News

KL-Seoul Yakin Hubungan Semakin Kukuh

02 Aug 2010 - Berita Harian


Oleh Wan Jailani Abd Razak

Kunjungan TPM ke Korea Selatan perluas kerjasama pelbagai bidang yang terjalin 50 tahun lalu

BIARPUN pasukan bola sepak skuad Olimpik Korea Selatan tewas 0-1 kepada skuad bawah 23 tahun Malaysia pada hari sama delegasi negara tiba di republik itu, 25 Julai lalu, keakraban Kuala Lumpur-Seoul tidak terjejas hanya kerana keputusan di atas padang Stadium Bukit Jalil itu.

Malah, kedua-dua negara yang hubungan diplomatiknya genap setengah abad tahun ini, diyakini terus melakar lebih banyak jalinan kerjasama pelbagai bidang mencakupi politik, ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial dan kebudayaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai delegasi Malaysia pada lawatan rasmi empat hari ke Korea Selatan bermula 26 Julai lalu melahirkan keyakinan itu selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Un-chan, di Kompleks Kerajaan Pusat di Seoul.

Timbalan Perdana Menteri melihat hubungan dua hala itu mampu bertambah erat menerusi hubungan antara pemimpin dengan pemimpin, rakyat dengan rakyat dan masyarakat peniaga dengan peniaga.

“Sekarang kita tunggu lawatan rasmi Presiden Korea Selatan ke Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam hubungan kedua-dua negara. Di samping itu, diharap ada beberapa perkara akan menjadi simbol hubungan dua hala dalam lawatan itu,” katanya sambil menyifatkan lawatan itu pada keseluruhannya berhasil dan begitu signifikan.

Lawatan peringkat tinggi itu sempena memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Selatan yang terjalin sejak 23 Februari 1960. Pada lawatan di negara yang ketika ini bersuhu antara 23 dan 32 darjah Celsius itu, Muhyiddin diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; lima Ahli Parlimen dan pegawai kanan Kementerian Pelajaran serta Kementerian Luar.

Muhyiddin memulakan lawatan dengan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama penggiat industri utama Korea Selatan anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum menghadiri jamuan makan malam untuk rakyat Malaysia di Korea Selatan.

Beliau turut melawat Pusat Pendidikan Korea dan Perkhidmatan Maklumat Penyelidikan (KERIS), agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi. Pusat itu bertindak sebagai agen pembangunan, memberi cadangan dan nasihat mengenai dasar dan inisiatif semasa berhubung pendidikan di negara itu.

KERIS juga menumpukan pembangunan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam sistem pendidikan di negara itu serta membantu agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dalam meningkatkan infrastruktur ICT di negara lain. Muhyiddin turut bertemu Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ahn Byong Man sebelum berkunjung ke Bandar Raya Buku, Paju bagi melancarkan novel Nyawa di Hujung Pedang oleh Ahmad Murad Nasaruddin yang diterjemahkan ke dalam bahasa Korea oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Pada hari ketiga, Muhyiddin melawat Bandar Digital Samsung yang menjadi hab maklumat teknologi dan elektronik bagi syarikat multinasional Samsung.

Menyifatkan pembangunan Korea Selatan sebagai pesat, beliau mengagumi semangat ingin berlumba dalam mencapai kemajuan yang dimiliki rakyat negara itu. Dalam beberapa bidang seperti pengeluaran barangan elektronik, mereka sudah mengatasi Jepun.

Menyedari potensi negara itu, Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Ramlan Ibrahim, mengumumkan hasrat Malaysia menganjurkan Minggu Malaysia tahun ini dan melancarkan buku bergambar mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kedutaan Malaysia di negara republik itu juga akan menganjurkan lawatan yang disertai kumpulan penulis pengembaraan Korea Selatan ke Malaysia bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Jumlah perdagangan kedua-dua negara pula meningkat kepada AS$6.6 bilion (RM21 bilion) iaitu peningkatan 46.9 peratus pada lima bulan pertama tahun ini berbanding AS$4.5 bilion (RM14.3 bilion), tahun lalu.

Hasil lawatan itu, Malaysia turut berminat meningkatkan hubungan pendidikan selepas menyaksikan keberkesanan penggunaan ICT dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di Korea Selatan.

Malaysia juga berminat menjalin kerjasama pembangunan kurikulum, pendidikan guru, pembangunan vokasional dan teknikal serta sukan sekali gus mendorong usaha merangka memorandum persefahaman mengenai pendidikan oleh pegawai kedua-dua negara.

Pelawaan Malaysia supaya syarikat Korea Selatan meningkatkan pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk teknologi hijau, perkhidmatan kewangan Islam, pelancongan kesihatan dan kegiatan berkaitan minyak dan gas di Malaysia, tidak harus ditolak kerana dengan berbuat demikian, syarikat itu membantu kedua-dua negara bersama menikmati kejayaan ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

Bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat, Malaysia memberi jaminan terus mempermudah operasi dan rancangan pelabur asing untuk melabur di negara itu dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan menyelaras pentadbiran di antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Atas jaminan itu, 15 syarikat konglomerat Korea Selatan menyatakan hasrat melabur atau menambah pelaburan di Malaysia, termasuk Kumpulan Samsung yang ketika ini sudah melabur lebih AS$1.5 bilion.

KL-Seoul Yakin Hubungan Semakin Kukuh