Events

20 Jul 2010 - Auditorium Dato’ Razali Ismail, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands

Majlis Menandatangani MOU antara ITNM dan IAB serta Pelancaran Buku Siri Pendidikan

Kami dengan segala hormatnya menjemput Tuan/Puan atau wakil menghadiri majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) sekali gus Pelancaran Buku Siri Kepimpinan dan Pengurusan Sekolah serta Siri Pembangunan Profesion Perguruan sempena Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-17. Berikut adalah butiran berkenaan majlis tersebut: 

Tarikh: 20 Julai 2010 (Selasa)
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Auditorium Dato’ Razali Ismail, Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands
Tetamu kehormat: Y.A.B Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj. Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia

Buat pertama kalinya, ITNM akan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan IAB sebagai inisiatif awal untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dalam memartabatkan bidang pendidikan. Hasil pemeteraian perjanjian ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti berkaitan pengurusan dan kepimpinan terutamanya dalam bidang pendidikan. Usaha ini selari dengan misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membangunkan potensi individu melalui pendidikan berkualiti bagi melahirkan anak bangsa yang berilmu dan unggul dalam mengharungi cabaran semasa dunia.

Sebagai usaha ITNM bagi memantapkan kerjasama dengan IAB, pelancaran buku Siri Kepimpinan dan Pengurusan Sekolah serta Siri Pembangunan Profesion Perguruan ini adalah langkah permulaan kepada kerjasama ke arah memartabatkan bidang pendidikan di Malaysia. Siri buku terbitan ITNM yang tampil dengan wajah baharu yang lebih segar dan sofistikated ini telah diulang cetak sebanyak enam kali sejak tahun pertama terbitannya. Ini berdasarkan permintaan tinggi daripada institusi pendidikan mahupun individu yang terlibat dalam bidang pendidikan, yang menjadikan buku ini sebagai rujukan dan panduan mereka dalam membangunkan sekolah selain meningkatkan profesionalisme warga pendidiknya.

Sumbangan siri buku ini dalam bidang pendidikan amat besar kerana mempunyai input berkualiti untuk meningkatkan prestasi pelajar di sekolah, selain membangunkan kecemerlangan para pendidik dan bakal guru yang berhasrat menceburi bidang pendidikan. Ia merupakan rujukan lengkap dalam mengatur strategi pengurusan kualiti, meningkatkan kaedah pengajaran serta meningkatkan profesionalisme dalam kerjaya sebagai pendidik anak bangsa.

Sehubungan itu, Tuan/Puan atau wakil dengan segala hormatnya dijemput untuk hadir ke majlis ini. Untuk pertanyaan lanjut, Tuan/Puan boleh menghubungi Encik Mohd Khairulanuar Manshor di talian 019-217 7204, e-mel anuar@itnm.com.my atau Cik Norzaiti Abdul Talib di talian 019-390 6349, e-mel norzaiti@itnm.com.my.