News

Nantikan Malam Puisi Riong

01 Dec 2011 - Berita Harian (Sastera)


Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my
2011/12/01 

Gabungan persembahan pengarang veteran, muda dan artis popular tanah air

MALAM Puisi Riong Berita Harian (BH) - Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) - Istana Budaya (IB) - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) akan dijadikan medan bagi menguar-uarkan sebahagian karya terjemahan terbitan ITNM yang kini berada di pasaran.

Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron berkata, program anjuran bersama BH dan ITNM dengan kerjasama IB serta PENA turut membuka peluang kepada organisasinya untuk memperkenalkan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2004, 2005, 2007, 2010 dan 2011.

“Dr Zurinah Hassan, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI), Rahman Shaari, Zaen Kasturi dan SM Zakir bukan saja akan hadir sebagai deklamator di pentas puisi, tetapi juga mempromosi puisi dan buku karya masing-masing kepada khalayak Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB-PENA,” katanya ketika dihubungi Sastera.

Antara karya Penerima Anugerah Penulisan SEA yang sudah diterjemahkan ITNM ialah Traces of a Journey (Kesan Junjungan) dan Jasmine and the Stifling Heat (Melati dan Bahang) karya Rahman, That’s That (Yang Yang - AGI) dan Facing the Harbour (Menghadap Ke Pelabuhan -Dr Zurinah).

Mohd Khair berkata, ITNM mengambil keputusan menjadi penganjur bersama Malam Puisi Riong untuk kali kedua, selepas kerjasama pada tahun lalu kerana ia gelanggang yang sesuai untuk mempromosikan puisi kepada masyarakat agar sastera lebih dekat di hati mereka. 

“Melihatkan sambutan memberangsangkan yang diterima tahun lalu, kami sekali lagi bersetuju untuk menjayakan Malam Puisi Riong. Ia bukan saja aktiviti ilmiah yang mengumpulkan hanya peminat puisi dan sastera, malahan turut berupaya menarik minat masyarakat daripada pelbagai golongan untuk menghayati dan menghargai sastera,” katanya yang akan mendeklamasikan karyanya sendiri yang belum diberi judul. 

Sesuai dengan tema penganjuran Malam Puisi Riong BH-ITNM-IB-PENA kali ini iaitu Apresiasi Ilmu dan Kreativiti, Khair turut berharap khalayak yang hadir pada malam terbabit akan dapat menghayati dan menghargai puisi karya pengarang tempatan.

“Kami mahu melihat sastera dijadikan pendekatan penting lagi berkesan dalam mewujudkan semangat kekitaan bagi membina masyarakat yang bersatu padu dan serentak itu ITNM mahu malam terbabit dijadikan peluang untuk semua berkumpul bersama-sama keluarga dan rakan, sekali gus mengeratkan hubungan sesama mereka,” katanya.

Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani pula berkata, langkah IB bekerjasama untuk kali kedua bagi menjayakan Malam Puisi Riong dapat mempromosikan Laman Beringin IB sebagai lokasi seni persembahan secara santai kepada warga Lembah Klang.

“Kami mengalu-alukan penganjuran program seumpama ini sebagai antara pengisian program mingguan di Laman Beringin kerana pendekatan sedemikian dapat memberi peluang kepada lebih ramai warga kota untuk mengenali pelbagai cabang seni.

“Setiap minggu, tema persembahan di Laman Santai akan ditukar dan pada minggu ini, peminat di sini akan berpeluang untuk menghayati persembahan puisi daripada pemuisi yang dijemput khas oleh penganjur bersama BH dan ITNM,” katanya.

Juhari juga berharap peminat aktiviti kesenian ini tidak akan melepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai bagi menghayati puisi yang disampaikan, sekali gus memeriahkan lagi program yang diadakan khususnya untuk membantu mereka mengisi masa dengan cara lebih bermakna.

Pengerusi PENA, Dr Mohammad Saleeh Rahamad dijadualkan mendeklamasi puisinya, Bukit Si Guntang: Sampai Juga Aku Di Sini ; wakil IB, Rahimidin Zahari (Aku Hanya Ingin Bertanya Tentang Apa Yang Ingin Kutanya); Dr Zurinah (Pantun Gunung Ledang), Rahman (Pak Kaduk Ahli Strategi), AGI (Duka) dan Zaen (Kata Sungkam Anak Kota Kaca).

Pelajar Jurusan Pengajian Melayu dari Korea serta Jepun iaitu Cho Min Sung akan mendeklamasikan puisi, Biarkan Sungai Itu dan Yukari Noguchi pula, Kuntum Wawasan, manakala Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Ramzah Dambul masih berteka-teki dengan puisi pilihannya.

Penyanyi lagu puisi yang pernah beraksi dengan Orkestra Dewan Filharmonik, Taheera Rosheena Mohamed, memilih Rindu Ibu dan Khazanah karya Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said, manakala Pemenang Lagu Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18), Nora (Nora - Jentayu dan Samudera).

Personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya yang bertindak sebagai pengacara akan menghiburkan khalayak dengan puisinya, Tangan Siapa?; Juara program realiti TV, Mentor Musim Ke-3, Black bercadang mendendangkan Sofea Jane serta sebuah lagi lagu menjadi rahsia.

Acara yang dibuka secara percuma kepada semua ini akan turut menerima sentuhan Kumpulan Dewangga Sakti yang memilih mendendangkan Tertinggal Kapal Angkasa dan Almakaan, di samping persembahan deklamasi puisi daripada Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian/Berita Minggu, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Nantikan Malam Puisi Riong