KUALA LUMPUR 21 Mac - Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) merancang untuk memasukkan 700 judul buku terbitannya dalam Google Books menjelang akhir tahun ini .
Ketua Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Khair Ngadiron berkata, pada peringkat permulaan hanya 70 judul buku karya sastera tempatan yang diterjemah ke bahasa Inggeris dimasukkan ke Google Books.
Beliau berkata, ini kerana ITNM baru dua bulan bekerjasama dengan Google BOoks untuk membolehkan buku karya tempatan dijual secara online menerusi laman web tersebut.
"Kerjasama dengan Google Books ini sebenarnya dapat membantu ITNM mempercepatkan lagi proses menjual buku tempatan ke seluruh dunia," katanya pada sidang media selepas pelancaran kerjasama ITNM dengan Google Books.
Majlis pelancaran dilakukan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom di gerai ITNM sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mohd. Khair berkata, peminat buku di seluruh dunia kini boleh membeli buku terbitan ITNM hanya dengan melayari Google Books.