Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
Ucapan perasmian 5 sidang Wanita, Pemuda dan Puteri Umno
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meluangkan masa setengah jam bersama kira-kira 100 pengunjung yang membeli naskhah Menakhoda Zaman tulisan beliau pada program ‘bacaan buku’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Program julung kali anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bertemakan ‘Pemimpin mengamanahkan budaya membaca kepada rakyat’ itu menyaksikan Perdana Menteri membaca 23 perenggan tulisan beliau yang dipetik daripada Bab 5: Pertarungan Minda Perang Masa Depan bermula halaman 32 hingga 35. Menakhoda Zaman atau Helming the Times adalah judul buku menghimpunkan ucapan Perdana Menteri pada lima perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dari 2004 hingga Mac 2009 dan dilancarkan sendiri beliau pada 11 Oktober lalu.
Buku itu antara lainnya menghimpunkan pelbagai idea, kritikan dan pandangan Perdana Menteri yang digarap secara jujur apabila memperkatakan mengenai kelemahan sebagai anak bangsa, bagaimana perlu bangkit menyahut cabaran, apakah cara untuk menggerakkan perubahan dan laluan yang dipilih untuk membolehkan gagasan membina masa depan dicapai.
Pada program berkenaan, Najib membacakan lima perenggan awal, sebelum diikuti pengunjung yang bersama-sama beliau membacakan perenggan seterusnya hingga akhir.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Shahruddin Mat Salleh; Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd Khair Ngadiron.
Perdana Menteri menekankan bahawa keupayaan minda menentukan kejayaan kepada organisasi, bangsa atau negara pada hari ini dan ia berbeza dengan kekuatan zaman lampau yang diukur secara fizikal dan kuantiti.
“Keupayaan minda yang hebat membolehkan seseorang itu menggarap, menaakul dan mencerap pelbagai masalah secara lebih intelektual, rasional dan berstrategi.
“Dalam Surah an-Anfal ayat 60, Allah SWT menyeru orang beriman supaya membuat persiapan secukupnya dengan segala bentuk kekuatan atau dalam istilah Arab, `quwwah’ untuk menghadapi musuh di medan peperangan.
“Sebuah hadis sahih pula menyatakan, seorang mukmin yang kuat itu lebih baik, daripada seorang mukmin yang lemah. Jika dikaji dalam konteks tafsiran semasa, ayat al-Quran dan hadis itu menuntut agar kita sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan segala bentuk kekuatan untuk menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Perdana Menteri turut menyaksikan majlis penyerahan buku daripada ITNM kepada PNM yang masing-masing diwakili Mohd Khair dan Raslin.
PNM membeli 2,500 naskhah untuk diedarkan ke seluruh perpustakaan desa, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dan Perpustakaan Gunasama.
Najib kemudiannya meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat gerai buku di aras tiga PWTC.