Seoul 25 Julai – Usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku semakin menjadi realiti berikutan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke ibu Negara Korea Selatan itu, bermula esok hingga Khamis ini.
Ini kerana dalam lawatan rasmi pertama beliau selaku Timbalan Perdana Menteri ke negara ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran akan melawat Paju Book City di sini, Selasa ini bagi meninjau operasi serta persekitarannya untuk dicontohi oleh Kota buku Kuala Lumpur apabila beroperasi tahun depan.
Ketika di Paju Book City, Timbalan Perdana Menteri yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman akan melancarkan sebuah novel bertajuk Nyawa Di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasaruddin.
Novel yang diterjemahkan daripada bahasa Melayu ke bahasa Korea ini merupakan terbitan terkini Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang serta beberapa wakil penerbit dan penulis Korea Selatan dijangka hadir pada majlis itu.
Dalam lawatan itu, delegasi Malaysia turut berpeluang melihat sendiri perkembangan pesat industri penerbitan dan penterjemahan di Korea Selatan untuk membantu Malaysia menetapkan tanda aras bagi kedua-dua industri berkenaan.
Kewujudan Kota Buku Kuala Lumpur iaitu projek yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran bakal member ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka.
Projek itu akan mengumpulkan penerbit, penulis dan pengedar buku beroperasi di bawah satu bumbung dan bangunan untuk tujuan itu sudah dikenal pasti dengan kerja-kerja pengubahsuaian melibatkan kos kira-kira RM20 juta akan dimulakan tidak lama lagi.
Sebahagian daripada bangunan itu akan dijadikan Muzium Guru, manakala sebahagian lagi sebagai Kota Buku.