Events

11 Mar 2009 -

Laporan Majlis Tahlil Allahyarham Sasterawan Negara Arena Wati

Belum pun reda kesedihan negara dengan pemergian Sasterawan Negara S. Othman Kelantan pada 31 Julai 2008, seorang lagi menjejaki Keris Mas, Usman Awang, dan Abdullah Hussein, iaitu Arena Wati yang menghembuskan nafas terakhir pada 25 Januari 2009.

Pemergian Arena Wati yang merupakan nama pena bagi Muhammad Dahlan bin Abdul Biang begitu dirasai semua pihak termasuklah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang bertanggungjawab menterjemah beberapa karya beliau. Hubungan ITNM dengan Allahyarham mula terjalin semasa Majlis Pertemuan ITNM dengan Sasterawan Negara dan Pemenang S.E.A. Write Awards pada 18 Mac 2008. Walaupun Allahyarham begitu uzur pada waktu itu, beliau tetap gagahkan diri menghadirinya atas dasar sokongan terhadap usaha untuk melihat karya sastera negara diangkat ke peringkat antarabangsa.

Sebagai menghargai jasa dan bakti beliau kepada negara, ITNM dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA) mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil untuk Allahyarham dengan doa semoga rohnya dirahmati Allah S.W.T. Majlis yang diadakan pada 11 Mac 2009 di Wisma ITNM turut dihadiri Pengerusi ITNM, Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh, Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato’ Termuzi Abdul Aziz, beberapa waris Allahyarham, serta rakan-rakan penggerak sastera Malaysia antaranya Dato’ Baha Zain, S.M. Zakir, dan Dr. Ibrahim Ghaffar. Majlis yang dikendalikan oleh Dr. Uthman El-Muhammady turut diserikan dengan kehadiran sekumpulan anak yatim dari Pondok Penyayang Raudah, Gombak.

Seusai bacaan yasin dan tahlil, Encik Mohamad Salleh Rahmad dari PENA berucap dengan berharap supaya aktiviti penulisan beliau terus disambung oleh balunya yang juga seorang sasterawan, tetapi tidak aktif lantaran banyak menguruskan kehidupan keluarga dan keperluan Allahyarham. Seterusnya adalah ucapan daripada Dato’ Dr. Wan Hashim sebagai mewakili ITNM yang banyak mengimbau saat-saat bersama Allahyarham khususnya semasa di Universiti Kebangsaan Malaysia. Majlis diteruskan dengan ucapan waris Allahyarham, Encik Hasanudin Muhammad Dahlan yang menyampaikan rasa penghargaannya seisi keluarga kepada ITNM dan PENA kerana mengenang Allahyarham serta jasa peninggalannya. Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan puisi oleh Dr. Ahmad Razali dan Dr. Ibrahim Ghaffar.

Pendek kata, biarpun Allahyarham kini sudah tiada, namun ITNM tetap berazam memastikan beliau terus hidup menerusi karyanya. Akan datang, Panrita, Lingkaran dan Sukma Angin diterbitkan dalam pelbagai bahasa.