
Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL), pelbagai aktiviti dijalankan oleh semua penerbit buku bagi membantu meningkatkan jualan buku dalam masa 10 hari bermula 17 sehingga 26 April 2009. Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) juga tidak ketinggalan menganjurkan program promosi buku selain bertujuan untuk menghebahkan kepada umum tentang kewujudan buku terbaharu terbitan ITNM.
Pada 20 April 2009 (Isnin), ITNM melancarkan buku Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia & Jerman di Pentas Utama Putra, Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP) yang disempurnakan oleh Tokoh Sejarah Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim. Beliau dengan berbesar hati melancarkan buku yang disusun bersama oleh Pensyarah Universiti Frankfurt, Holger Warnk dan Pengarah Goethe-Institut Malaysia, Dr. Volker Wolf di hadapan ratusan pengunjung PBAKL.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti ucapan Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron bagi merakamkan setinggi penghargaan kepada Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang sudi meluangkan masa melancarkan buku Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia & Jerman. Semasa berucap melancarkan buku tersebut, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim memuji usaha penterjemahan yang dilaksanakan oleh ITNM dengan objektif untuk memandaikan bangsa. Dalam masa yang sama, beliau menyatakan buku yang diterbitkan ini merupakan satu simbolik persahabatan antara Malaysia dan Jerman. Beliau sangat menggalakkan pembacaan buku ini bagi mendidik minda anak-anak mengetahui landskap kehidupan masyarakat melalui kisah dongeng dan cerita rakyat.
Selepas berlangsung pelancaran buku Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia & Jerman, majlis diserikan dengan persembahan “Crocodile Story” yang didendangkan khas oleh Encounter High Winds Ensemble, Malaysian Philharmonic Orchestra. “Crocodile Story” adalah salah satu cerita yang terkandung di dalam buku yang dijual dengan harga RM30.00