Oleh Wan Jailani Razak
HARAPAN penggemar ilmu untuk menyaksikan kewujudan Kota Buku Kuala Lumpur semakin menjadi kenyataan berikutan lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Seoul, Korea Selatan, bermula hari ini hingga 29 Julai ini.
Ini kerana pada kesempatan berada di negara republik itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran diberi penghormatan melancarkan sebuah novel terbitan terkini Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Paju Book City, Selasa ini.
Sebaik selesai pelancaran novel bertajuk Nyawa di Hujung Pedang, karya Ahmad Murad Nasaruddin yang diterjemahkan dari bahasa Melayu ke bahasa Korea, Muhyiddin berpeluang meninjau persekitaran kawasan itu untuk melihat kemudahan serta latar operasinya.
Lawatan itu juga membolehkan beliau, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan delegasi mempelajari serta mencontohi konsep pelaksanaan operasinya agar dapat dipraktikkan dalam sasaran skala faedah sama apabila Kota Buku Kuala Lumpur yang kini dalam rangka akhir kewujudannya mula beroperasi kelak.
Pada masa sama, lawatan ke Paju Book City juga diatur bagi memberi peluang kepada delegasi Malaysia melihat sendiri perkembangan pesat industri penerbitan dan penterjemahan di Korea, sekali gus membolehkan kita mencari tanda aras yang sesuai terhadap usaha memperkembangkan industri penerbitan dan terjemahan di Malaysia.
Majlis ringkas itu dijadual dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, pihak pengurusan Paju Book City serta wakil penerbit dan penulis Korea.
Pengalaman enam tahun bertugas di Langkawi mengingatkan penulis kewujudan Kampung Buku Malaysia di pulau pelancongan itu. Ketika itu sambutan orang ramai terhadap perkampungan buku itu begitu lesu meskipun pihak pengurusan sudah berikhtiar pelbagai cara untuk menghidupkannya.
Buku masih belum dapat diterima sebagai satu produk pelancongan meskipun lokasinya kena pada tempatnya. Sikap masyarakat yang belum bersedia ketika ini masih menidakkan usaha menjadikan buku sebagai satu produk pelancongan di Langkawi.
Justeru, seperti harapan Timbalan Perdana Menteri, Kota Buku bakal diwujudkan di Kuala Lumpur seharusnya membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka.
Projek itu yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran akan mengumpulkan penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung.
Bangunan untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dan kerja pengubahsuaian dengan kos kira-kira RM20 juta akan dimulakan tidak lama lagi dengan sebahagiannya dijadikan Muzium Guru manakala yang lain sebagai Kota Buku.
Kota Buku akan memberi peluang kepada Kuala Lumpur menjadi pusat penerbitan, penulisan dan pengedaran buku.
Ia satu projek untuk memberi galakan dan dorongan bagi memajukan bidang penerbitan dan kesusasteraan tempatan, katanya pada majlis pertemuan dengan sasterawan negara di Kuala Lumpur, Mei tahun lalu.
Pastinya nada Timbalan Perdana Menteri akan lebih yakin selepas kembalinya daripada lawatan ke Paju Book City untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah Kota Buku yang bertenaga agar taraf warganya semakin meningkat dan bertamadun tinggi.
Penduduk ibu negara bukan saja harus memandang tinggi budaya bangsa Korea Selatan, bahkan perlu mencontohi sikap rakyatnya yang menjadikan membaca buku sebagai amalan.
Jelasnya, bandar besar itu bukan saja terkenal dengan kehebatan bangunan pencakar langitnya tetapi juga menerusi monumen buku serta tamadun ilmu pengetahuannya.
Tradisi itu yang sepatutnya kita serap di Kuala Lumpur sekali gus menjadikan Kuala Lumpur juga terkenal sebagai sebuah kota ilmu yang mempunyai pelbagai jenis kedai buku, muzium dan perpustakaan.
Kewujudan Kota Buku itu akan menjadikan Malaysia sebaris dengan Korea Selatan yang mempunyai bandar raya buku di Paju Book City dan Kompleks Bandar Raya Buku di Tehran, Iran dan Shenzen Book City di China.
Semua bandar itu adalah contoh terbaik sebuah konsep Kota Buku. Ketiga-tiga Kota Buku itu juga popular di kalangan pembekal buku yang menawarkan buku baru dan buku terpakai melalui internet.
Muhyiddin pada lawatan hari pertama ke Korea Selatan dijadual mengadakan pertemuan meja bulat dengan pemain industri Korea yang terdiri daripada presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat gergasi di negara itu, diikuti pertemuan dengan rakyat Malaysia yang berada di sini.
Pada pertemuan itu, kedua-dua negara dijangka membincangkan bagaimana hubungan dua hala dapat dibentuk dalam bidang perindustrian bagi manfaat bersama.
Beliau kemudian dijadual melawat Korea Education and Research Information Service (KERIS), nama singkatan yang sinonim dengan ketuanan bangsa Melayu di Malaysia, selain melawat Hanam Information and Industry High School.
Pada hari kedua lawatan, Muhyiddin juga diberi penghormatan bertemu Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi, Ahn Byong Man di pejabatnya di Central Government Complex, Sejongro Jongrohu, Seoul sebelum bertolak ke Paju Book City.
Timbalan Perdana Menteri juga dijangka diberi sambutan meriah di Samsung City, sebuah syarikat gergasi Korea Selatan yang terkenal dengan produk elektroniknya, pada hari terakhir lawatan sebelum membuat kunjungan hormat ke Pejabat Perdana Menteri Korea Selatan.