Judul: Liku-liku Pencarian Nur Islam
Penulis: Sulaiman Dufford
Penterjemah: Noresah Baharom
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)
ISBN: 978-983-068-525-0
Pengulas: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
PREJUDIS penganut agama lain terhadap Islam sudah bermula sejak tamadun yang lebih awal. Namun peristiwa serangan yang meruntuhkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 membawa dimensi rasa benci itu ke satu tahap yang baru. Sejak itu, istilah Islamophobia diperbesarkan sehingga berjaya menakutkan sebahagian besar masyarakat bukan Islam seluruh dunia.
Elemen-elemen mengenai Islam juga diperbodohkan, selain penganutnya sering dituduh sebagai suspek utama dalam sebarang peristiwa keganasan. Namun tanpa disedari, semakin Islam itu dihenyak dari pelbagai sudut, semakin ramai pula penganut agama lain yang menunjukkan minat untuk mendalami agama suci ini.
Ada yang memeluk Islam selepas mendalami agama ini menerusi pelbagai kajian ilmiah dan selepas membuat perbandingan dengan agama-agama lain. Malah, ada yang lentur jiwanya untuk sujud menyembah Allah SWT selepas mengkaji kitab suci al-Quran dan mengenali Nabi Muhammad SAW menerusi pembacaan.
Pertemuan dengan penganut Islam yang memiliki keperibadian dan akhlak terpuji juga berjaya menarik penganut agama lain untuk menjadi seorang Islam. Buku ini misalnya, menghimpunkan catatan perjalanan yang membawa kepada pengIslaman dalam diri seseorang yang dilahirkan sebagai bukan Islam. Ia merupakan sebuah kisah yang dikongsi bersama penulisnya, Sulaiman Dufford sebelum dipanjangkan menjadi sebuah koleksi peristiwa yang mengasyikkan.
Terdapat 47 kisah saudara baru yang ditemui Sulaiman di seluruh dunia yang dihimpunkan menerusi buku dengan tajuk asal Conversion Journey: On Becoming Muslim in the West ini. Sulaiman sendiri yang membesar di Texas, AS asalnya merupakan penganut Kristian. Beliau memeluk Islam pada 1970 ketika berusia 30 tahun selepas terkesan dengan alunan azan Subuh yang didengarinya dari sebuah masjid ketika berada di Istanbul.
Namun pencarian Islam oleh Sulaiman bermula lebih awal iaitu ketika beliau masih menuntut di Universiti Stanford, AS menerusi pembacaan buku-buku mengenai Islam. Pencarian itu membawa beliau ke negara-negara Islam seperti Turki dan Indonesia, sebelum melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah pusat Islam di California Selatan, Los Angeles, AS. Bagi kebanyakan rakyat AS yang masih tebal dengan sikap anti Islam, Sulaiman dianggap tidak ubah seperti seorang pengkhianat.
Sulaiman sedar bahawa dia tidak bersendirian menerima kecaman dan ramai lagi saudara baru Islam menerima nasib serupa termasuk mereka yang tinggal di luar AS. Pengalaman-pengalaman saudara baru Islam itulah yang dikongsikan oleh Sulaiman menerusi buku ini.
Antaranya ialah kisah pengIslaman seorang remaja AS berusia 16 tahun, Karima Burns yang tertarik dengan kehalusan seni bina Masjid Alhambra yang dikunjunginya ketika melancong ke Sepanyol. Burns tidak dapat melupakan ukiran-ukiran ayat suci al-Quran yang terdapat pada dinding masjid tersebut dan mula mempelajari bahasa Arab dan membaca kitab suci itu.
Membaca al-Quran juga berjaya melembutkan hati saudara baru seperti Khadijah Jandhli iaitu rakyat AS kelahiran Oklahoma dan dua rakyat Jepun, Monica dan Sunaku. Ali Mexici, seorang pemuda berketurunan Amerika-Mexico atau sering disebut bangsa Chicano juga memeluk Islam selepas membaca al-Quran yang dihadiahkan oleh seorang rakannya sebagai sebuah buku.
Sementara itu, Yusuf Ali Bernier, seorang ahli perniagaan berjaya di Kanada, jatuh cinta terhadap Islam kerana keperibadian umat Islam di sekelilingnya. Yusuf yang asalnya seorang Katolik, tertarik dengan lafaz seperti insya- Allah dan Alhamdulillah yang sering dilafazkan oleh rakan perniagaan beliau yang beragama Islam.
Bagaimanapun, apa yang membuatkan Yusuf terdorong melafazkan dua kalimah syahadah ialah ujian kesakitan yang diterimanya ketika sedang bercuti di luar negara. Ketika berasakan seolah-olah sakitnya itu akan membawa kepada kematian, dia memanjatkan doa kepada Allah SWT meskipun ketika itu masih lagi belum memeluk Islam. Selepas sembuh dan kembali ke Kanada, Yusuf akhirnya memilih Islam sebagai agama sebenarnya.
Kisah pengIslaman Asma’ A’lia, gadis sunti berusia 15 tahun dari Tijuana, Mexico juga tidak kurang menariknya. Dalam usia yang masih muda, keputusan Asma’ memeluk Islam memecah tradisi beragama dalam keluarganya yang merupakan penganut Kristian.
Membaca buku ini sebagai seorang yang dilahirkan sebagai Islam, menerbitkan rasa kesyukuran yang sangat mendalam terhadap ketentuan Allah SWT. Kita tidak perlu menjadi seperti individu ini yang terpaksa menyembunyikan keinginan mereka untuk menjadi umat Islam sebenar.
Kita juga tidak memerlukan penyebab dan pendorong untuk dijodohkan dengan agama yang suci ini seperti sebahagian besar daripada saudara baru Islam. Dengan hakikat itu, kita sepatutnya menjadi umat Islam yang lebih baik dan boleh dicontohi.