Berita

Pendidik Wajar Berani Laksana Perubahan

21 Jul 2010 - Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pemimpin pendidikan perlu berani mengurus perubahan dalam usaha menjana modal insan yang mampu bersaing pada persada global, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keengganan dan ketakutan pemimpin atau pendidik untuk menongkah arus perubahan mengakibatkan sistem pendidikan bersifat statik.

"Kualiti dan kecemerlangan hari ini tidak menjamin kualiti dan kecemerlangan pada hari esok kerana ukuran kualiti dan kecemerlangan sentiasa berubah.

"Oleh itu, pemimpin tidak seharusnya berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi organisasinya hari ini, sebaliknya perlu berani melaksanakan perubahan dan pembaharuan secara proaktif," katanya dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-17 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, dekat sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. Hadir sama, Pengarah IAB, Datuk Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron.

Muhyiddin berkata, kepemimpinan seseorang tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan pencapaian yang membolehkan sistem pendidikan dinilai oleh masyarakat secara menyeluruh dari segi kuantitatif dan kualitatif.

"Jika enggan dan takut menongkah arus kecemerlangan, maka hasrat negara untuk menjana modal insan yang mampu bersaing pada persada global hanya akan tinggal impian," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa contoh amalan kepemimpinan yang efektif dan berprestasi tinggi yang boleh merubah kebiasaan, iaitu mereka mestilah boleh dijadikan contoh dan lambang kepada mereka yang dipimpin, sentiasa merangsang perkongsian visi bersama orangyang dipimpin serta berani membawa arus perubahan ke arah merealisasikan visi dan misi. – BERNAMA

Pendidik Wajar Berani Laksana Perubahan