Oleh Mohd. KhuzairiI Ismail
rencana@utusan.com.my
ADA perkembangan positif dalam industri perbukuan negara sejak akhir-akhir ini dengan melihat perkembangan budaya membaca di kalangan rakyat. Pertamanya, masyarakat Malaysia tidak lagi membaca hanya dua buah buku setahun seperti yang dipersetujui banyak pihak sebelum ini.
Sebaliknya, minat terhadap buku semakin meningkat seiring dengan rancaknya industri perbukuan seperti penerbitan buku baru dan penjualannya yang mendapat sambutan menggalakkan.
Kajian pasaran ketika ini juga menunjukkan buku terjemahan mencatatkan jualan melebih 10,000 naskhah setahun. Ia merupakan peningkatan yang besar memandangkan buku terjemahan sebelum ini hanya terjual sekitar 3,000 naskhah setahun. Peningkatan jualan buku terjemahan itu pastinya ada kaitan dengan meluasnya jaringan perkembangan ilmu mengenai buku-buku tersohor dari seluruh negara.
Bagi penggemar buku, apa sahaja judul buku yang mendapat sambutan hangat dari khalayak pembaca antarabangsa tidak akan dilepaskan peluang untuk menatapnya. Namun, tidak semua buku itu boleh dibaca memandangkan banyak buku yang memberi impak besar kepada dunia tidak ditulis dalam bahasa Inggeris.
Di sinilah pentingnya peranan terjemahan kerana selain menterjemah buku ke dalam bahasa utama iaitu bahasa Inggeris, ia juga akan diterjemah ke dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.
Sekadar mendefinisikan secara ringkas, terjemahan adalah usaha mengalihbahasa sesuatu karya untuk memperoleh maklumat melalui bahasa itu sendiri. Terjemahan mempunyai makna yang strategik sebagai medium pendidikan untuk mencerdaskan bangsa dan meningkatkan peradaban manusia.
Membaca karya terjemahan pula memberi pedoman kepada pembaca untuk menerima idea progresif dari negara lain. Melihat situasi ini, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Komuniti Buku Online (KBO) akan mengadakan Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 yang bertemakan 'Memperkasa Budaya Membaca Karya Terjemahan.'
Pengisian seminar ini akan merungkai segala persoalan bagaimana peningkatan besar jualan buku terjemahan di Malaysia berlaku dan bagaimana ia mampu mencetuskan fenomena baru yang bakal mengubah prasarana keseluruhan industri buku negara.
Seminar yang memasuki tahun keempat penganjurannya itu diteruskan sebagai medan ilmu untuk kalangan pencinta buku berdiskusi mengenai pelbagai isu berkaitan dunia penterjemahan, perbukuan, penerbitan, dan pembacaan.
Tema setiap seminar dianjurkan berlainan mengikut kesesuaian situasi semasa, dan setiap pembentangan kertas kerja akan dihimpunkan serta diterbitkan dalam bentuk buku.
Seminar itu akan dirasmikan oleh Datuk Mohamed Nor Khalid (Lat), kartunis dan penulis karya terjemahan paling berjaya di Malaysia, The Kampung Boy. Beliau akan turut membentangkan kertas dasar bertajuk Penghayatan Karya Terjemahan Melalui Watak Komik.
Pengalaman Lat yang berjaya menghasilkan karya berbentuk komik, dan diterjemahkan kepada 10 bahasa utama dunia mampu memberikan inspirasi dan semangat kepada para pencinta industri buku untuk mencintai serta menghasilkan lebih banyak karya terjemahan.
Kertas-kertas kerja yang akan dibentangkan sepanjang seminar berkenaan ialah Peranan ITNM dalam Memperkasakan Karya Terjemahan oleh Mohd. Khair Ngadiron, Peranan Komuniti Buku dalam Pembudayaan Pembacaan Karya Terjemahan oleh Shaharom TM Sulaiman, Pengalaman Estetika Membaca Karya Terjemahan: Perspektif Penterjemah oleh Dr. Syed Nurul Akla Syed Abdullah, Pengalaman Estetika Membaca Karya Terjemahan: Perspektif Pencinta Buku oleh Rahimi Saad dan Pengalaman Estetika Membaca Karya Terjemahan: Perspektif Penulis oleh Faisal Tehrani.
Kertas-kertas kerja lain yang akan turut dibentangkan ialah Karya Terjemahan yang Mempengaruhi Peradaban Manusia oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Yusoff Zaky Yaakob: Potret Seorang Pencinta Buku, Penterjemah dan Penerbit oleh Nublan Yusoff Zaky, Gerakan Terjemahan Sebagai Gerakan Intelektual: Perspektif Sejarah Tradisi Intelektual Parsi oleh Ahmad Kamil Zuhairi dan Pendidikan Akal Bangsa Melalui Penterjemahan Komik oleh Zinitulniza Abdul Kadir.
Sesi khas bicara bersama tokoh turut diadakan dengan pembentangan kertas kerja yang bertajuk Potret Pencinta Buku, Penulis, Penterjemah dan Penerbit oleh Abdullah Al-Qari Haji Salleh.
Rasional bagi ITNM bertindak sebagai penganjur bagi pelaksanaan tahun 2010 adalah sebagai sokongan terhadap usaha mengembangkan peradaban ilmu yang antaranya boleh dicapai menerusi transformasi besar-besaran dalam aktiviti terjemahan dan pemantapan budaya membaca dalam sesebuah masyarakat.
Hakikatnya, pemantapan budaya membaca akan memperkukuhkan kelangsungan tradisi proses pemindahan ilmu, sekali gus memperkayakan peradaban bangsa. Seminar ini akan diadakan pada 21 September 2010 (dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang), bertempat di Dewan Utama, Wisma ITNM di Wangsa Maju.
Ia terbuka kepada semua dan yuran penyertaan sebanyak RM50 dikenakan untuk organisasi, RM30 (individu) dan RM10 (pelajar). Maklumat dan borang penyertaan boleh diperoleh di www.itnm.com.my.