Artikel

Siaran Media Majlis Memperkenalkan Buku “Menjuarai Transformasi”

01 Dec 2011

 

 SIARAN AKHBAR

  • Buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) terbitan terkini Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) mendedahkan inspirasi Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak terhadap pembangunan bangsa dan Negara sehingga mencetuskan aspirasi supaya bangsa Malaysia berdiri sama tinggi dengan bangsa negara luar yang maju. Sungguhpun beliau menggariskan strategi untuk membina sebuah Negara bangsa yang berdaya saing, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak di dalam buku ini tetap mengingatkan supaya bangsa Malaysia sentiasa memperkukuh jati diri dan menjunjung semangat demokrasi serta mempertahankan hak kebebasan individu dalam politik. 
  • Selain itu, buku yang diterbitkan dalam bentuk dwibahasa dengan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris ini mengandungi 11 bab yang turut menyentuh secara tuntas tentang proses melestarikan kelangsungan kepimpinan UMNO di persada politik kebangsaan:
  1. Melayu dan Kepimpinan/Malay and Leadership
  2. Memperkukuh Jati Diri/Reinforcing Identity
  3. Meneraju Bangsa/Leading the People
  4. Menyatu Bangsa Membina Negara/Uniting the People to Build the Nation
  5. Mendukung Keluhuran Perlembagaan/Upholding the Supremacy of the Constitution
  6. Meneraju Negara/Helming the Nation
  7. Rakyat dan Demokrasi/People and Democracy
  8. Berdiri Sama Tinggi/Standing Equal
  9. Pencetus Perubahan/The Catalyst of Change
  10. Hak, Kebebasan dan Keselamatan Negara/Rights, Freedom and Security
  11. Transformasi untuk Menjuarai Kegemilangan/Transformation to Driving Excellence
  • Empat bab awal menjadi teras buku ini. Manakala tujuh bab seterusnya disampaikan dalam perspektif yang berbeza. Dalam semua empat bab awal ini, Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak melontarkan wawasannya dan cara beliau untuk mengangkat bangsa Malaysia khususnya Melayu dalam membentuk mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Hal ini kerana beliau sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama, iaitu kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional; Islam sebagai addin dan kemakmuran negara sebagai tonggak keadilan sosial.
  • Bab-bab seterusnya pula menerangkan secara jelas kepentingan mekanisme lain dalam usaha Kerajaan pimpinan Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak memastikan kestabilan perpaduan nasional, iaitu dengan menyeimbangkan pembangunan sosioekonomi dan politik. Hal ini kerana Kerajaan kini amat memahami perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial, manakala keadilan sosial pula tidak akan tercipta jika tiada kestabilan politik yang serta kemakmuran ekonomi.
  • Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak melalui buku ini juga mengajak pembaca tanpa mengira latar belakang politik dan keturunan untuk berani melaksanakan perubahan serta transformasi yang bersesuaian dengan keperluan semasa demi mengukuhkan kekuatan negara dan bangsa, terutamanya bangsa Melayu.
  • Buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) merupakan kesinambungan daripada tiga buah buku terdahulu, iaitu buku Menakhoda Zaman (Helming the Times), diikuti buku kedua dalam versi empat bahasa (Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil yang berjudul Jawapan Najib, dan buku ketiga, Perkhidmatan Awam: Meneraju Perubahan, Melangkau Jangkaan. Bagi memastikan isi kandungan buku terbaharu ini menepati keupayaan pembacaan rakyat Malaysia, ia disunting oleh sekumpulan editor yang diketuai Datuk Manja Ismail (Pengarang Kumpulan [Berita dan Ehwal Semasa] Media Prima Berhad) serta Profesor Datuk Khairul Annas Jusoh dan Encik Mazri Muhammad.
  • Menarik tentang penerbitan buku ini kerana ia mengalami proses percetakan yang menggunakan sepenuhnya bahan mesra alam dan semula jadi. Penerbitan secara ekocetak (eco-printing) ini melayakkan buku Menjuarai Transformasi (Driving Transformation) menjadi buku pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan SIRIM QAS International Eco-Labelling Scheme.
  • Buku ini diperkenalkan kepada umum oleh Y.A.B. Dato’ Sri Najib Tun Razak pada 1 Disember 2011 (Isnin) jam 12.00 tengah hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sejurus selepas selesai acara perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2011. Buku setebal 158 halaman (82 halaman untuk bahasa Melayu dan 76 halaman untuk bahasa Inggeris) ini dijual pada harga RM32 senaskhah (atau RM37 bagi Sabah dan Sarawak) yang boleh didapati di kedai buku ITNM yang terletak di Wisma ITNM di Seksyen 10, Wangsa Maju; rangkaian kedai buku utama seluruh negara atau menerusi pembelian secara dalam talian di http://ecommerce.itnm.com.my/.
  • Bagaimanapun, istimewa sempena majlis memperkenalkan buku ini yang diadakan ketika Persidangan Agung UMNO yang berlangsung sehingga 3 Disember ini, orang ramai boleh mendapatkannya di gerai jualan ITNM di Aras 3 PWTC dengan potongan diskaun sebanyak 30 peratus.

Maklumat Berkaitan