Pengarah Urusan, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd. Khair Ngadiron berkata, buku berkenaan juga akan diedarkan kepada seluruh kepimpinan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT). Katanya, dua kaedah penyebaran buku itu dirasakan mampu mengubah pemikiran dan idea generasi muda selepas mereka memahami apa yang mahu disuarakan oleh pemimpin tertinggi negara. "Kami merasakan buku ini memberi lambang kepada kebahagiaan negara kerana di dalamnya Datuk Seri Najib secara jujur mengakui kelemahan yang ada di kalangan bangsa kita dan memberi ruang dan jalan bagaimana kita mampu merubah keadaan itu. "Ia adalah jalan transformasi yang akan kita tuju pada masa hadapan," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Bacaan Buku Menakhoda Zaman yang diketuai oleh Perdana Menteri sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010, di sini hari ini. Pada majlis berkenaan, Mohd. Khair turut menyerahkan 2,500 naskhah buku Menakhoda Zaman yang dibeli oleh PNM kepada Ketua Pengarahnya, Datuk Raslin Abu Bakar. Buku berkenaan akan diedarkan ke 1,089 buah Perpustakaan Desa, 666 buah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri (PPAN) termasuk cawangan dan selebihnya untuk Perpustakaan Gunasama. Mengulas kehadiran Perdana Menteri ke majlis bacaan buku itu, Mohd. Khair berkata, ia mengesahkan kecintaan yang tinggi pemimpin nombor satu itu terhadap budaya membaca. "Kehadiran Perdana Menteri memberi momentum dan menjadi kebanggaan kepada pencinta buku di seluruh negara," katanya.
KUALA LUMPUR 28 Mac - Buku Menakhoda Zaman hasil tulisan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan ditempatkan di semua perpustakaan awam di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).