
Hanya selepas tiga tahun Barack Hussein Obama dilantik menjadi Senat, beliau telah memadamkan hasrat dan impian semua ahli politik Demokrat dan Republikan yang lebih senior daripadanya untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS). Rakyat Amerika Syarikat (AS) boleh terpikat dengannya kerana Senator Illinois ini mempunyai retorik berucap yang sangat diyakini lengkap dengan frasa kata yang asli di samping mempunyai intonasi suara yang padu. Beliau semakin menarik di mata rakyat AS kerana kisah kehidupannya di dalam buku Dreams From My Father yang penuh dengan warna-warni.
Obama dilahirkan dalam keluarga yang pelbagai bangsa, hidup membesar di pelbagai benua, menjadi penyelaras masyarakat di Chicago, dan merupakan orang kulit hitam pertama menjawat jawatan editor Harvard Law Review yang jelas memaparkan semangat berjiwa besar yang ada di dalam dirinya. Namun yang paling menarik berkenaan Obama adalah kepintaran akal seperti yang dicatatkan di dalam buku terjemahan terbaharu terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), iaitu Keberanian Menggapai Harapan. Buku yang diterjemahkan daripada buku The Audacity of Hope jelas menunjukkan kebijaksanaan Obama membicarakan berkenaan liberalisme dengan penuh pragmatik dan moral.
Empat bab awal menjadi teras buku ini. Manakala lima bab seterusnya disampaikan dalam perspektif yang berbeza. Dalam semua empat bab awal ini, Obama melontarkan wawasannya dan cara beliau berhadapan dengan cabaran sehingga berjaya dalam kempen Senat AS dan memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden AS. Jelas buku ini dan Dreams From My Father menjadi bukti bahawa AS belum lagi ketandusan pemimpin ulung dan berilmu untuk menduduki Pejabat Oval selepas John F. Kennedy, Franklin D. Roosevelt, dan Abraham Lincoln.
Judul buku ini dipetik berdasarkan khutbah paderi di gereja yang selalu dihadiri Obama di Chicago yang menjelaskan berkenaan teori atau gagasan idea bagi merealisasikan impian rakyat AS supaya menjadi kenyataan. Semuanya dijelaskan dalam bab Nilai, Peluang, dan Kepercayaan Agama. Namun dengan gaya yang sederhana, Obama menyampaikan perspektif yang lebih praktikal berkenaan “kaedah mengubah landskap politik dan kehidupan sivik rakyat AS” yang berbeza dengan pendapat teman-temannya di Capitol Hill.
Obama meluahkan pendapat peribadinya berkenaan hala tuju politik AS yang perlu berubah daripada amalan klise di dalam buku ini. “Change: We Can Believe In” adalah slogan pilihan raya Obama yang merupakan usahanya untuk mewujudkan politik baru di AS. Walaupun beliau lebih cenderung kepada liberal, Obama menyatakan politik di AS tidak seharusnya menjadi liberal ataupun konservatif yang menjadi faktor utama perpecahan politik di AS.
Ideanya berkenaan hal ini didedahkan dengan terperinci di dalam bukunya yang mempunyai sembilan bab. Dalam bab pertama, iaitu Republikan dan Demokrat, Obama mengisahkan semula sejarah politik yang beliau rasakan banyak meruntuhkan sistem politik masa kini. Beliau tertarik dengan sikap ahli dan penyokong parti politik masa lampau yang sungguhpun tidak bersetuju dengan pihak lain, tetapi tetap mengambil sikap saling menghormati pandangan parti sebaliknya.
Memang ada kebaikannya sistem yang dianjurkan oleh Obama itu. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di AS, tetapi turut berlaku di semua negara yang mengamalkan sistem dua parti politik seperti Malaysia. Dalam situasi di AS, keadaan ini berlaku disebabkan tempoh kempen pilihan raya yang panjang sehingga membolehkan parti politik mengambil peluang “menyerang” lawan di seluruh sudut.
Buku ini memberikan impak lebih besar berbanding dengan audio yang mengandungi ucapan dan suara Presiden AS ke-44 itu. Banyak rakyat Amerika yang berniat mahu mengundi Hillary Clinton tetapi berubah kepada Obama selepas membaca buku ini. Yang faktanya, buku ini lebih menggetarkan jiwa daripada mendengar ucapan Obama. Ia kini berada di pasaran dan dijual pada harga RM45 bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM50 di Sabah dan Sarawak.