News

ITNM Anjur Seminar Buku

30 Aug 2010 - Sinar Harian


SHAH ALAM – Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan mengadakan Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 bertemakan “Memperkasa Budaya Membaca Karya Terjemahan”.

ITNM dalam kenyataannya berkata, pengisian seminar tersebut akan menjawab segala persoalan bagaimana peningkatan besar jualan buku terjemahan di Malaysia berlaku selain bagaimana ia mampu mencetuskan fenomena baru yang bakal mengubah prasarana keseluruhan industri buku Negara.

Menurutnya, ia adalah tahun keempat penganjurannya bermula 2006 malah ia diteruskan sebagai medan ilmu untuk kalangan pencinta buku berdiskusi mengenai pelbagai isu berkaitan dunia penterjemahan, perbukuan, penerbitan dan pembacaan.

“Tema setiap seminar dianjurkan berlainan mengikut kesesuaian situasi semasa, dan setiap pembentangan kertas kerja akan dihimpunkan serta diterbitkan dalam bentuk buku. Seminar ini akan dirasmikan oleh Datuk Mohamed Nor Khalid (Lat), kartunis dan penulis karya terjemahan paling berjaya di Malaysia, The Kampung Boy.

Katanya, usaha ITNM sebagai sokongan usaha mengembangkan peradaban ilmu, yang boleh dicapai menerusi transformasi besar-besaran aktiviti terjemahan dan pemantapan budaya membaca dalam masyarakat.

Seminar ini akan diadakan pada 21 September 2010 (dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang), bertempat di Dewan Utama, Wisma ITNM di Wangsa Maju. Ia terbuka kepada semua dengan yuran penyertaan RM50 untuk organisasi, RM30 untuk individu, dan RM10 untuk pelajar.

ITNM Anjur Seminar Buku