HARI Pejuang Bahasa 152 akan diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, pada 14 dan 15 Februari ini sempena memperingati Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 yang memartabatkan bahasa Melayu.
Ketua Satu, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Mohamad Daud Mohamad, berkata pemilihan 15 Februari setiap tahun bagi pelaksanaan program itu tepat dan keramat bagi membina rasa kecintaan, semangat kesedaran dan tanggungjawab memikul amanah betapa pentingnya meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya.
“Kami yakin dengan menjana kegiatan khusus dan penuh simbolik bagi menggerakkan kesedaran dan keinsafan masyarakat mengenai sumbangan bahasa Melayu dalam konteks negara Malaysia.
“Ia juga diharap dapat memupuk semangat kecintaan, kesedaran berhubung tanggungjawab dan amanah khususnya karyawan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa pemersatuan rasa, keilmuan serta perpaduan,” katanya pada satu sesi perbincangan persiapan program berkenaan di DBP, baru-baru ini.
Program anjuran bersama Kalam, DBP, Pena, Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara (JKKN), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu turut mendapat kerjasama daripada persatuan penulis, syarikat penerbitan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Mohamad Daud berkata, Hari Pejuang Bahasa 152 itu akan menjadi medan untuk membincangkan pelan strategik dan arah tuju bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan serta pembangunan negara, selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Program ini akan diisi dengan majlis kenduri, pengucapan puisi 152, pembentangan kertas kerja, wacana peradaban bahasa Melayu dan sumpah pejuang bahasa yang akan turut menampilkan panel terkenal dari pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Antologi puisi berhubung peristiwa Keranda 152 yang berlaku pada 15 Februari 1967 iaitu bermulanya sejarah mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi oleh tokoh bahasa di Parlimen, akan diterbitkan dan puisi perlu dihantar kepada sekretariat sebelum 5 Februari ini, manakala maklumat lanjut hubungi talian 03-21482251 (Mohd Taib)/03-21482273 (Jaafar) atau e-mel kepada taib2@dbp.gov.my/jfar@dbp.gov.my.