Berita

Kampung Boy Versi Arab

21 Mar 2010 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Buku Kampung Boy karya kartunis Lat atau nama sebenar, Datuk Mohd Nor Khalid versi bahasa Arab dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, semalam. 

Versi bahasa Arab itu diterjemahkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) adalah koleksi ke-10 karya Lat yang sudah dialih bahasa, selain bahasa Jepun, Korea, Portugis, Perancis, Belanda, Sepanyol, Itali, Inggeris dan Jerman.

Lat berkata, penterjemahan komik ke dalam bahasa Arab itu diharap mampu memberi nafas baru dalam dunia penulisan, khususnya mempelbagaikan komiknya dalam bahasa yang difahami masyarakat pada peringkat antarabangsa. “Buku komik ini menjadi satu daripda cara kita mengetengah serta memaparkan kebudayaan rakyat Malaysia dan secara relatifnya penterjemahan dalam pelbagai bahasa membolehkan masyarakat antarabangsa lebih memahami mesej yang cuba disampaikan. 

“Memang banyak kisah yang boleh mengaitkan diri kita secara langsung dan tidak langsung. Bagi mereka yang pernah ada kampung, membaca dan melihat watak dalam Kampung Boy memberikan nostalgia. Itulah identiti kita. 

“Saya bangga kerana lebih ramai dapat membaca komik berkenaan. Walaupun lukisan penting dalam karya penulisan komik, teks dan keterangan memainkan peranan sebagai inti pati komik,” katanya selepas pelancaran Kampung Boy dalam versi Arab, di sini, semalam. 

Sementara itu, Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron, berkata Kampung Boy dalam bahasa Arab adalah pentas terbaik untuk memperkenalkannya kepada pembaca di Asia Barat. 

Kampung Boy Versi Arab