SEOUL 27 Julai - Industri perbukuan dan penterjemahan Malaysia maju setapak lagi dengan pelancaran novel bertajuk Nyawa di Hujung Pedang yang diterjemahkan dari bahasa Melayu ke bahasa Korea.
Rakyat Korea Selatan kini berpeluang menghayati kesusasteraan Melayu melalui novel karya Ahmad Murad Nasaruddin itu.
Sebanyak 1,000 naskhah terjemahan novel berkenaan akan mula diedarkan esok dengan harga 10,000 won (RM30) senaskhah.
Majlis pelancaran novel penerbitan terkini Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Paju Bookcity dekat sini hari ini.
Beliau sebelum itu melawat Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Maklumat Pendidikan Korea (KERIS) sebelum mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Sains dan Teknologi Korea Selatan, Ahn Byong Man.
Dalam ucapannya Timbalan Perdana Menteri berharap usaha penterjemahan itu dapat mengangkat karya Malaysia yang memiliki nilai patriotisme tinggi untuk dihayati oleh masyarakat dunia.
Beliau berharap Malaysia dapat mencontohi Korea Selatan untuk meningkatkan industri perbukuan dan penterjemahan yang memberi pulangan lumayan dan memberi impak besar dari segi ekonomi dengan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya.
Jelas beliau, model Paju Bookcity misalnya boleh digunakan untuk membangunkan Kota Buku Kuala Lumpur yang akan merancakkan industri perbukuan di Malaysia.
Justeru, beliau mahu lebih banyak karya kesusasteraan Malaysia diterjemahkan ke bahasa Korea dan sebaliknya dengan kerjasama ITNM dan Institut Terjemahan Kesusasteraan Korea.
Katanya, perkembangan pesat industri perbukuan di Korea Selatan jelas banyak dipengaruhi rakyatnya yang berilmu pengetahuan, sekali gus merangsang perkembangan positif dalam industri penterjemahan, penerbitan dan perbukuan bagi kedua-dua negara.
Susulan kunjungan itu, ITNM berhasrat memulakan kerjasama dengan Institut Terjemahan Kesusasteraan Korea bagi mengusahakan pelbagai projek yang diharap menyumbang kepada kemajuan bahasa serta ketinggian budaya kedua-dua negara.
Mengenai lawatan ke KERIS, Muhyiddin berharap Malaysia dapat meningkatkan sistem e-Pembelajaran seperti yang dilaksanakan oleh Korea Selatan. - Utusan