
Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011, ITNM akan menganjurkan pelbagai aktiviti sebagai menarik penyertaan dan kunjungan orang ramai ke gerai jualan ITNM. Berikut adalah perincian bagi aktiviti yang akan dianjurkan ITNM pada PBAKL 2011:
Peraduan ini telah dianjurkan pada tahun 2010 dan ia dianggap sebagai aktiviti berbentuk intelektual yang berjaya menghargai pembaca tegar bagi buku terbitan ITNM. Kali ini ia dinamakan ‘Peraduan Ulas Buku ITNM di Blog/Facebook’ .
Justeru, pada tahun ini peraduan ini dicadangkan perlaksanaannya semula atas tujuan yang sama. Ia akan bermula pada 22 April 2011 dan berakhir pada 15 Mei 2011, dua (2) minggu selepas PBAKL berakhir.
Syarat penyertaan bagi peraduan ini adalah seperti berikut:
a) Pembelian minimum RM25 untuk setiap penyertaan (satu ulasan).
b) Peserta perlu menyiarkan ulasan buku ITNM yang ingin dipertandingkan di blog atau di akaun Facebook peribadinya dan dipautkan ke Facebook ITNM.
c) Peserta perlu memaklumkan butiran nama dan no. resit pembelian untuk setiap ulasan yang dikemukakan. Contoh adalah seperti berikut:
|
Tajuk ulasan buku___________________ |
Hadiah
Pemenang akan diumumkan dalam tempoh sebulan selepas acara selesai dipertandingkan. Ia akan diumumkan dalam sebuah majlis ringkas ITNM.
Pemenang akan dipilih melalui pemilihan peringkat dalaman oleh pengurusan ITNM berpandukan markah setiap ulasan yang diberi oleh juri profesional yang dilantik ITNM.
Peraduan ini diadakan untuk menghargai pembaca buku terbitan ITNM khususnya bagi yang memberikan komen yang bernas dan membina secara kreatif berkaitan buku yang dihasilkan ITNM. Komen berkenaan perlu dibuat di laman Facebook ITNM. Peraduan ‘Buku ITNM: Apa Komen Anda?’ ini akan bermula pada 22 April 2011 dan berakhir pada 15 Mei 2011, dua (2) minggu selepas PBAKL berakhir.
Pelanggan ITNM boleh terus menyertai peraduan ini selepas membeli buku dengan mengemukakan komen berkenaan di Facebook ITNM menggunakan kemudahan Internet yang disediakan di gerai jualan ITNM.
Syarat penyertaan bagi peraduan ini adalah seperti berikut:
a) Pembelian minimum RM15 untuk setiap penyertaan (satu komen).
b) Peserta perlu menulis komennya mengenai buku ITNM di akaun Facebook.
c) Komen tidak melebihi 25 patah perkataan.
d) Peserta perlu memaklumkan butiran nama dan no. resit pembelian untuk setiap ulasan yang dikemukakan. Contoh adalah seperti berikut:
|
Nama peserta@komen ITNM/7878 6767 1221__________________________________ |
Hadiah
Pada tahun ini, ITNM tidak menganjurkan sebarang pertandingan yang berkaitan dengan PBAKL. Bagaimanapun, ITNM akan mengambil peluang untuk mempromosikan pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan yang dilancarkan pada 4 April 2011.
Pertandingan ini akan dipromosikan dengan mempamerkan poster peraduan di sudut buku Sains dan Matematik. Malah buku Sains dan Matematik akan disusun mengikut kategori peringkat Menengah dan Rendah bagi memudahkan pelanggan memilih bahan untuk menyertai pertandingan ini.
Aktiviti ini bertujuan untuk mempromosikan buku Sains dan Matematik terbitan ITNM. Pengacara akan mengulas atau menyampaikan maklumat berhubung buku ITNM dan memberikan soalan umum berhubung topik dalam buku berkenaan kepada pengunjung. Pengunjung dengan jawapan tepat akan menerima cenderamata ITNM (10 pemenang setiap sesi) berserta baucar diskaun untuk buku ITNM 30%.
Aktiviti ini sebagai usaha mempromosikan buku Sains terbitan ITNM. Untuk itu, ITNM menjemput Pusat Sains Negara mengendalikan aktiviti dan kuiz/permainan mudah berkaitan Sains untuk pengunjung ITNM.
Pengunjung yang menyertai dan memenangi kuiz/permainan tersebut akan menerima cenderamata ITNM. Sebanyak 10 pemenang akan diberi hadiah dalam setiap sesi dan diberi baucar diskaun 30% untuk buku ITNM. Sebagai menghargai kerjasama pihak Pusat Sains Negara, ITNM akan menyediakan token bernilai RM250 setiap hari untuk petugas Pusat Sains Negara yang terlibat.
Permainan mudah ini disediakan bagi menarik minat pengunjung ke gerai ITNM untuk menyertai dan mencubanya sendiri. Ia berbentuk seperti permainan ‘dam ular’.
Permainan ini ditambah dengan penggunaan set soalan mengenai Sains bagi menentukan pemenang. Peserta yang menamatkan permainan paling awal akan dikira pemenang.
Syarat penyertaan bagi permainan ini ialah dengan menunjukkan resit pembelian minima RM10. Hanya empat peserta dipilih untuk bermain dalam setiap sesi permainan.
Hadiah berupa T-shirt dan baucar diskaun 30% untuk buku ITNM disediakan untuk pemenang pertama. Selainnya peserta akan menerima koleksi miniatur (6 unit) dan baucar diskaun 30% untuk buku ITNM.
Idea asal program ini diperoleh dengan mengguna pakai aktiviti “The Blue Sofa” di Frankfurt International Book Fair. Menerusi program ini, ITNM akan mengundang tetamu khas untuk duduk di set pentas bersofa khas di gerai ITNM bagi membincangkan beberapa isu berkaitan industri buku tempatan mahupun antarabangsa. Program ini telah terbukti dapat memberi satu impak intelektual bagi aktiviti di gerai jualan ITNM pada tahun 2010.
Program ini akan dikendalikan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar selaku moderator. Buat julung kalinya, pada penganjuran tahun ini ITNM akan menyuntik unsur komersil dalam penganjuran Wawancara Sofa Putih dengan menjemput selebriti selaku tetamu. Berikut adalah senarai nama tetamu yang akan diundang dalam program ini:
6.4.1 Nasriah Abdul Salim dan Shamsudin Othman (22/4/2011 – Jumaat - 3.00 petang)
6.4.2 Abdul Ghafar Ibrahim (23/4/2011 – Sabtu - 12.00 tengah hari)
6.4.3 Dialog Orang Muda @ Sofa Putih ITNM (24/4/2011 – Ahad - 12.00 tengah hari)
6.4.4 Monoloque (25/4/2011 – Isnin - 1.00 petang)
6.4.5 Rahimidin Zahari dan Rosnan Rahman (26/4/2011 – Selasa - 12.00 tengah hari)
6.4.6 Dr. Siti Zainon Ismail (27/4/2011 – Rabu - 12.00 tengah hari)
6.4.7 Ahmad Fedtri Yahya (28/4/2011 – Khamis - 12.00 tengah hari)
6.4.8 Amir Muhammad (29/4/2011 – Jumaat - 3.00 petang)
6.4.9 MASKARA/Sindiket Sol-Jah @ Sofa Putih ITNM (30/4/2011 – Sabtu - 12.00 tengah hari)
Selain aktiviti yang dijalankan di gerai jualan, ITNM juga turut menganjurkan acara rasmi di Pentas Utama PBAKL sepertimana tahun sebelumnya. Pada kali ini ITNM akan melancarkan buku Tautan yang diterbitkan hasil kerjasama ITNM bersama Goethe-Institut Malaysia.
Ia akan berlangsung pada Sabtu, 30 April 2011, 5.00 – 7.00 petang. Majlis ini akan disempurnakan oleh Sasterawan Negara (SN) Prof. Muhammad Hj Salleh. Berikut adalah butiran atur cara bagi majlis tersebut:
5.00 petang Persembahan orkestra
5.10 petang Kata alu-aluan pengacara
5.15 petang Ucapan Pengarah Urusan ITNM
5.25 petang Ucapan Dr. Holger Warnk
5.35 petang Ucapan pelancaran oleh SN Prof. Muhammad Haji Salleh
5.45 petang Gimik pelancaran
5.50 petang Bacaan puisi daripada buku Tautan
6.30 petang Jamuan dan sidang media
Majlis ini merupakan antara usaha ITNM menyokong penubuhan ‘Kota Buku Kuala Lumpur’. Justeru ITNM mengambil langkah menganjurkan sesi acara khusus bagi menjemput Sasterawan Negara untuk menggalakkan pertukaran pendapat dan pengalaman dua Sasterawan Negara dalam bidang penulisan dan penterjemahan karya sastera yang akan membawa kepada pengantarabangsaan karya tempatan. Acara ini juga diharap dapat merangsang wacana intelektual dan profesional dalam kalangan industri perbukuan di Malaysia. Sasterawan yang akan diundang dalam sesi ini ialah SN A. Samad Said dan SN Prof. Muhammad Hj. Salleh. Majlis ini akan berlangsung pada Ahad, 30 April 2011 di Bilik Kedah Johor.