KUALA LUMPUR 21 Sept. – Kampung Boy karya kartunis Lat atau Datuk Mohd. Nor Khalid akan dpentaskan dalam bentuk teater muzikal di Istana Budaya pada Disember ini.
Pementasan itu adalah hasil usahasama antara Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan Tall Order Theatre Production.
Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir berkata, Kampung Boy dipilih kerana ceritanya memaparkan budaya masyarakat negara ini.
“Teater ini bakal berteraskan konsep 1Malaysia, atas permintaan Datuk sendiri (Lat). Bukan sahaja kru malah pelakonnya juga akan terdiri daripada pelbagai kaum.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk menjadi penaung pementasannya,” katanya kepada pemberita di sini.
Katanya, buku kartun Kampung Boy diterjemahkan ke dalam 15 bahasa dan ini merupakan cara terbaik untuk mempromosikan budaya masyarakat Malaysia melalui teater kepada orang ramai.
Bagi Lat pula, beliau tidak menyangka karyanya itu akan dipersembahkan secara teater muzikal di sebuah pentas bertaraf antarabangsa dan menganggap ia sebagai satu penghargaan kepadanya.