Berita

Malam Puisi Riong gempak

07 Dec 2011 - Berita Harian (Sastera)

Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my
2011/12/07

HUJAN lebat yang membasahi Laman Beringin, Istana Budaya (IB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, adalah rahmat pada Malam Puisi Riong Berita Harian (BH)-Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM)- IB-Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang berlangsung Sabtu lalu.

Program Sabtu lalu yang menjadi penutup Malam Puisi Riong pada tahun ini selepas enam kali berlangsung sepanjang tahun menarik lebih 1000 pencinta puisi tanah air untuk membanjiri Laman Sari bagi menyaksikan deklamasi dan lagu puisi oleh penyair dan artis popular tanah air.

Acara yang dimulakan pada jam 8.45 malam sebaik hujan berhenti seolah-olah belum puas dihayati apabila khalayak terus membanjiri di Laman Sari meskipun jam sudah menunjukkan jam 10.30 malam tanda acara sudah menutup tirai.

Kehadiran seisi keluarga, kumpulan pelajar sekolah dan penuntut universiti di samping kalangan orang sastera memberi kepuasan penuh makna kepada penganjur BH, ITNM, IB dan PENA kerana setidak-tidaknya ia membuktikan puisi masih mendapat tempat dalam hati sesetengah masyarakat.

Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron, membuka gelanggang malam bertema Apresiasi Ilmu dan Kreativiti dengan deklamasi puisi ciptaannya yang diberi judul pada saat akhir, Kemaafan yang mengajak masyarakat melupakan persengketaan demi menyemarakkan perpaduan sejagat.

Andai kata dibalas kata Kalau batu dibaling batu
Jika api disiram api
Pabila fitnah dihambur fitnah
Parahlah, hasrat sedarah
Rosaklah, jemaah seibadah
Karamlah, perpaduan sesejarah.


Kebijaksanaan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya, mengemudi acara sambil rajin mengusik khalayak dengan gurauan nakalnya menyebabkan mereka terus terpaku di kerusi hingga ke penghujung acara.

Malah, Ahmad Fedtri sempat menyampaikan puisi berbaur sindiran dan nasihat lewat, Tangan Siapa yang mengisahkan kerakusan manusia pada zaman serba canggih ini, seolah-olah berlumba-lumba melakukan kejahatan tanpa gentar pada dosa dan hari kebangkitan.

Barangkali tangan itu
Pernah mencederakan seorang ibu tua yang tidak berharta
Barangkali tangan itu
Pernah menetak seorang warga yang tidur di rumah banglo mewah
Barangkali tangan itu
Pernah merampas kalung emas si anak kecil di kesesakan karnival
 
Barangkali tangan itu
Pernah berjabat setelah tangan penuh dengan lumpur dosa rasuah.


Meneruskan pengisian penuh makna acara puisi pada malam itu ialah Pengarang Kumpulan BH/BM, Datuk Mior Kamarul Shahid yang lantang menyuarakan isi hatinya mengenai ragam manusia menerusi puisinya, Dari Tingkap Ini yang dibaca melalui telefon genggamnya, Blackberry.

Dari tingkap ini, aku melihat telatah manusia.
Yang tidak pernah bersetuju mengenai segala-galanya.
Mungkin ini sebabnya manusia berbeza rupa, tinggi dan rendah tidak sekata dan berlainan warna.
Semalam, dari tingkap yang sama aku melihat seseorang wanita
 
menangis tanpa henti.
Aku berdiri di tingkap ini
menyaksikan hujung jalan sana.


Penampilan penyair wanita yang menggondol Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2004, Dr Zurinah Hassan, dengan gurindam ciptaannya, Cerita di Musim Raya, menyebabkan kebanyakan khalayak tersenyum sendiri mendengar gurauan sinis yang dipersembah malam itu.

Main mercun putus jari
Kemalangan maut setiap hari
Apakah ini budaya dan tradisi
Bangsaku memusnahkan diri sendiri.

Demikianlah tuan celoteh saya
Semoga tuan tambah ceria
Puas sudah berhari raya
Kita tunggu pilihan raya.


Khalayak pada malam itu turut terpana ketika menyaksikan nyanyian lagu puisi oleh Kumpulan Dewangga Sakti dengan lagu, Tertinggal Kapal Angkasa dan Kaparinyo, Taheera Rosheena Mohamed (Rindu Ibu, Khazanah) serta Nora (Jentayu, Samudera).

Juara Mentor Musim Ke-3, Black, sempat berseloroh sebelum memulakan persembahannya dengan deklamasi puisi ciptaannya, Bola, yang dicipta sebelum acara kerana kebetulan baru sudah bermain sukan itu sebelum beraksi di pentas puisi.

Black yang melagukan Drama King dan Sofea Jane bukan saja mempamerkan vokal mantap, tetapi turut menawan hati pelajar Jurusan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Yukari Noguchi yang berduet dengannya melagukan Sofea Jane.

Yukari turut mendeklamasikan puisi ciptaan Presiden PENA, Dr Mohammad Saleeh Rahamad yang juga pensyarahnya berjudul Biarkan Sungai Itu, manakala rakan sekuliahnya dari Korea Selatan, Cho Min Sung, memilih Kuntum Waawasan karya Yahya Suib.

Pentas Malam Puisi Riong melabuhkan tirainya dengan menyaksikan khalayak bersorak tatkala penyair serba boleh yang juga Penerima Anugerah Penulisan SEA 2005, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), beraksi menerusi puisinya, Dun Dun Cak dan Duka.

Duka di buku
Tak seperti duka di kata
Duka di lagu
Tak seperti duka di kalbu
Duka di nyata
Tak seperti duka di pilu.


Wakil penganjur bersama dari PENA dan IB yang turut menyumbang suara mendeklamasi puisi ialah Dr Muhammad Saleeh dan Rahimidin Zahari, selain Penerima Anugerah Penulisan SEA 2007, 2010 dan 2011, Rahman Shaari, Zaen Kasturi dan SM Zakir serta pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ramzah Dambul.

Malam Puisi Riong gempak