Sejarah membuktikan ketinggian budaya ilmu membolehkan sesuatu bangsa dan negara lebih bertamadun dan hakikat itu wajar diakui masyarakat hari ini,” demikian kata-kata penuh makna yang diungkapkan Pengarah Urusan, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron.
Berkongsi minat dalam pembacaan khususnya karya sastera, Mohd Khair turut mengakui menerusi pembacaan juga, ia mampu melahirkan masyarakat celik minda.
Tidak hairanlah minat membaca yang dipupuk beliau sejak kecil lagi mampu membawanya meneroka dunia penerbitan negara, apatah lagi diberi peluang menerajui ITNM.
“Saya terdedah dengan bahan bacaan sastera sejak di sekolah lagi apabila memilih aliran Pengajian Sastera. Dari situ saya mula mengenali Sasterawan Negara, A. Samad Said dan mengagumi setiap karya yang dihasilkan sehingga kini.
“Apabila memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), masa untuk mendampingi karya sastera agak terikat kerana kesibukan belajar undang-undang, namun minat kepada sastera tidak diketepikan begitu saja dan ia sentiasa melekat di hati sehingga ke hari ini,” katanya.
Hampir tiga tahun berada di ITNM, Mohd Khair berkata, potensi bidang terjemahan muncul sebagai satu industri amat cerah dan diyakini mampu menjana ekonomi negara.
Namun, beliau berkata, perkembangannya agak perlahan berbanding luar negara khususnya di Korea, Taiwan dan Jepun.
“Dari segi jumlah penerbitan pun, kita masih ketinggalan. Di Korea contohnya, dengan jumlah penduduk mencecah 40 juta, setiap tahun mereka berjaya menerbitkan 50,000 judul dan daripada jumlah itu, 10,000 adalah karya terjemahan.
“Jauh kalau nak dibandingkan di Malaysia yang jumlah penduduknya 27 juta, namun hanya 16,000 judul diterbitkan tahun lalu. Ia bukan nisbah ideal bagi mencapai status negara maju,” katanya.
Biarpun sedikit ralat dengan perkembangan itu, beliau tetap berusaha mengatur strategi bagi mengangkat karya ilmiah dan sastera negara, bukan saja peringkat nasional, malah global.
Justeru, katanya, kerja penterjemahan tidak hanya terkongkong kepada karya sastera pilihan ke bahasa Inggeris, tetapi bahasa lain seperti Korea, Jerman dan Cina.
“Pendekatan itu bukan saja mengangkat martabat karya sastera di persada antarabangsa, malah membolehkan karya tempatan pergi lebih jauh ke pasaran global tanpa terlalu memikirkan keuntungan.
“Kita juga tidak mengetepikan penterjemahan buku baru dalam bahasa lain dari luar negara ke bahasa Melayu dan ia sekurang-kurangnya memenuhi keperluan bahan bacaan sebegitu di kalangan rakyat negara ini,” katanya.
Menjadikan aktiviti membaca sebagai rutin harian, Mohd Khair mengakui kecenderungan masyarakat terhadap aktiviti membaca belum mencapai tahap memuaskan, namun beliau yakin ia mampu ditingkatkan.