Berita

Jom Sertai Jejak Buku 1Malaysia

22 Sep 2010 - Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Usaha menarik minat masyarakat setempat mendekati dan menjadikan buku sebagai rakan sepanjang masa mendorong Urusetia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (UST MBKM) menganjurkan Pertandingan Jejak melalui program Kembara Buku 1 Malaysia bermula 24 hingga 26 September 2010 bertempat di Parlimen Pagoh, Johor.

Pengarah Urusetia Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Dr A’Azmi Shahri berkata, program pengembangan budaya membaca ke daerah terpilih adalah program tahunan UST MBKM yang bertujuan mendekatkan lagi hubungan Kementerian Pelajaran (KPM) dengan sekolah di luar bandar dan pendalaman melalui pelbagai aktiviti gerakan membaca dan menulis yang bersekala kecil.

“Antara pengisian menarik Kembara Buku 1Malaysia adalah program sumbangan buku kepada sekolah terpilih sebagai satu langkah pengembangan budaya membaca dalam kalangan murid.

“Program ini dilaksanakan setiap tahun bagi membantu sekolah yang menghadapi kekurangan koleksi bahan rujukan di pusat sumber sekolah melalui penglibatan agensi lain bersama penerbit buku di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, Kembara Buku 1Malaysia adalah sebuah acara penataran atau outreaching yang dianjurkan MBKM bagi melebarkan lagi capaian audiens perbukuan khususnya di peringkat luar bandar.

Katanya, bersempena program tersebut, UST MBKM akan mengadakan Pertandingan Jejak Buku sebagai salah satu acara di dalam Kembara Buku 1Malaysia dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pemenang.

“Hadiah lumayan untuk pemenang pertama bakal menarik ramai pencinta buku menyertai pertandingan tersebut, di mana acara ini diacukan bagi mengisi kembara yang berorientasikan ilmu dan dunia perbukuan sepanjang perjalanan nanti.

“Pemenang pertama bakal menerima wang tunai RM3, 000, tempat kedua dan ketiga RM2,000 dan RM1, 000 berserta sijil penyertaan. Lima hadiah sagu hati turut diberikan kepada lima kumpulan tiba paling awal dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, Jejak Buku adalah pertandingan berbentuk treasure hunt yang memerlukan peserta menjejaki petanda perbukuan yang diberikan sepanjang perjalanan bermula dari Kementerian Pelajaran , Putrajaya menuju ke Kompleks Sukan Pagoh.

“Ia akan diadakan pada hari terakhir Kembara Buku 1Malaysia iaitu pada 26 September 2010 bermula jam 8.30 pagi dan dijangka berakhir pada jam 1.30 petang pada hari yang sama.

“Peserta bakal melalui pengalaman berburu buku sepanjang perjalanan dan dijangka akan melibatkan 50 kenderaan dengan 150 peserta pada hari berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr A’Azmi berkata, hadiah kepada pemenang adalah tajaan bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Sasbadi Sdn Bhd manakala akhbar Sinar Harian adalah rakan media rasmi sepanjang aktiviti berlangsung.

Difahamkan Pelancaran Kembara Buku 1Malaysia ini bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri , Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Bagi mereka yang berminat maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi urusetia, Norhayati Razali menerusi talian 03-88847019, Mohd Heqme menerusi talian 03-83217011 atau layari laman web www.moe.gov.my/mbkm. Tarikh tutup penyertaan sebelum 23 September 2010 dan yuran pendaftaran RM100 boleh dibayar menerusi akaun Public Bank : 3138945012 di atas nama MAJLIS BUKU KEBANGSAAN MALAYSIA.

Manakala maklumat wakil kumpulan dan pembayaran boleh dihantar menerusi faksimili 03-83217012, atau emel kepada mbkm@moe.gov.my serta menghantar SMS menerusi talian 013-6867157.

Jom Sertai Jejak Buku 1Malaysia