Oleh Ruslan Rusly
Minatnya dalam bidang penulisan dan mendeklamasikan puisi bermula sejak sekolah rendah, membolehkan pelajar Ijazah Sarjana Undang-undang Perbandingan (Comparative Laws), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairunnasriah Abdul Salam, meneruskan cintanya terhadap bidang pendidikan, persuratan dan sastera walaupun turut sibuk dengan tugasan sebagai tutor universiti berkenaan.
Anak bongsu daripada tujuh beradik ini mengakui gemar membaca pelbagai jenis bahan bacaan, terutamanya berkaitan agama dan falsafah, undang-undang dan hak asasi, sastera dan budaya.
Menggunakan nama pena Nasriah Abdul Salam, beliau pernah mendapat bimbingan penulis kreatif, Faisal Tehrani (cerpen), Shamsuddin Othman (puisi), Zaharah Nawawi (KEPEZI) dan Nisah Haron melalui Persatuan Penulis Negeri Sembilan.
Bercita-cita untuk bergelar ahli akademik dalam bidang perundangan, kini Nasriah sedang menyiapkan penulisan disertasi (tesis) dalam Undang-undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.
“Saya menghasilkan karya bukan hanya disebabkan minat, tetapi sebagai amanah dengan matlamat mendidik masyarakat melalui tulisan. Pelbagai masalah dalam masyarakat bermula kekurangan adab dan nilai murni agama yang dipinggirkan.
“Bakat ini adalah anugerah Allah, rasanya baik saya gunakan sedikit bakat yang dimiliki ini bagi melaksanakan objektif penciptaan manusia sebagai khalifah Tuhan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau yang menghasilkan karya termasuk cerpen, novel, puisi moden dan tradisional pernah terbabit dalam bengkel penulisan anjuran Kelab Puisi UIAM pada 2008 dan Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2008 dan 2009 sebagai pembimbing.
Setakat ini, Nasriah memiliki lima antologi cerpen yang dibukukan iaitu Pusaka Cendana (2007), Antologi 9! (2007), Wira Mandala Hijau (2008), Antologi Kacak-Jelita (2008) dan Antologi Biar Aku Jadi Orang Palestin (2008).
Selain itu, puisi moden (sajak) dihasilkan beliau diterjemahkan ke bahasa Inggeris dalam antologi puisi Malaysia-Singapura dengan judul Dari Jendela Zaman Ini (From the Window of This Epoch).
Antologi yang diselenggarakan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia dan National Arts Council Singapura itu dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.
Paling membanggakan, kumpulan cerpennya yang diterbitkan Pustaka Fajar Ilmu kini dalam proses cetakan untuk edaran dan bacaan sastera sekolah menengah dengan judul Sehijau Bakau Seteguh Cinta.
Bagi anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan ini, semua kejayaan dikecapinya adalah hasil minat mendalam beliau dalam kesusasteraan Melayu dan sokongan berterusan daripada keluarganya.
Nasriah yang amat meminati karya Sasterawan Negara Arena Wati, Datuk A. Samad Said, Datuk Baha Zain, Zaharah Nawawi dan Siti Zainon Ismail berharap agar dapat terus menulis dan menyumbang kepada pendokumentasian ilmiah tanah air.