KUALA LUMPUR 22 Mac - Novel Natrah akan diulang cetak buat kali ketiga selepas lebih 3 000 naskhah telah dijual sejak ia memasuki pasaran kira-kira dua bulan lalu.
Menurut Pegawai Penerbitan (Pemasaran), Penerbit UTM Press, Yosman Mohd. Bain, kisah cinta, perpaduan, politik dan perjuangan umat Islam yang menjadi teras dalam novel tersebut berjaya menarik minat pembaca termasuk generasi muda terhadap karya Datin Fatini Yaacob itu.
“Malah kita juga telah membuka pasaran di Brunei dan Singapura manakala Indonesia tidak lama lagi berikutan permintaan dari negara terlibat”.
“Kita tidak sangka novel Natrah benar benar mendapat perhatian ramai apabila melihat jualannya telah melebihi jangkaan awal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan novel Natrah tidak terhenti setakat itu sahaja kerana UTM Press dan Institut Terjemahan Negara Malaysia ITNM kini dalam proses menterjemahkan novel berkenaan ke dalam bahasa Inggeris.
Tambahnya novel itu juga mendapat sambutan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 yang sedang beriangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Sementara itu, Fatini yang hadir pada pesta buku hari ini terus diserbu dan diajukan pelbagai soalan oleh para peminat Natrah atau nama sebenarnya Huberdina Maria Hertogh.
Fatini yang pernah bertemu secara langsung dengan Natrah di Lake Tahoe, Nevada Amerika Syarikat (AS) pada 1989 berkata, kisah Natrah merupakan sejarah penting pada Negara.
Katanya, kisah Natrah menyaksikan masyarakat Melayu dahulu sanggup berjuang dan bermati-matian demi agama dan bangsa.
“Justeru, saya menghasilkan novel ini sebagai tanda penghargaan masyarakat negara ini terhadap perjuangan seorang anak remaja yang terpaksa membiarkan jiwanya diseksa walaupun ketika berada pada usia yang sangat muda”.
“Harapan saya agar generasi kini dan akan datang tidak melupakan kisah Natrah ini, anggaplah ia sebagai sejarah yang perlu dikenang sama seperti kisah sejarah yang lain” katanya.