Siaran Media Pelaksanaan Kerjasama Penerbitan Karya Asli Antara ITBM, PENA dan PNMB
16 Jan 2012
SIARAN MEDIA
Sidang Media Pelaksanaan Kerjasama Penerbitan Karya Asli Antara ITBM, PENA dan PNMB & Pengumuman Penganjuran Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi
- KUALA LUMPUR, 16 Januari 2012 – Sidang media ini merupakan tindakan susulan daripada ucapan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, semasa menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga pada 16 Disember 2011. Dalam ucapan perasmian tersebut, Y.A.B. Dato’ Sri Najib mengumumkan peruntukan dana daripada Kerajaan sebanyak RM5 juta melalui Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi melaksanakan penerbitan buku terutamanya karya asli penulis muda dalam semua genre.
- Susulan daripada pengumuman tersebut, ITNM sebagai sebuah institusi di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang bertanggungjawab melestarikan ilmu melalui penterjemahan, telah ditingkatluaskan peranannya untuk menerbitkan karya asli bagi membantu menggalakkan industri perbukuan negara selain dinaik taraf dengan nama dan penjenamaan baru, iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia atau ITBM.
- Y.A.B. Dato’ Sri Najib turut mengharapkan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dapat bertindak bersama-sama ITBM untuk menyaring serta memantau isi kandungan karya yang dihasilkan oleh penulis sebelum diterbitkan. Dalam masa yang sama, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) juga bersedia untuk membentuk kerjasama strategik bersama-sama ITBM dan PENA untuk menjayakan penerbitan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
- Bagi menjayakan kerjasama strategik ini, mekanisme penerbitan dan percetakan antara tiga agensi terbabit telah diatur supaya segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik. ITBM akan bertindak sebagai penerbit yang akan turut melaksanakan proses pracetak manuskrip. Manakala pengurusan program latihan dan pembangunan penulisan, proses perolehan manuskrip baharu serta penilaian manuskrip akan dilaksanakan secara bersama ITBM dan PENA. PNMB pula akan menguruskan proses percetakan bagi memastikan tempoh masa dan proses rumit penerbitan buku dapat diatasi.
- Hasil persetujuan kerjasama ketiga-tiga agensi terbabit, setiap manuskrip yang diterima dan menepati kualiti yang ditetapkan oleh panel penilai akan diproses sehingga siap diterbitkan dalam tempoh masa antara tiga hingga enam bulan – sebagaimana sasaran yang ditetapkan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib. Bagi tahun 2012, sasaran sekurang-kurangnya 10 judul baru akan diterbitkan pada setiap bulan mulai bulan Jun. Manakala bermula tahun 2013, sekurang-kurangnya 20 judul baru disasarkan akan diterbitkan pada setiap bulan.
- Sehubungan itu, ITBM akan meningkatkan usaha promosi dan pemasaran buku melalui media cetak dan elektronik serta laman sesawang, laman sosial Facebook dan Twitter termasuk pembelian buku di ecommerce@itnm.com.my. Penjualan buku di semua gedung buku di Malaysia akan dikembangluaskan bagi membantu pembaca yang lebih gemar membeli buku secara langsung mendapatkan buku hasil kerjasama ITBM, PENA dan PNMB ini.
- Untuk penulis yang berminat menghantar manuskrip karya asli, sila kirimkan sinopsis, isi kandungan dan manuskrip ke buku@itbm.com.my atau buku@pena.com.my untuk tujuan penilaian Jawatankuasa Panel Penilai Buku.
Pengumuman Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian
- Sayembara ini pertama kalinya akan dianjurkan bersama ITBM, PENA dan Berita Harian sebagai strategi pelaksanaan untuk membentuk penulis muda yang matang serta mapan, mampu menyumbang kepada pembangunan insaniah, dan membina interaksi yang bermanfaat antara penulis dengan pembaca. Terbahagi kepada tiga kategori, iaitu penulisan novel, cerpen dan puisi; sayembara ini terbuka kepada semua penulis muda tempatan di bawah umur 45 tahun, yang lahir pada tahun 1966.
- Penulis yang menyertai sayembara penulisan novel dikehendaki menghasilkan karya sastera positif yang tidak ditetapkan had halaman muka surat. Tempoh masa satu (1) tahun diberikan bagi menghasilkan dan menghantar penyertaan sayembara penulisan novel ini. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Januari 2013.
- Bagi kategori cerpen, setiap penulis terbuka untuk menghasilkan 10 karya dalam sebarang genre penulisan. Manakala kategori puisi pula, penulis dikehendaki menghasilkan 30 puisi yang tidak dihad jumlah panjang bagi setiap karya. Tempoh masa penghasilan dan penghantaran karya bagi kedua-dua kategori ini adalah dalam tempoh masa enam (6) bulan. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Julai 2012.
- Peserta sayembara ini bebas menghantar seberapa banyak penyertaan. Bagaimanapun, setiap penyertaan hendaklah menggunakan judul dan isi kandungan yang berbeza. Sayembara ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM130,000 untuk pemenang, dan berikut adalah pecahannya:
Kategori Novel
Hadiah Pertama: 1 x RM15,000
Hadiah Kedua: 1 x RM12,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM9,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM3,000
Kategori Cerpen
Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000
Kategori Puisi
Hadiah Pertama: 1 x RM10,000
Hadiah Kedua: 1 x RM7,000
Hadiah Ketiga: 1 x RM5,000
Hadiah Penghargaan: 7 x RM2,000
- Untuk maklumat lanjut dan memuat turun borang penyertaan Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi ITBM-PENA-Berita Harian, sila layari laman web ITBM di www.itnm.com.my.
Related Information:
Siaran Media Majlis Penyampaian Hadiah & Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 Kumpulan Utusan-ITNM
20 Dec 2011
- KUALA LUMPUR, 13 Disember, 2011 – Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah diadakan petang tadi dan disempurnakan oleh Menteri Kewangan II Malaysia, YB. Datuk Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah di Auditorium PNM, Jalan Tun Razak.
- Anugerah Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM merupakan kesinambungan daripada dua sayembara yang sama sejak dimulakan pada tahun 1992 oleh Kumpulan Utusan. Anugerah tersebut diwujudkan khas bagi mengenang jasa Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako, tokoh persuratan Melayu dan sasterawan yang berani dan tajam penulisannya. Kebitaraan beliau dalam penulisan terserlah melalui karya Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila yang kritis mengagungkan budaya Melayu serta lantang mengkritik penjajah Inggeris.
- Keseriusan karya yang dihasilkan oleh Pak Sako ini menjadi penanda aras bagi penganjur Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM memperoleh lebih banyak novel sastera yang mapan serta mampu memugar pemikiran pembaca tempatan dan antarabangsa. Sayembara ini juga diharapkan dapat menjadi platform bagi penggiat sastera berekspresi melalui penulisan secara serius dengan menekankan hasil karya yang mempunyai pemikiran mendalam.
- Kumpulan Utusan yakin dengan kesudian ITNM sebagai rakan kerjasama pintar bukan sahaja untuk projek kali ini, tetapi juga untuk projek Hadiah Sako seterusnya merupakan tindakan bijak demi memartabatkan penulisan sastera ke tahap global. Penglibatan ITNM yang berterusan dalam mengetengahkan karya-karya penulis Malaysia di persada dunia terutama melalui penglibatan ITNM di pesta-pesta buku seluruh dunia seperti di Frankfurt, London dan Tokyo memungkinkan karya pemenang-pemenang Hadiah Sako dapat dibaca oleh peminat buku tanpa batasan bahasa dan sempadan, di mana novel pemenang akan diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan dipasarkan ke luar negara.
- Lima judul karya yang terpilih daripada 39 manuskrip ini telah dinilai oleh barisan panel yang mempunyai kepakaran mengenai penulisan dalam dunia sastera Melayu. Penilaian ini telah dijalankan menerusi dua peringkat saringan sebelum karya-karya yang dilancarkan hari ini dipilih. Anugerah Sako menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000 untuk pemenang tempat pertama, RM15,000 bagi pemenang tempat kedua dan RM5,000 bagi pemenang tempat ketiga. Hadiah wang tunai bernilai RM1,000 juga telah diberikan kepada dua buah karya sebagai hadiah penghargaan.
- Turut hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako 3 (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-ITNM ialah YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi ITNM; YBhg. Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan; YBhg. Dato’ Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah PNM; YBhg. Datuk Mohd Nasir Ali, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan; YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITNM; dan YBhg. Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, Pengarah Eksekutif, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D).
Related Information:
SIaran Media Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional
18 Dec 2011

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN JUBLI EMAS 50 TAHUN PENA & PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KALI KETIGA
- KUALA LUMPUR, 16 Disember, 2011 – Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga telah diadakan malam tadi dan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).
- Semasa Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, berucap mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak dan semua tetamu ke majlis ini, beliau menyatakan betapa perlunya hubungan baik dan erat antara penulis dengan kepimpinan Negara. Beliau juga mewakili semua penulis dalam kalangan generasi muda menyatakan sokongan terhadap perencanaan Kerajaan dalam membangunkan Negara dan bersedia membantu Kerajaan melalui bidang penulisan dan persuratan.
- Dalam ucapan perasmian, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak menekankan peranan Kerajaan terhadap perkembangan kegiatan penulisan dan kesusasteraan di Malaysia. Kehadiran dan amanat Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam majlis ini ternyata mendapat maklum balas yang baik daripada tetamu yang hadir yang terdiri daripada penggiat sastera tempatan.
- Majlis ini turut menyaksikan penganugerahan Tokoh PENA kepada Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain), pemenang S.E.A. Write Award Tahun 1980 yang juga mantan Presiden PENA. Anugerah ini merupakan penghargaan atas pengorbanan besar beliau semasa menerajui PENA sehingga menjadi persatuan penulis yang konsisten dalam memartabatkan bahasa dan persuratan di negara ini. Beliau menerima watikah penghargaan, hadiah iringan, sepersalinan baju Melayu, dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak.
- Pada majlis sama, YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak juga melancarkan tiga buku terbitan PENA yang berjudul Takah Lima Puluh: Antologi Puisi Sempena 50 Tahun PENA, Antologi Karya Sasterawan 2011 dan Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran yang merupakan himpunan makalah semasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009.
- Turut hadir pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA & Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga ialah Pengerusi ITNM, YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh; dan Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron. Selain dihadiri penulis muda yang menyertai Perhimpunan Penulis Muda Nasional Kali Ketiga, majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa Sasterawan Negara, pemenang S.E.A. Write Award, persatuan-persatuan penulis dan juga penggiat industri buku di Malaysia.
Related Information:
Siaran Media Majlis Memperkenalkan Buku “Menjuarai Transformasi”
01 Dec 2011

SIARAN AKHBAR
- Buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) terbitan terkini Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mendedahkan inspirasi Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak terhadap pembangunan bangsa dan Negara sehingga mencetuskan aspirasi supaya bangsa Malaysia berdiri sama tinggi dengan bangsa negara luar yang maju. Sungguhpun beliau menggariskan strategi untuk membina sebuah Negara bangsa yang berdaya saing, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak di dalam buku ini tetap mengingatkan supaya bangsa Malaysia sentiasa memperkukuh jati diri dan menjunjung semangat demokrasi serta mempertahankan hak kebebasan individu dalam politik.
- Selain itu, buku yang diterbitkan dalam bentuk dwibahasa dengan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris ini mengandungi 11 bab yang turut menyentuh secara tuntas tentang proses melestarikan kelangsungan kepimpinan UMNO di persada politik kebangsaan:
- Melayu dan Kepimpinan/Malay and Leadership
- Memperkukuh Jati Diri/Reinforcing Identity
- Meneraju Bangsa/Leading the People
- Menyatu Bangsa Membina Negara/Uniting the People to Build the Nation
- Mendukung Keluhuran Perlembagaan/Upholding the Supremacy of the Constitution
- Meneraju Negara/Helming the Nation
- Rakyat dan Demokrasi/People and Democracy
- Berdiri Sama Tinggi/Standing Equal
- Pencetus Perubahan/The Catalyst of Change
- Hak, Kebebasan dan Keselamatan Negara/Rights, Freedom and Security
- Transformasi untuk Menjuarai Kegemilangan/Transformation to Driving Excellence
- Empat bab awal menjadi teras buku ini. Manakala tujuh bab seterusnya disampaikan dalam perspektif yang berbeza. Dalam semua empat bab awal ini, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak melontarkan wawasannya dan cara beliau untuk mengangkat bangsa Malaysia khususnya Melayu dalam membentuk mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Hal ini kerana beliau sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama, iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai addin dan kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial.
- Bab-bab seterusnya pula menerangkan secara jelas kepentingan mekanisme lain dalam usaha Kerajaan pimpinan Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak memastikan kestabilan perpaduan nasional, iaitu dengan menyeimbangkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Hal ini kerana Kerajaan kini amat memahami perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial, manakala keadilan sosial pula tidak akan tercipta jika tiada kestabilan politik yang serta kemakmuran ekonomi.
- Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak melalui buku ini juga mengajak pembaca tanpa mengira latar belakang politik dan keturunan untuk berani melaksanakan perubahan serta transformasi yang bersesuaian dengan keperluan semasa demi mengukuhkan kekuatan negara dan bangsa, terutamanya bangsa Melayu.
- Buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) merupakan kesinambungan daripada tiga buah buku terdahulu, iaitu buku Menakhoda Zaman (Helming the Times), diikuti buku kedua dalam versi empat bahasa (Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang berjudul Jawapan Najib, dan buku ketiga, Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan. Bagi memastikan isi kandungan buku terbaharu ini menepati keupayaan pembacaan rakyat Malaysia, ia disunting oleh sekumpulan editor yang diketuai Datuk Manja Ismail (Pengarang Kumpulan [Berita dan Ehwal Semasa] Media Prima Berhad) serta Profesor Datuk Khairul Annas Jusoh dan Encik Mazri Muhammad.
- Menarik tentang penerbitan buku ini kerana ia mengalami proses percetakan yang menggunakan sepenuhnya bahan mesra alam dan semula jadi. Penerbitan secara ekocetak (eco-printing) ini melayakkan buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) menjadi buku pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme.
- Buku ini diperkenalkan kepada umum oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 1 Disember 2011 (Isnin) jam 12.00 tengah hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sejurus selepas selesai acara perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011. Buku setebal 158 halaman (82 halaman untuk bahasa Melayu dan 76 halaman untuk bahasa Inggeris) ini dijual pada harga RM32 senaskhah (atau RM37 bagi Sabah dan Sarawak) yang boleh didapati di kedai buku ITNM yang terletak di Wisma ITNM di Seksyen 10, Wangsa Maju; rangkaian kedai buku utama seluruh negara atau menerusi pembelian secara dalam talian di http://ecommerce.itnm.com.my/.
- Bagaimanapun, istimewa sempena majlis memperkenalkan buku ini yang diadakan ketika Persidangan Agung UMNO yang berlangsung sehingga 3 Disember ini, orang ramai boleh mendapatkannya di gerai jualan ITNM di Aras 3 PWTC dengan potongan diskaun sebanyak 30 peratus.
Related Information:
Siaran Media Majlis Memperkenalkan Buku ‘Sudut Pandang Muhyiddin Yassin’
24 Nov 2011
Sejak Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin diberi kepercayaan untuk menerajui Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2009, beberapa dasar dan inisiatif baru telah beliau perkenalkan dengan tujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan Negara, antaranya Dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Dasar 1Murid 1Sukan, Transformasi Pendidikan Vokasional, menetapkan had mata pelajaran SPM dan menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus.
- Susulan kepada perkara tersebut, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sebagai sebuah institusi di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan bertanggungjawab meneruskan kelestarian ilmu, telah diberi peluang untuk menerbitkan sebuah buku yang memaparkan aspirasi pendidikan di Malaysia dari sudut pandangan Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia yang berjudul Sudut Pandang Muhyiddin Yassin.
- Buku pertama Y.A.B Tan Sri Muhyiddin ini diperkenalkan kepada umum dalam satu majlis anjuran ITNM yang diadakan pada 21 November 2011 (Isnin) jam 12.00 tengah hari di Restoran Azur, Hotel Shangri-La Putrajaya. Buku ini adalah himpunan pandangan beliau mengenai dasar dan hala tuju pendidikan di Malaysia. Penerbitan buku ini tepat pada masanya, iaitu ketika masyarakat perlu dijelaskan tentang hasrat murni Kerajaan dalam melakukan transformasi pendidikan. Buku ini juga dapat merungkai segala permasalahan yang memerlukan penjelasan berkaitan usaha Kerajaan melakukan transformasi sistem pendidikan negara melalui program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Buku ini mengandungi 14 bab seperti senarai berikut:
- Pendidikan Prasekolah
- Program Literasi dan Numerasi
- Tawaran Baru (Bai’ah)
- Sekolah Berprestasi Tinggi
- Sekolah Amanah
- Dasar 1Murid 1Sukan
- Sejarah Subjek Wajib Lulus SPM
- Penetapan Had 10 Mata Pelajaran dalam SPM
- Transformasi Pendidikan Vokasional
- Isu Novel “Interlok”
- Pemansuhan PPSMI dan Dasar MBMMBI
- Memartabat Bahasa Melayu
- Memantapkan Profesion Perguruan
- Penilaian Menyeluruh Sistem Pendidikan Negara
- Penerbitan buku ini antara lain bertujuan untuk berkongsi jawapan dan pandangan ilmiah dan berwawasan Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin sebagai Menteri Peneraju Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan yang bertanggungjawab memastikan kesemua sasaran yang ditetapkan dalam NKRA pendidikan dapat dicapai. Ia juga bertujuan untuk menjelaskan beberapa perkara penting berkaitan dasar dan pelaksanaan usaha Kerajaan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti di negara ini. Dengan adanya penjelasan dan kefahaman masyarakat terhadap usaha yang dilakukan Kerajaan ini, ia dapat membantu melonjakkan kualiti pendidikan yang diterima oleh murid di negara ini agar setanding dengan murid di negara-negara maju lain.
- Buku ini juga secara tidak langsung turut mencerminkan idea berwawasan dan kecekapan pemikiran Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin dalam menangani setiap isu yang berkaitan pendidikan dengan mengambil kira setiap pertimbangan yang boleh merasionalisasikan setiap pihak, namun tetap mengutamakan kepentingan nasional dalam setiap keputusannya. Ia juga membawa pembaca lebih dekat dengan Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin kerana isi kandungannya dijelaskan dengan lebih mudah kepada khalayak pembaca di Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa, agama, fahaman politik dan status pendidikan.
- Pada majlis sama, satu wawancara khas bersama Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin diadakan bagi berkongsi jawapan serta pandangan beliau secara langsung terhadap beberapa perkara penting berkaitan dasar dan pelaksanaan usaha Kerajaan untuk mewujudkan rakyat minda kelas pertama, dengan asasnya dimulakan melalui Transformasi Pendidikan Negara. Wawancara ini turut merungkai segala persoalan dan kekusutan yang timbul dalam pemikiran masyarakat terhadap beberapa isu penting pendidikan yang mencetuskan kontroversi serta mengelirukan masyarakat.
- Buku ini dijual pada harga RM40 senaskhah (atau RM45 bagi Sabah dan Sarawak). Ia kini boleh didapati di kedai buku ITNM yang terletak di Wisma ITNM di Seksyen 10, Wangsa Maju; rangkaian kedai buku utama seluruh negara atau menerusi pembelian secara dalam talian di http://ecommerce.itnm.com.my/.
Related Information:
Siaran Media Majlis Pelancaran Buku Sastera Terkini ITNM dan Salam Aidilfitri
31 Oct 2011

SIARAN AKHBAR
- Bahasa Melayu tersebar luas di seluruh rantau ini bukan melalui penjajahan sebagaimana bahasa Inggeris. Bahasa Melayu yang kini mempunyai penutur kelima terbesar di dunia berkembang luas meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Pattani dan lain-lain melalui proses yang penuh ketamadunan, iaitu menerusi perhubungan perdagangan dan dakwah agama Islam. Dari sudut ini, sejarah membuktikan bahawa kekuatan sosiologi, politik, dan budaya mampu merentas halangan kedudukan geografi lokaliti penutur bahasa Melayu.
- Berdasarkan perkembangan bahasa yang penuh optimis ini, sastera kebangsaan turut mempunyai potensi untuk keluar daripada batas kebangsaan atau batas wilayah Nusantara dan menemui masyarakat pembaca dunia melalui berbagai-bagai jalan, terutamanya melalui jalan terjemahan.
- Sehubungan itu, majlis ini menyaksikan Pelancaran Buku Sastera Terbitan Terkini ITNM yang merupakan sebahagian daripada Projek Terjemahan Sastera Tempatan ke Bahasa Antarabangsa dan Projek Terjemahan Sastera Antarabangsa ke Bahasa Kebangsaan. Projek terjemahan sastera ini penting untuk mempromosikan sastera dan sasterawan kebangsaan supaya karya tempatan ini dapat dibaca di peringkat antarabangsa. Manakala terjemahan sastera antarabangsa ke bahasa kebangsaan merupakan salah satu kaedah perluasan ilmu kepada masyarakat Malaysia yang majoritinya bertutur dalam bahasa Melayu.
- Projek yang bermula pada tahun 2008 telah siap diterjemahkan sebanyak 100 karya sehingga akhir tahun 2010. Manakala tambahan 30 judul sastera akan siap diterjemahkan sebelum berakhirnya tahun 2011. Berikut adalah karya sastera kebangsaan terkini yang dilancarkan oleh Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada 22 September 2011 di Wisma ITNM:
1. 1515 oleh Faisal Tehrani
Faisal Tehrani ternyata telah melakarkan sebuah karya fiksyen yang menarik yang bukan secara khususnya ditulis untuk remaja, walaupun 1515 telah dipilih sebagai pemenang kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. 1515 jelas merupakan novel untuk pembaca dewasa yang terbiasa dengan karya sastera non-konvensional kerana ia adalah novel persis sejarah yang memperkenalkan watak Dr. Adi Fimiyun Abdul Hadi, seorang sejarawan, yang mahu menukar perjalanan sejarah penaklukan Melaka pada tahun 1511. Walaupun mungkin terdapat persamaan ketara dengan novel The History of the Seige of Lisbon tulisan José Saramago, 1515 mengubah sejarah Melaka dengan mewujudkan seorang srikandi, Tun Nyemah Mulya yang akhirnya dapat mengalahkan bala tentera Portugis di Melaka. Malah Nyemah seterusnya mengetuai armada Nusantara dengan 100 bahtera perang berisi 60,000 bala tentera lantas menakluki Portugal.
2. The Big Businessman from Kuala Lumpur oleh Keris Mas
The Big Businessman from Kuala Lumpur terjemahan Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur merupakan sebuah naskhah yang mudah, tetapi mempunyai kepesonaan dalam plot, watak dan latar. Pekan Tualang, Kampung Pulai dan Kuala Lumpur, latarnya sendiri sudah menunjukkan jurang antara sebuah kota metropolitan dengan sebidang tanah di desa yang terpencil. Bermula daripada situ, dibangunkan pula watak Encik Muhammad, Dato’ Tan, Tan Sri dan Syed Aris yang merupakan tokoh dan saudagar kota. Encik Muhammad yang berasal dari Pekan Tualang mengukir kemasyhuran di ibu kota Kuala Lumpur. Di Kampung Pulai, hidup pula watak kecil seperti Sudin, Imam Saad, Pak Salim, Tuk Empat Dahlan, Penghulu Mahmud, Jahid, Lebai Maaruf, Mat Akil dan penduduk Kampung Pulai itu sendiri. Novel ini sememangnya memerlukan banyak lokasi dan watak untuk melengkapi ceritanya sehinggakan terserlah banyak lenggok tari dengan bahasa langgamnya.
3. Traces of a Journey oleh Rahman Shaari
Rahman Shaari adalah penyajak yang terkenal kerana beliaulah memulakan sajak taksa (ambiguous), atau lebih tepatnya beliau mengasimilasikan sajak kepolosan (diaphanous) dengan ketaksaan. Namun begitu, himpunan puisi terjemahan daripada Kesan Kunjungan ini tidak menggunakan bahasa yang terlalu puitis untuk memindahkan idea tema dan renungannya. Pemenang Anugerah SEA Write 2007 ini tetap menggunakan bahasa yang mudah untuk menyerlahkan lebih kesegaran walaupun ia sedar caranya itu tidak mencabar keintelektualan minda khalayaknya.
- Manakala sastera dunia yang turut sama dilancarkan pula adalah seperti berikut:
1. Amina oleh Mohammed Umar (Nigeria)
Hasil karya sastera penulis daripada Nigeria yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris adalah sedikit, maka Amina ini dianggap sebagai adikarya negara Afrika itu yang membuka jalan kepada dimensi kesusasteraan baharu. Namun bukan itunya menjadi matlamat Umar kerana melalui karya ini, beliau mengangkat situasi sosial kaum wanita di Nigeria yang mengalami pelbagai tekanan politik – hanya kerana beralasankan batasan syariat agama. Sekatan ini tambah menyakitkan kerana ia bersangkut paut dengan aktiviti pencarian pendapatan yang ditambah lagi dengan penyelewengan sistem. Itulah perjuangan Umar melalui tinta untuk membebaskan kaum wanita Nigeria daripada kepompong yang dicipta untuk kepentingan pihak tertentu. Membaca novel ini pasti akan mencetuskan harapan bahawa masih ada sinar perubahan di Nigeria.
2. Mawar yang Hilang oleh Serdar Ozkan (Turki)
Helsinki Sanomat, akhbar yang paling berpengaruh di Finland menyatakan The Missing Rose adalah, “Azimat Putera Turki yang berada di seluruh dunia!” Ternyata Serdar Ozkan berjaya merealisasikannya kerana hasil karyanya itu telah berada di 50 negara dengan terjemahan kepada 44 bahasa. ITNM menterjemahkannya kepada Mawar yang Hilang yang menceritakan tentang Diana, seorang gadis yang terlalu ingin akan perhatian dan puji-pujian orang di sekelilingnya sehingga sanggup melepaskan impian dan nilai jati dirinya. Namun akhirnya, pengakuan ibunya pada saat menghadapi kematian yang menyatakan Diana mempunyai seorang saudara kembar telah mendorongnya melalui sebuah perjalanan penuh misteri ke sebuah taman bunga mawar yang menakjubkan di Istanbul, di mana dia telah dijemput untuk berbicara dengan bunga mawar.
- Buku-buku yang sedang dalam proses terjemahan dan penerbitan adalah seperti berikut:
- Isteri oleh Rosmini Shaari
- Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah
- Pemberontakan oleh Jong Chian Lai
- Salam Maria oleh Fatimah Busu
- Setia Asyik Kepada Maksyuknya Shafik Afandi dengan Faridah Hanum
- Syair Siti Zubaidah Perang China oleh A. Mutalib A. Ghani
- Puisi Mutakhir Hijrah dari Desa ke Kota oleh Muhammad Haji Salleh
- Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad Hj. Salleh
- Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu oleh Jelani Harun
- Dunia Adalah Sebuah Apartmen oleh Anwar Ridhwan
- Cakerawala Kemerdekaan oleh Lim Swee Tin
- Panrita oleh Arena Wati
- Ziarah Tanah Kudup oleh Kemala
- Orang Perjuangan oleh Zaharah Nawawi
- Menziarahi Dunia Sebayan oleh Jong Chian Lai
- Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad
- Al-Amin oleh A. Samad Said
- Kesusasteraan Melayu Tradisional oleh Harun Mat Piah
- Imam oleh Abdullah Hussain
- Wajah Seorang Wanita oleh S. Othman Kelantan
- Dengan projek terjemahan ini, menjadi harapan Institut Terjemahan Negara Malaysia supaya ia menjadi modal kepada kecemerlangan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju selari dengan pembangunan ilmu.
Related Information:
Mathnawi Jalaluddin Rumi
05 Aug 2011

Terdiri daripada enam jilid puisi, Mathnawi adalah karya Jalaluddin Muhammad Rumi, seorang penyair Islam Parsi tersohor abad ke-13 yang juga seorang ahli teologi, ahli hadis dan al-Quran dan juga pemimpin sufi. Karya besar ini diterbitkan dengan gaya didaktik dan sarat dengan mesej hakikat yang tersirat dan tersurat.
Seperti koleksi ajaran Sufi sebelumnya, Mathnawi yang merupakan koleksi panjang anekdot dan penglipur lara dirujuk daripada pelbagai sumber seperti Quran, cerita rakyat, lelucon dan pengalaman estetik. Setiap pengisahan menggambarkan perkara penting, dan pengertian moralnya dibincangkan secara terperinci dengan penekanan khusus kepada pentafsiran kejiwaan atau kesufian. Mathnawi turut menggambarkan usaha bertaakul dan berperhitungan untuk menjelaskan pelbagai dimensi kehidupan dan amalan spiritual.
Mathnawi adalah sebuah karya besar Islam dan patut dimiliki semua untuk dihayati makna kehidupan dan kewujudan yang terkandung di dalamnya. Dengan memiliki karya besar ini bermakna anda memiliki permata ilmu dunia yang amat tinggi nilainya.
Karya besar Islam ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Profesor Dr. Sayyid Mohamed Ajmal Abdul Razak Al-Aidrus, profesor di Institut Kefahaman dan Pemikiran Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
HARGA SATU SET: RM3,500
Untuk pesanan dan khidmat pelanggan, sila hubungi:
Unit Pemasaran & Jualan (Buku),
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM),
Wisma ITNM, No. 2, Jalan 2/27E, Seksyen 10,
Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur
Tel: 03-4149 7210 (samb. 306 (Ikhram)/324 (Shuaimi)/209 (Khaidir)
Faks: 03-4149 6281
E-mel: info@itnm.com.my
Laman E-Beli-belah ITNM: ecommerce.itnm.com.my

Related Information:
Siaran Akhbar Pelancaran Buku Tautan: Sajak Kontemporari Malaysia dan Jerman
04 May 2011
- Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Goethe-Institut Malaysia melancarkan terbitan usaha sama terkini iaitu buku Tautan (Antologi Puisi Kontemporari Malaysia-Jerman)/Verknüpfungen (Zeitgenössische malaysische und deutsche Lyrik). Majlis pelancaran buku ini disempurnakan oleh Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, pada 30 April 2011, jam 5.00 petang bertempat di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
- Semenjak 2007, usaha sama antara ITNM dengan Goethe-Institut Malaysia telah berjaya menghasilkan lima karya terjemahan dalam pelbagai genre sastera seperti novel Siddartha dan antologi cerpen Ingin Sebebas Burung (Flugversuch) pada 2007; novel grafik Lat the Kampung Boy (Ein Frechdachs aus Malaysia) pada 2008; serta antologi cerita rakyat berjudul Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia & Jerman (Märchen und Volksgeschichten aus Malaysia und Deutschland) dan antologi puisi berjudul Sajak-sajak daripada Diwan Barat-Timur (Gedichte aus dem West-Östlichen Divan) pada 2009. Dan kali ini, ITNM dan Goethe-Institut Malaysia meneruskan kesinambungan usaha sama melalui penerbitan buku Tautan (Verknüpfungen).
- Tautan (Verknüpfungen) adalah sebuah antologi puisi yang diterbitkan dalam dwibahasa (bahasa Melayu dan Jerman), yang juga merupakan terbitan usaha sama keenam antara ITNM dan Goethe-Institut Malaysia. Hasil daripada tenunan dan tautan inspirasi merentas budaya, maka lahirlah buku antologi puisi kontemporari Jerman dan Malaysia ini. Bahasa bukanlah penghalang untuk berkongsi pengalaman manusia, justeru penerbitan buku ini tentu mendapat polanya apabila mata yang penuh rasa ingin tahu menyusuri landskap metafora bait-bait puisi daripada kedua-dua bahasa. Ia adalah himpunan puisi Jerman dan Malaysia moden sejak 50 tahun dahulu.
- Sejumlah 100 puisi dihimpunkan di dalam buku ini, dan ia adalah hasil karya 35 penulis Malaysia dan 31 penulis Jerman yang dipilih oleh pembaca profesional dan peminat puisi daripada pelbagai terbitan buku dan majalah sepanjang 2009. Berikut adalah senarai penulis serta judul puisi yang terkandung di dalam buku ini:
Penulis Puisi dari Malaysia
1. A. Samad Said
Wunderbarer Ramadhan - Ramadan yang Manis
2. Alina Rastam
Göttlich mit mir - Syahdulah bersamaku
Malaya 2007 - Malaya 2007
Oh Erdlinge - Oh Manusia
3. Anjan Ahzana
Das Märchen vom Paradies dort - Dongeng Syurga Khabarnya di Sana
4. Baha Zain
Klage einer asiatischen Frau - Rayuan Wanita Asia
5. Bernice Chauley
Wie er es einmal ausdrückte ... - Dia Pernah Berkata ...
Bedeutung - Makna
6. Cecil Rajendra
Blütenstaub - Debunga
Requiem - Belasungkawa
Requiem für einen Regenwald - Talkin untuk sebuah rimba
7. Ee Tiang Hong
Familiendialog - Dialog Keluarga
8. Habsah Hassan
Leben - Hidup
9. J.M. Aziz
Dein Gedicht meine Geliebte - Puisimu Buah Hatiku
Meeresblüten - Kembang Selaut
10. Jair Sulai
Stille - Sunyi
Im Schutz Deiner Liebe - Berteduh di bawah Kasih-Mu
11. Jerome Kugan
Durchsichtig - Lut sinar
12. Kasmani Haji Arif
Waisenkinder - Anak Yatim
13. Latiff Mohidin
Wen suchst du? - Siapakah yang Kaucari?
Liebe zu einem Zimmer - Cinta dari Sebuah Kamar
14. Lee Keok Chih
Zahnschmerzen - Sakit Gigi
Träume - Mimpi
15. Lim Kim Hui
Hamburg, unverhofft kam ich hier zu liegen - Hamburg, Tak Kusangka, di Sini Aku Terlantar
16. Lim Swee Tin
Hörst du nicht - Takkah Engkau Mendengar
Ohne Schmerz zu fühlen -Tanpa Merasakan Sakitnya
17. Masuri S.N.
Wenn – Jika
Veränderung - Perubahan
18. Mohammad Yassin Maamur (Punggok)
Mitten im Ozean - Di Tengah Segara
19. Muhammad Haji Salleh
Auch das ist meine Welt - Ini Juga Duniaku
Gastarbeiter - Pekerja Kontrak
Einige Zeilen aus dem Goethe-Museum - Baris-baris dari Muzeum Goethe
20. Narmawarni bt. Abdul Kadir
Warum sie? Warum hast du gerade sie gewählt? - Kenapa Dia? Kenapa Dia yang Kaupilih?
21. Nazim Mohd Subari
Gedicht von einem See - Puisi dari Tasik
Verse der Zeit - Sajak Jam
22. Noor S.I.
Morgentraum - Mimpi Pagi
23. Normah bt. Othman
Ich möchte leben - Aku Ingin Hidup
24. Norzeha Kasbi
Geschichte eines Taxifahrers - Cerita Seorang Pemandu Teksi
25. Raja Rajeswari Seetha Raman
Vom Fenster der Menschheit - Dari Jendela Manusiawi
Wind des Glaubens - Angin Iman
26. Said Zahari
Ein Opportunist - Petualang
27. Salleh Ben Joned
Winterlicher Herbst, mit Entschuldigungen an die Adresse von Rainer Maria Rilke - kepada Rainer Maria Rilke
Im Griff des Ghaib - Dalam Cengkaman yang Ghaib
28. Shahril Nizam
Promenade - Promenade
Wortlastig - Kata-kata
29. Shirley Lim
Frühes Gedicht 1 - Puisi Terawal 1
Frühes Gedicht 2 - Puisi Terawal 2
Stell dir vor - Bayangkan
30. Siti Zainon Ismail
Nachtzug - Malam Kereta api
Schlaf schön - Tidurlah
Sehnsucht - Rindu
31. Usman Awang
Lied und Tanz - Lagu dan Tari
Heutzutage - Zaman Ini
Aus dem Lexikon der Armut - Selembar Kamus Kemiskinan
Töte jenen Traum - Membunuh Mimpi
32. Uthaya Sankar S.B.
Habt keine Furcht, im eigenen Land zu leben - Usah Gentar Tinggal di Pondok Sendiri
33. Wong Phui Nam
Für meine alte Amme - Untuk Pengasuhku
Flussfahrt bei Nacht - Menyusuri Sungai di Malam Hari
Interregnum - Jurang
34. Zaharah Nawawi
Es steht schlecht um Kuala Lumpur - Kuala Lumpur yang Sakit
35. Zurinah Hassan
Ich sollte mich schämen, DIR einen Liebesbrief geschrieben zu haben - Aku Sepatutnya Malu Menulis Surat Cinta pada-MU
Penulis Puisi dari Jerman
1. Albert Ostermaier
Bahasa Ayah (Petikan) - Vatersprache (Aiszug)
2. Barbara Köhler
Ingeborg Bachmann Meninggal Dunia di Rom - Ingeborg Bachmann stirbt in Rom
3. Benjamin von Stuckrad-Barre
Tautan - Verknüpfung herstellen
4. Christine Nöstlinger
Lawanku - Mein Gegenteil
5. Durs Grünbein
Waltz Biologis - Biologischer Walze
6. Ernest Wichner
Jendela Tertutup - Das Fenster zu
7. Ernst Jandl
Isi - Inhalt
Kejayaan - Dder erfolg
Dalam Lena - Im schlaf
8. Eugen Gomringer
Membisu - Schweigen
Kau Biru - Du blau
9. Fredrik Vahle
Untuk Batu di Tanganku - Für den Stein in meiner Hand
10. Gert Jonke
Aku Sering Pergi - Oft gehe ich
11. Günter Eich
Inventori - Inventur
12. Günter Grass
Dugaan Cinta - Liebe geprüft
Seratus Darjah - Bei hundert Grad
13. Hans Magnus Enzensberger
Peralatan Antik - Altes Medium
14. Heinz Rudolf Unger
Senja di Eropah - Abend in Europa
15. Hilde Spiel
Perjalanan Hidup - Lebenslauf
16. Josef Guggenmoos
Ku Berjalan melalui Kampung - Ich geh durch das Dorf
17. Jürgen Becker
Kronik - Chronik
18. Kurt Marti
Sajak Tentang Sajak - Gedicht von gedichten
19. Lutz Rathenow
Dari Setahun ke Setahun - Jahr um Jahr
20. Mascha Kaléko
Kau dan Aku - Ich und Du
21. Paul Maar
Saat Ini - Gegenwart
Masa Depan - Zukunft
22. Peter Maiwald
Hari Hujan - Regentag
23. Peter Turrini
Aku Mahu - Ich möchte
24. Robert Gernhardt
Jiran Perempuan - Die Nachbarin
Kucing dan Tikus - Katz und Maus
25. Rose Ausländer
Nafasku - Mein Atem
26. Thomas Rosenlöcher
Kaku - Stille
27. Ulla Hahn
Dekat - Nähe
Dia Datang - Er kommt
28. Ulrich J. Beil
Kata-kata Asing - Fremdwörter
29. Uwe Timm
Didikan - Erziehung
30. Volker Braun
Chicago! O Percanggahan! - Chicago! O Widerspruch!
31. Wolf Wondratschek
Pabila Kau Bercinta - Wenn du liebst
Selesanya Rumah Ini - Angenehm diese Wohnung
- Penerbitan karya ini antara lain turut mengangkat tema kemanusiaan yang menyentuh falsafah hidup, pemikiran, prinsip, adat dan budaya kedua-dua bangsa, baik di Malaysia mahupun Jerman. Walaupun pengalaman sosial yang wujud antara masyarakat di Malaysia dan Jerman hampir sama, namun pengalaman peribadi dalam dialog dengan budaya yang lain belum mencukupi untuk mengeratkan hubungan dan jalinan sastera yang ada. Selain itu, penerbitan karya ini juga bakal mengeratkan lagi hubungan penggiat seni dan sasterawan kedua-dua negara melalui jalinan puisi terpilih yang diungkap di dalam buku ini.
- Rasional kerjasama penerbitan yang dilakukan melalui buku ini juga antara lain sebagai satu simbolik persahabatan dan perkongsian budaya, bagi merangsang semangat globalisasi melalui pertukaran dan pemahaman budaya antara kedua-dua buah negara – Malaysia dan Jerman – yang ditafsirkan melalui puisi. Lebih menarik, puisi yang dikumpul dihasilkan melalui pemerhatian penyair-penyair hebat ini dijadikan wahana penyampaian budaya dan pembentuk pemikiran serta akal budi bangsa, agar kita semua saling memahami dan menghormati keunikan amalan budaya masyarakat di kedua-dua negara.
- Buku ini boleh didapati di rangkaian kedai buku utama seluruh negara pada harga RM30, atau boleh juga dibeli secara atas talian di laman E-Beli-belah ITNM di ecommerce.itnm.com.my. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.itnm.com.my.
Related Information:
Pelancaran 100 Judul Buku Sains dan Matematik & Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan
04 May 2011
- Susulan pengumuman keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2009, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah dianugerahkan satu projek khas oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menterjemah 130 judul buku Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu. Usaha ini adalah sebagai menyokong kerajaan menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
- Sehingga kini 100 Judul Buku Sains dan Matematik telah berjaya diterjemahkan dan sempena meraikan kejayaan ini Institut Terjemahan Negara Malaysia dengan bangganya melancarkan Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 1, Precint 8, Putrajaya pada 4 April 2011.
- Penerbitan ini bertujuan memperkasakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi di samping menarik perhatian pelajar sekolah khususnya pelajar luar bandar yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris untuk menceburi bidang berkenaan. Dipilih daripada buku Sains dan Matematik terbaik daripada luar Negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman, Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik ini akan diedarkan ke semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia sebagai bahan bacaan tambahan.
- Sebahagian koleksi ini turut menggunakan pendekatan interaktif melalui medium komik sebagai perantara pembelajaran bagi menarik minat pelajar mendekatkan diri secara kreatif dalam bidang Sains dan Matematik. Koleksi buku ini telahpun berada di pasaran dan orang ramai boleh mendapatkannya di kedai buku ITNM, kedai buku MPH, kedai – kedai buku berdekatan atau menerusi pembelian secara dalam talian dihttp://ecommerce.itnm.com.my/.
- Antara judul buku yang terdapat di dalam koleksi ini termasuk:-
- 100 Perkara Kamu Patut Tahu Tentang Sains
- Sistem Suria dan Alam Semesta
- Perubahan Geologi
- Sempadan Ilmu Pembedahan
- Isaac Newton dan Hukum Gerakan
- Marie Curie dan Keradioaktifan
- Jelajahi Dunia Cahaya Bersama Max Axiom
- Pada majlis yang sama, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut melancarkan Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 yang disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.
- Pertandingan yang diadakan julung kali ini bertujuan mencungkil kreativiti pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja sekolah menerusi platform interaktif. Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematikdijadikan sebagai rujukan peserta bagi memperluaskan lagi skop pembelajaran di sekolah sekaligus membawa pembaharuan lebih menyeronokkan bagi mempelajari mata pelajaran yang sering dianggap sukar bagi sesetengah pelajar ini, terutamanya pelajar luar bandar.
- Terbahagi kepada bagi dua kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah, penyertaan pertandingan kreatif ini terbuka secara solo (minimum seorang) atau berkumpulan (maksimum empat orang). Peserta dikehendaki menghasilkan skrip serta sebuah lakonan pendek berdasarkan bahan yang diambil daripada Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik membabitkan minimum dua judul (satu buku Sains dan satu buku Matematik) atau maksimum lima judul (dua buku Sains dan tiga buku Matematik, atau dua buku Matematik dan tiga buku Sains).
- Peserta juga bebas menggunakan medium pilihan samada kamera video, kamera digital (mod video), telefon atau komputer bagi merakamkan lakonan mereka dengan durasi minimum lima minit dan tidak lebih tujuh minit. Setiap penyertaan yang dihantar oleh peserta mesti disahkan oleh pihak sekolah terlebih dahulu manakala skrip asalnya pula ditulis di dalam bahasa Melayu. Peserta boleh menghantar penyertaaan dan skrip tersebut kepada pihak ITNM, manakala rakaman video pula perlu dimuat naik ke laman sesawang Youtube dan dilinkkan ke laman web ITNM.
- Setiap sekolah bebas menghantar seberapa banyak jumlah penyertaan sebelum tarikh tutup pertandingan pada 3 Jun 2011, dengan syarat ianya perlu menggunakan judul buku yang berbeza bagi setiap penyertaan tersebut.
- Pertandingan ini menawarkan hadiah cukup menarik dan lumayan kepada pemenang dan sekolah yang diwakili seperti berikut:-
Kategori Sekolah Menengah
Tempat Pertama – RM20, 000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Kedua – RM15,000 untuk pemenang dan RM7,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Ketiga – RM10,000 untuk pemenang dan RM5,000 untuk sekolah yang diwakili.
Saguhati – Tujuh X RM500 beserta set lengkap Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik setiap seorang.
Kategori Sekolah Rendah
Tempat Pertama – RM15,000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Kedua – RM12,000 untuk pemenang dan RM7,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Ketiga – RM10, 000 untuk pemenang dan RM5,000 untuk sekolah yang diwakili.
Saguhati – Tujuh X RM500 beserta set lengkap Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik setiap seorang.
- Untuk maklumat lanjut mengenai Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, pelajar dan orang ramai boleh melayari laman web ITNM, www.ITNM.com.my .
Related Information:
Siaran Akhbar Majlis Pelancaran Buku “Makyung: Warisan Mistik Malaysia”
22 Dec 2010
Tarikh: 19 Disember 2010 (Ahad)
Masa: 3.00 petang
Lokasi: Kinokuniya, Suria KLCC
Buku Makyung: Warisan Mistik Malaysia (versi bahasa Inggeris: Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia) adalah buku yang menghimpunkan segala elemen penting berkaitan tarian Makyung. Isi kandungan buku ini terbahagi kepada 10 bab yang menerangkan secara terperinci berkenaan Makyung – daripada sejarah dan latar belakangnya sehinggalah elemen artistik termasuk unsur teater, tarian, nyanyian, muzik, ritual dan ikon, termasuk sifat mistik yang merupakan elemen penting dalam seni persembahan tradisional ini.
Buku ini adalah satu khazanah besar Negara, kerana isi kandungannya yang mendokumentasikan segala aspek penting berkaitan seni persembahan Makyung. Usaha menerbitkan dan mengetengahkannya kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa adalah sangat penting, bertepatan dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengangkat Makyung sebagai Masterpiece of the Oral & Intangible Heritage of Humanity pada 25 November 2005.
Buku ini ditulis oleh sekumpulan penulis yang mempunyai pengetahuan mendalam serta pengalaman luas mengenai Makyung, terdiri daripada Prof. Datuk Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin, Dr. A.S Hardy Shafii, Che Mat Jusoh dan Jumilah Md. Tahir. Hasil tulisan mereka kemudiannya dihimpun, diperkemas, dan disusun semula oleh Rahimidin Zahari serta Sutung Umar.
Buku ini diterbitkan dalam dua versi bahasa (Melayu serta Inggeris). Selain menyokong usaha kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melaksanakan program MBMMBI, penerbitan dalam dua bahasa ini juga bertujuan untuk membuka pasaran lebih luas terhadap buku ini, merangkumi jaringan tempatan mahupun antarabangsa.
Keputusan ITNM menerbitkan buku ini dibuat dengan pertimbangan bahawa Makyung adalah satu-satunya kesenian serta seni persembahan Malaysia yang mendapat pengiktirafan tinggi di peringkat antarabangsa. Hal ini adalah satu aspek penting, kerana dalam fenomena globalisasi dunia yang kini memperlihatkan kerakusan banyak negara untuk tampil mendakwa hak ke atas sesuatu yang asalnya dimiliki secara rumpun, Makyung akhirnya diangkat UNESCO sebagai satu produk yang mempunyai budaya paling hampir dengan tradisi asal masyarakat Malaysia. Justeru, usaha mendokumentasikan Makyung dilihat ITNM sebagai satu inisiatif patriotik, tambahan apabila tiada usaha dilakukan ke arah itu (oleh mana-mana pihak) selepas lebih lima tahun Makyung diberikan pengiktirafan global.
“Kami berharap semoga usaha ini dapat menjamin jangka hayat Makyung bagi tempoh lebih panjang, supaya generasi muda akan datang tidak kehilangan peluang untuk mengenali dan memahami tunjang serta warisan akar tradisi kita sejak zaman berzaman. Justeru itulah warisan ini perlu kita pelihara kerana ia adalah satu antara penyumbang kepada ketamadunan manusia yang telah kita capai dan kita nikmati hari ini. Usaha kami menerusi buku ini adalah demi menjamin kesinambungan yang berterusan, sekali gus memastikan ia tidak bertukar menjadi artifak sejarah sebelum tiba waktunya ia jadi begitu,” kata Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) ketika majlis pelancaran buku Makyung di Kinokuniya, KLCC hari ini.
Buku Makyung ini juga pada 9 Oktober lalu, telah diperkenalkan ITNM kepada masyarakat antarabangsa apabila dibawa dan dilancarkan bagi tujuan pasaran hak cipta di Frankfurt Book Fair 2010. Selain buku tersebut, turut dibawa sama oleh ITNM ke Frankfurt bagi misi promosi buku ini adalah kumpulan persembahan Makyung daripada Istana Budaya, diketuai watak Pakyung yang dimainkan oleh Rosnan Abdul Rahman, anak Kedah yang kini antara pelapis utama kepada seni persembahan Makyung di negara ini.
Khusus bagi mempromosikan buku Makyung kepada khalayak Malaysia dan pelancong asing di negara ini, ITNM telah menjalin beberapa bentuk kerjasama dengan Kinokuniya Book Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. Ini antaranya termasuklah pelaksanaan promosi peragaan tetingkap (atau window display) di gedung buku tersebut bermula 13 Disember lalu, dan akan berterusan sehingga 31 Januari 2011. Selain buku Makyung ini, turut dipamerkan adalah koleksi busana serta peralatan muzik penting dalam persembahan Makyung.
Hasil kerjasama antara ITNM dan Kinokuniya, orang ramai turut berpeluang mendapatkan buku Makyung pada harga diskaun 20 peratus sepanjang tempoh promosi (13 Disember 2010 hingga 31 Januari 2011). Bagaimanapun, diskaun eksklusif ini hanya sah di Kinokuniya dan orang ramai perlu menyertakan penanda buku berkepil kupon diskaun yang boleh diperolehi daripada kaunter di Kinokuniya sepanjang tempoh promosi ini berlangsung.
Dijual pada harga RM159 senaskhah (atau RM164 untuk Sabah & Sarawak), buku Makyung ini boleh diperolehi di gedung buku Kinokuniya KLCC, serta semua cawangan MPH dan kedai buku utama di seluruh negara.
Related Information:
Majlis Pelancaran Buku “Makyung: Warisan Mistik Malaysia”
Amanah Perdana Menteri di Pesta Buku
14 May 2010
Tanggal 28 Mac 2010 mencatat sejarah apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) buat julung kalinya menganjurkan program “bacaan buku” yang diadakan sebagai kemuncak pengisian aktiviti yang diatur oleh ITNM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010. Majlis yang berkonsepkan “pemimpin mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat” ini menyaksikan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia membaca 23 baris ayat tulisannya, dipetik dari Bab 5: Pertarungan Minda Perang Masa Depan, buku “Menakhoda Zaman”.
Buku Menakhoda Zaman yang diterbitkan dalam dwibahasa oleh ITNM dan MPH Publishing Sdn. Bhd. antara lain menghimpunkan pelbagai idea, kritikan dan pandangan Najib yang digarap secara jujur apabila memperkatakan tentang kelemahan kita sebagai anak bangsa, bagaimana kita perlu bangkit untuk menyahut cabaran, apakah caranya untuk kita menggerakkan perubahan, dan laluan mana yang sebaiknya dipilih untuk membolehkan gagasan membina masa depan itu dapat dicapai demi kemajuan Negara dan kemakmuran rakyat seluruhnya.
Rasional pemilihan buku Menakhoda Zaman untuk pengisian ulung program ini adalah kerana penulisnya merupakan pemimpin tertinggi Negara, sekali gus menjadi model paling berkesan untuk menyampaikan mesej mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat. Sekiranya seorang pemimpin yang kapasiti waktunya diketahui amat terhad, namun masih mahu dan masih boleh mencari ruang waktu untuk menulis dan membaca, maka apalah sangat kita sebagai rakyat di bawah kepimpinan beliau.
Secara dasarnya, idea asal program “bacaan buku” ini diambil daripada pengalaman ITNM menyertai pesta buku terbesar dunia, Frankfurt International Book Fair di Jerman yang memperlihatkan acara bacaan buku ini sebagai amalan wajib di kebanyakan gerai pempamer. Malah, konsep bacaan buku sebegini juga adalah aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat, tetapi tidak pernah dilaksanakan dalam skala formal pada mana-mana acara di Negara ini. Sempena PBAKL 2010, ITNM mengambil inisiatif untuk memulakannya dengan harapan cara sebegini dapat menyuntik semangat yang menyumbang kepada amalan suka membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Selain itu, penganjuran program ini turut dan memberi wajah baharu kepada penganjuran PBAKL dengan suntikan idea Frankfurt International Book Fair yang amat terbuka dalam memberi kebebasan kepada penerbit/pempamer untuk mengaktifkan pelbagai aktiviti di gerai mereka masing-masing. Ia juga suatu program yang patut diberi galakan kerana ia mampu merangsang serta menggalakkan orang ramai untuk menyertai aktiviti intelektual.
Turut hadir dalam majlis ini memberi sokongan adalah YB. Dr. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran, YB. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB. Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh, Pengerusi ITNM, YBhg. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urusan ITNM, dan YBhg. Datuk Raslin Abu Bakar, Ketua Pengarah PNM.
Majlis yang dihadiri lebih 100 orang pengunjung ini turut menyaksikan simbolik penyerahan buku oleh pihak ITNM kepada PNM yang telah menyumbangkan 2,500 naskhah buku Menakhoda Zaman ke seluruh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri, Perpustakaan Desa dan Perpustakaan Gunasama untuk dijadikan bahan utama dalam kempen membaca.
Related Information:
Karya Agung Melayu di Pesta Buku Frankfurt 2009
31 Jan 2010
Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mula menyertai pesta buku terbesar di dunia, iaitu Pesta Buku Frankfurt secara serius pada tahun 2008. Pada awalnya, tujuan penyertaan pesta buku yang telah berusia lebih separuh abad ini adalah untuk melonjakkan pemasaran dan jualan buku terjemahan di peringkat luar negara, selain memperkenalkan karya asli daripada bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Sekali lagi pada 14-18 Oktober 2009, ITNM melaburkan wang ringgit dalam jumlah yang besar bagi menyertai Pesta Buku Frankfurt kerana ia merupakan lubuk pertemuan semua penerbit antarabangsa yang saban tahun mencecah 7,000 pempamer daripada lebih 100 negara di seluruh dunia, serta dikunjungi lebih 280,000 pengunjung perdagangan dan persendirian.
Sekiranya pada tahun 2008, ITNM melancarkan buku Lat The Kampung Boy (versi bahasa Jerman) karya Dato’ Lat, pada tahun ini pula karya terjemahan sastera epik pahlawan legenda, The Epic of Hang Tuah telah dilancarkan oleh Konsul Besar Malaysia di Frankfurt, Encik Saiful Azam Abdullah. Majlis perasmian yang mengambil konsep klasik Hang Tuah turut diserikan dengan persembahan pencak silat dan alunan syair yang diselang-seli dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Encik Saiful menyifatkan penerbitan terjemahan karya agung Melayu tersebut sebagai “sastera bersejarah” dan memuji langkah ITNM melancarkan produk yang mendapat pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO di pesta antarabangsa itu. Ternyata strategi tersebut berkesan kerana menurut Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron, The Epic of Hang Tuah telah menerima pertanyaan dan minat mendalam daripada pelbagai penerbit antarabangsa yang bersedia untuk menterjemahkan naskhah tersebut dalam bahasa kebangsaan masing-masing.
Penyertaan ITNM di pesta buku tersebut turut disertai lapan agensi tempatan, iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dewan Bahasa dan Pustaka, Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd., E-Magineers (M) Sdn. Bhd., Future Ace Publishing Sdn. Bhd., Mastery Academy of Chinese Metaphysics, dan Yusof Gajah Lingard Literacy Agency Sdn. Bhd.
Sebagai mempromosikan 1Malaysia di peringkat antarabangsa melalui pesta perdagangan terpenting ini, ITNM menampilkan gerai terbuka dengan konsep “Pavilion Malaysia”, yang menghimpunkan kesemua delegasi di dalam satu ruang, bukan lagi berasingan. Kaedah ini bertujuan untuk menampilkan jenama Malaysia selain memaparkan gagasan kesatuan melalui perdagangan hak cipta dan penerbitan.
Sebagai langkah mempromosikan sasterawan dan penulis Malaysia pula, ITNM menyertakan biodata penulis di katalog serta paparan gambar Sasterawan Negara dan Pemenang Anugerah SEA Write di dinding pavilion. Semua daya usaha ini bagi membuka mata dunia akan kewujudan karya Malaysia yang ternyata mempunyai nilai moral dan intelek yang bertaraf antarabangsa.
Related Information:
ITNM di Pesta Buku Frankfurt 2009