News

ITNM Sasar Terjemah 1,056 Buku dalam Tempoh Lima Tahun

23 Feb 2010 - Utusan Malaysia

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menyasarkan menterjemah 1,056 judul buku dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2014.

Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron berkata, sasaran itu merangkumi terjemahan 156 judul pada 2010, 168 judul (2011), 192 judul (2012) manakala 240 judul (2013) dan 300 judul pada 2014.

ITNM jelasnya, menyasarkan menterjemah 13 judul setiap bulan sepanjang 2010, 14 judul (2011), 16 judul (2012) 20 judul (2013) dan 25 judul setiap bulan sepanjang 2014.

"Ia selaras dengan usaha ITNM dalam memperkayakan bahan bacaan bahasa Melayu selain menggalakkan masyarakat negara ini menimba ilmu pengetahuan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini bertajuk ‘Rakyat tidak suka buku!’ yang mendedahkan hasil tinjauan di pelbagai lokasi tumpuan umum mendapati jumlah yang membaca buku sangat kecil.

Menurut Mohd. Khair, usaha itu bukan saja meningkatkan bilangan penterjemah di negara ini malah dapat memastikan kualiti bahan penterjemahan menjadi bertambah baik.

“Misi ITNM adalah untuk merancakkan industri perbukuan sekali gus boleh menambahkan bilangan buku diterbitkan di negara ini.”

“Kita ingin mencontohi negara-negara maju yang berjaya menerbitkan 25,000 judul buku dalam setahun,” ujarnya.

Mohd. Khair berkata, peningkatan jualan buku-buku terjemahan ITNM membuktikan buku-buku tersebut laris di pasaran.

“Kini buku-buku terjemahan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Buku-buku umum menjadi pilihan orang ramai dan antara yang terlaris adalah Menakhoda Zaman nukilan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1771-1965,” ujarnya.

Sejak 1993 hingga tahun lalu, ITNM telah menterjemah sebanyak 1,058 judul buku asing pelbagai fiksyen.

ITNM Sasar Terjemah 1,056 Buku dalam Tempoh Lima Tahun