini. Manakala tujuh bab seterusnya disampaikan dalam perspektif yang berbeza. Dalam semua empat bab awal ini, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak melontarkan wawasannya dan cara beliau untuk mengangkat bangsa Malaysia khususnya Melayu dalam membentuk mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Hal ini kerana beliau sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama, iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai addin dan kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial.
  • Bab-bab seterusnya pula menerangkan secara jelas kepentingan mekanisme lain dalam usaha Kerajaan pimpinan Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak memastikan kestabilan perpaduan nasional, iaitu dengan menyeimbangkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Hal ini kerana Kerajaan kini amat memahami perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial, manakala keadilan sosial pula tidak akan tercipta jika tiada kestabilan politik yang serta kemakmuran ekonomi.
  • Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak melalui buku ini juga mengajak pembaca tanpa mengira latar belakang politik dan keturunan untuk berani melaksanakan perubahan serta transformasi yang bersesuaian dengan keperluan semasa demi mengukuhkan kekuatan negara dan bangsa, terutamanya bangsa Melayu.
  • Buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) merupakan kesinambungan daripada tiga buah buku terdahulu, iaitu buku Menakhoda Zaman (Helming the Times), diikuti buku kedua dalam versi empat bahasa (Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang berjudul Jawapan Najib, dan buku ketiga, Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan. Bagi memastikan isi kandungan buku terbaharu ini menepati keupayaan pembacaan rakyat Malaysia, ia disunting oleh sekumpulan editor yang diketuai Datuk Manja Ismail (Pengarang Kumpulan [Berita dan Ehwal Semasa] Media Prima Berhad) serta Profesor Datuk Khairul Annas Jusoh dan Encik Mazri Muhammad.
  • Menarik tentang penerbitan buku ini kerana ia mengalami proses percetakan yang menggunakan sepenuhnya bahan mesra alam dan semula jadi. Penerbitan secara ekocetak (eco-printing) ini melayakkan buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) menjadi buku pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme.
  • Buku ini diperkenalkan kepada umum oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 1 Disember 2011 (Isnin) jam 12.00 tengah hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sejurus selepas selesai acara perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011. Buku setebal 158 halaman (82 halaman untuk bahasa Melayu dan 76 halaman untuk bahasa Inggeris) ini dijual pada harga RM32 senaskhah (atau RM37 bagi Sabah dan Sarawak) yang boleh didapati di kedai buku ITNM yang terletak di Wisma ITNM di Seksyen 10, Wangsa Maju; rangkaian kedai buku utama seluruh negara atau menerusi pembelian secara dalam talian di http://ecommerce.itnm.com.my/.
  • Bagaimanapun, istimewa sempena majlis memperkenalkan buku ini yang diadakan ketika Persidangan Agung UMNO yang berlangsung sehingga 3 Disember ini, orang ramai boleh mendapatkannya di gerai jualan ITNM di Aras 3 PWTC dengan potongan diskaun sebanyak 30 peratus.

Maklumat Berkaitan