Berita

Lima Dasar Utama Dalam KBT

21 Jul 2010 - Utusan Malaysia


GENTING HIGHLANDS 20 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan lima dasar utama di dalam konsep Kepimpinan Berprestasi Tinggi (KBT) yang perlu diamalkan oleh pegawai kanan Kementerian Pelajaran dalam usaha menambah baik dan menjamin sistem pendidikan negara berada pada tahap tinggi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, lima dasar tersebut adalah akauntabiliti dan kredibiliti, menjadi 'role model', melaksanakan perubahan secara proaktif, membentuk pemimpin pelapis serta menghayati dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut beliau, dasar yang terkandung di dalam KBT itu menjadi prasyarat penting bagi melahirkan sekolah-sekolah yang mempunyai ciri-ciri cemerlang dan ia melengkapi tumpuan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ketiga iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti.

''Konsep yang perlu dihayati itu bertujuan untuk melonjakkan pendidikan negara sehingga menghasilkan modal insan holistik yang memiliki pengetahuan dan kemahiran, kreatif dan inovatif serta mampu bersaing di persada antarabangsa.

''Maka itu, pegawai kanan kementerian selaku pemimpin yang menerajui halatuju merealisasikan wawasan ini haruslah berperanan sebagai pemimpin yang berprestasi tinggi.

''Ini adalah kerana, hanya kumpulan pemimpin berkualiti seperti itu sahaja yang mampu mencipta kecemerlangan institusi pimpinannya,'' katanya.

Teks ucapan beliau sempena majlis perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-17 2010 di Institut Aminuddin Baki (IAB), dekat sini hari ini, dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Turut hadir, Pengarah IAB, Datuk Abd. Ghafar Mahmud dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan Malaysia (ITNM), Mohd. Khair Ngadiron.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menyedari tentang pentingnya akauntabiliti dan kredibiliti di kalangan pemimpin, kerajaan telah menyedia dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN).

Lantaran itu, ujar beliau, pemimpin berprestasi tinggi harus meletakkan usaha membudayakan integriti sebagai tunjang dalam kepimpinan mereka.

''Mereka bukan sahaja perlu mengelakkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, tetapi, mereka yang memiliki integriti sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan, kepakaran serta dipandu oleh sikap yang betul.

''Elemen-elemen budaya kualiti ini akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan tadbir urus organisasi. Sifat akauntabiliti perlu berjalan seiring dengan kredibiliti.

''Ibarat magnet yang menarik serbuk besi di sekelilingnya, kredibiliti adalah satu unsur kepimpinan yang dapat membuatkan orang yang dipimpin memberikan rasa hormat dalam setiap tindakan dan keputusan pemimpinnya,'' katanya.

Selain itu, jelasnya, kepimpinan yang efektif dan berprestasi tinggi juga adalah pemimpin yang boleh dijadikan contoh dan lambang kepada mereka yang dipimpin serta sentiasa merangsang perkongsian visi orang-orang yang dipimpinnya.

Muhyiddin memberitahu, secara realiti, pemimpin yang ingin membuat perubahan akan berhadapan dengan pelbagai rintangan kerana manusia biasanya cenderung berada dalam zon selesa.

''Oleh yang demikian, jika seseorang pemimpin ingin mengurus perubahan secara berkesan, mereka hendaklah bersedia untuk menghadapai cabaran. Keengganan dan ketakutan pemimpin menongkah arus perubahan akan mengakibatkan sistem pendidikan bersifat statik.

''Kecemerlangan tidak mungkin dapat dicipta dan hasrat negara untuk menjana modal insan yang mampu bersaing di persada global hanya tinggal impian semata,'' tegasnya.

Tambah beliau, pemimpin berprestasi tinggi perlu menghayati dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan membudayakannya dalam menjalankan tugas harian.

''Mereka juga perlu melihat kekuatan organisasi masing-masing bagi mengenalpasti apakah bidang yang boleh ditonjolkan sebagai penanda aras memperkasa organisasi,'' katanya.

Lima Dasar Utama Dalam KBT