BEBERAPA puisi istimewa akan dikongsi dengan khalayak Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) - Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) - Istana Budaya (IB) - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang akan berlangsung di Laman Sari IB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada 3 Mei ini, jam 8.30 malam.
Presiden PENA, Dr Mohammad Saleeh Rahamad, akan mendeklamasikan puisinya, Bukit Siguntang: Sampai Juga Aku Di Sini yang dituliskan berdasarkan pengalamannya mendaki bukit yang terletak di Palembang, Indonesia dan turut disebut dalam teks karya agung Melayu, Sejarah Melayu dan Sulalat al-Salatin.
“Saya mendapat ilham menulis puisi ini semasa lawatan ke Palembang bersama-sama penyair Nusantara beberapa bulan lalu. Puisi ini sarat dengan mesej tersirat dan hendaknya ia dapat digali khalayak yang hadir pada Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB-PENA yang menampilkan tema Apresiasi Ilmu dan Kreativiti,” katanya kepada Sastera ketika dihubungi.
Penyair yang juga wakil IB, Rahimidin Zahari, bercadang menyampaikan puisi, Aku Hanya Ingin Bertanya Tentang Apa Yang Inginku Tanya, karyanya yang ditulis khas bagi acara anjuran bersama BH dan ITNM dengan kerjasama PENA serta IB.
“Puisi ini ada kaitan dengan tema Apresiasi Ilmu dan Kreativiti seperti ditetapkan penganjur. Saya mengambil keputusan untuk menghasilkan puisi baru untuk program ini kerana puisi saya yang ditulis sebelum ini agak berat. Saya berharap mesej yang ingin saya sampaikan ini dalam puisi ini dapat dicerna khalayak malam terbabit,” katanya.
Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2004, Dr Zurinah Hassan, pula cuba menggegarkan Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB-PENA melalui puisi Pantun Gunung Ledang yang yang ditulis dalam bentuk pantun tetapi akan dilagukan dalam rentak syair.
“Puisi ini pernah diterbitkan dalam Kumpulan Antologi Salasilah pada 2004 yang mengumpulkan sebahagian besar puisi saya sepanjang pembabitan dalam dunia penulisan kreatif. Diharapkan puisi ini dapat membuka minda khalayak kerana ia memaparkan pelbagai kemungkinan jika masyarakat di negara ini berpecah,” katanya.
Syed Mohamad Zakir Syed Othman yang lebih dikenali dengan nama pena, SM Zakir dan baru dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Penulisan SEA 2011, berhasrat mendeklamasikan sebuah sajak yang belum diberi judul, juga dihasilkannya khas untuk Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB-PENA.
“Saya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah sajak khas untuk acara ini agar ia bertepatan dengan mesej yang ingin disampaikan dalam acara ini. Sajak itu berlegar kepada nilai kemanusiaan, tetapi saya masih belum dapat memberi judul yang menarik untuknya,” katanya.
Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB-PENA yang dibuka percuma kepada orang ramai akan turut menampilkan Penerima Anugerah Penulisan SEA 2005, 2007 dan 2010, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), Rahman Shaari, dan Zaen Kasturi, di samping pakar geografi yang juga Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ramzah Dambul.
Dua pelajar asing Jurusan Pengajian Melayu, Cho Min Sung dari Korea dan Yukari Noguchi (Jepun) akan turut beraksi di pentas puisi di samping, Pengarah Urusan ITNM, Mohamad Khir Ngadiron dan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid.
Malam yang akan menampilkan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya, sebagai pengacara akan turut dimeriahkan dengan persembahan Pemenang Lagu Nasyid Terbaik menerusi lagu Pedoman duet bersama kumpulan VOU pada Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18), Nora; Juara program realiti, Mentor Musim Ke-3, Black; penyanyi lagu puisi, Taheera Rosheena Mohamed dan Kumpulan Dewangga Sakti.