News

Kita kaji krisis ekonomi Eropah

14 Dec 2011 - Utusan Malaysia


KUALA LUMPUR 13 Dis. - Kerajaan akan mengkaji bagaimana krisis ekonomi di Eropah boleh menjejaskan eksport negara, serta kesannya kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, buat masa ini nilai eksport secara langsung Malaysia ke Eropah hanya kira-kira 10 peratus, manakala eksport ke negara-negara utama yang menghadapi krisis di benua itu sebanyak tiga peratus.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan memantau eksport secara tidak langsung Malaysia yang mana perlu melalui negara lain dan menjalani proses pemasangan atau pengeluaran penuh sebelum sampai ke pasaran Eropah.

"Ia mampu membawa kesan jika nilainya besar (melalui negara lain). Kami akan mengkaji dan memantau perkembangan itu setiap masa," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah dan pelancaran Buku Hadiah Sako 3 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu Bhd. (Kumpulan Utusan), Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Utusan, ITNM dan Perpustakaan Negara Malaysia itu adalah bagi mengiktiraf penulisan sastera tempatan sebagai mengenang jasa tokoh Sasterawan Negara iaitu Ishak Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Sako.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan masih mampu dicapai memandangkan perkembangan dan permintaan ekonomi domestik yang pesat serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI).

"Penumpuan terhadap pembangunan ekonomi domestik dan serantau sedikit sebanyak mengimbangi keadaan itu. Malah, industri kewangan negara sendiri juga tidak mempunyai hubungan rapat dengan Eropah," katanya.

Tambahnya, krisis ekonomi di Eropah juga kini menjadi perhatian banyak negara yang sedia bekerjasama dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menangani masalah itu.

"Negara pengeksport besar seperti China sendiri mahu menghulurkan bantuan supaya tidak menjejaskan eksport mereka," katanya.

Kata Timbalan Menteri itu lagi, negara bersedia untuk terlibat membantu pemulihan ekonomi di Eropah yang kini bergantung kepada inisiatif IMF.

Kita kaji krisis ekonomi Eropah