KUALA LUMPUR 21 Sept. – Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan menterjemah dan menerbitkan sebanyak 130 judul buku berteraskan Sains dan Matematik dari luar Negara untuk sekolah rendah dan menengah menjelang 2011.
Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd. Khair Ngadiron berkata, selain itu, 50 judul buku bertemakan kreatif juga turut diterjemah sebagai inisiatif pihaknya menyediakan bahan bacaan tambahan dalam bahasa Melayu.
“Ia juga merupakan satu langkah untuk menyokong usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya kepada pemberita pada Seminar Pencinta Buku Malaysia anjuran ITNM dengan kerjasama Komuniti Buku Online (KBO) di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya juga mengambil langkah untuk menterjemahkan buku dari luar Negara bertujuan menyebarkan maklumat terutama kepada pelajar luar Bandar yang tidak menguasai bahasa Inggeris.
“Buku tersebut akan diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh Negara sebagai bahan bacaan tambahan untuk menambahkan ilmu pengetahuan selain member fahaman yang jelas kerana telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” ujarnya.
Menurutnya, antara buku yang akan diterjemahkan adalah dari Negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman.
Sementara itu, ITNM juga menyasarkan untuk menterjemah dan menerbitkan 156 naskhah buku pelbagai genre buat bacaan umum pada tahun ini.