- Susulan pengumuman keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2009, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah dianugerahkan satu projek khas oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menterjemah 130 judul buku Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu. Usaha ini adalah sebagai menyokong kerajaan menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
- Sehingga kini 100 Judul Buku Sains dan Matematik telah berjaya diterjemahkan dan sempena meraikan kejayaan ini Institut Terjemahan Negara Malaysia dengan bangganya melancarkan Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 1, Precint 8, Putrajaya pada 4 April 2011.
- Penerbitan ini bertujuan memperkasakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi di samping menarik perhatian pelajar sekolah khususnya pelajar luar bandar yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris untuk menceburi bidang berkenaan. Dipilih daripada buku Sains dan Matematik terbaik daripada luar Negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman, Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik ini akan diedarkan ke semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia sebagai bahan bacaan tambahan.
- Sebahagian koleksi ini turut menggunakan pendekatan interaktif melalui medium komik sebagai perantara pembelajaran bagi menarik minat pelajar mendekatkan diri secara kreatif dalam bidang Sains dan Matematik. Koleksi buku ini telahpun berada di pasaran dan orang ramai boleh mendapatkannya di kedai buku ITNM, kedai buku MPH, kedai – kedai buku berdekatan atau menerusi pembelian secara dalam talian dihttp://ecommerce.itnm.com.my/.
- Antara judul buku yang terdapat di dalam koleksi ini termasuk:-
- 100 Perkara Kamu Patut Tahu Tentang Sains
- Sistem Suria dan Alam Semesta
- Perubahan Geologi
- Sempadan Ilmu Pembedahan
- Isaac Newton dan Hukum Gerakan
- Marie Curie dan Keradioaktifan
- Jelajahi Dunia Cahaya Bersama Max Axiom
- Pada majlis yang sama, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut melancarkan Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 yang disempurnakan oleh Y.A.B Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia.
- Pertandingan yang diadakan julung kali ini bertujuan mencungkil kreativiti pelajar yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja sekolah menerusi platform interaktif. Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematikdijadikan sebagai rujukan peserta bagi memperluaskan lagi skop pembelajaran di sekolah sekaligus membawa pembaharuan lebih menyeronokkan bagi mempelajari mata pelajaran yang sering dianggap sukar bagi sesetengah pelajar ini, terutamanya pelajar luar bandar.
- Terbahagi kepada bagi dua kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah, penyertaan pertandingan kreatif ini terbuka secara solo (minimum seorang) atau berkumpulan (maksimum empat orang). Peserta dikehendaki menghasilkan skrip serta sebuah lakonan pendek berdasarkan bahan yang diambil daripada Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik membabitkan minimum dua judul (satu buku Sains dan satu buku Matematik) atau maksimum lima judul (dua buku Sains dan tiga buku Matematik, atau dua buku Matematik dan tiga buku Sains).
- Peserta juga bebas menggunakan medium pilihan samada kamera video, kamera digital (mod video), telefon atau komputer bagi merakamkan lakonan mereka dengan durasi minimum lima minit dan tidak lebih tujuh minit. Setiap penyertaan yang dihantar oleh peserta mesti disahkan oleh pihak sekolah terlebih dahulu manakala skrip asalnya pula ditulis di dalam bahasa Melayu. Peserta boleh menghantar penyertaaan dan skrip tersebut kepada pihak ITNM, manakala rakaman video pula perlu dimuat naik ke laman sesawang Youtube dan dilinkkan ke laman web ITNM.
- Setiap sekolah bebas menghantar seberapa banyak jumlah penyertaan sebelum tarikh tutup pertandingan pada 3 Jun 2011, dengan syarat ianya perlu menggunakan judul buku yang berbeza bagi setiap penyertaan tersebut.
- Pertandingan ini menawarkan hadiah cukup menarik dan lumayan kepada pemenang dan sekolah yang diwakili seperti berikut:-
Kategori Sekolah Menengah
Tempat Pertama – RM20, 000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Kedua – RM15,000 untuk pemenang dan RM7,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Ketiga – RM10,000 untuk pemenang dan RM5,000 untuk sekolah yang diwakili.
Saguhati – Tujuh X RM500 beserta set lengkap Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik setiap seorang.
Kategori Sekolah Rendah
Tempat Pertama – RM15,000 untuk pemenang dan RM10,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Kedua – RM12,000 untuk pemenang dan RM7,000 untuk sekolah yang diwakili.
Tempat Ketiga – RM10, 000 untuk pemenang dan RM5,000 untuk sekolah yang diwakili.
Saguhati – Tujuh X RM500 beserta set lengkap Koleksi 100 Judul Buku Sains dan Matematik setiap seorang.
- Untuk maklumat lanjut mengenai Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, pelajar dan orang ramai boleh melayari laman web ITNM, www.ITNM.com.my .