Oleh Nor Aziah Jaafar
SEOUL 27 Julai – Kerajaan memberi jaminan sebarang keputusan yang dibuat berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) selepas perbincangan Meja Bulat terakhir hari ini adalah yang terbaik untuk sistem pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selepas perbincangan itu selesai, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom akan menghantar laporan lengkap kepada beliau untuk dibuat penilaian dan keputusan.
‘‘Apa yang kita mahu ialah satu sistem pendidikan berkualiti yang dapat meningkatkan tahap pendidikan negara. Ada peperiksaan atau tidak, ia mesti yang terbaik.
‘‘Dua perbincangan meja bulat berhubung cadangan ini boleh memberi gambaran tentang pandangan masyarakat mengenai perkara ini,” katanya pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama penuntut dan komuniti Malaysia di sini malam tadi.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersikap terbuka dalam perkara tersebut, sebab itu kementerian mengambil kira pendapat semua pihak yang dibuat menerusi persidangan Meja Bulat dan media sebelum membuat keputusan.
Menurutnya, kedua-dua pihak yang menyokong dan membantah pemansuhan UPSR dan PMR pada umumnya bersetuju supaya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikekalkan.
Beliau sekali lagi menjelaskan, cadangan pemansuhan itu dibuat selepas timbul persoalan sama ada sistem pendidikan di Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan.
Mengenai pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan jelasnya, sebahagian daripada waktu belajar di sekolah akan digunakan untuk tujuan sukan dengan mneyediakan guru yang mahir dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, pelajar juga akan dibenarkan untuk memakai pakaian sukan ke sekolah pada hari tertentu seperti yang dilakukan di negara lain yang maju dalam sukan seperti Australia dan Eropah.
‘‘Ini bukan soal sukan saja tetapi berhubung kait dengan bidang sains sukan, psikologi dan infrastuktur sukan. Bidang ini mesti dilatih. Sukan memerlukan penyertaan orang yang cerdik termasuk untuk menguruskan tekanan dan sebagainya,” katanya.
Jelasnya, dasar itu juga untuk mengekang cara hidup kurang sihat pelajar sekarang yang ramai mengalami obesiti. – Utusan