News

Pencinta Buku Berhimpun di ITNM

05 Sep 2010 - Mingguan Malaysia


Oleh Shaharom TM Sulaiman
shaharomtm@yahoo.com

"SEBAHAGIAN besar usianya  ' dihabiskan untuk menulis, menterjemah dan menerbit buku. Itulah yang dilakukannya hampir setiap hari selepas pulang dari mengajar di Maahad Muhammadi, Kota Bharu. Dia tidak pernah jemu melakukannya malah sanggup mengeluarkan wang sakunya sendiri untuk menerbitkan buku. Untung rugi bukan persoalan pokok, ini semua kerana kecintaan luar biasanya kepada buku dan menulis," itulah sosok Ustaz Abdullah Al-Qari Salleh, seorang penulis, penterjemah, pencinta buku sekaligus penerbit buku-buku agama era tahun 70-an, 80-an dan 90-an. Sumbangannya cukup besar kepada dunia perbukuan walaupun ramai tidak menyedarinya.

Abdullah sehingga kini masih aktif menulis walau pun tidak lagi aktif menerbitkan buku, Antara buku-buku terbarunya; Ensaiklopedia Misteri Tidur Menuju Allah Subhanuwa Taala; Ubat dan Pemulihan, Islam Penggerak Revolusi Pertanian, Ensaiklopedia Rawatan Dengan Madu Lebah dan lain-lainnya. Menurut seorang teman penulis yang pernah menunaikan umrah bersamanya, Abdullah sentiasa ada buku bersamanya dan tidak pernah jemu bersembang tentang buku malah kecintaannya tidak dapat dipisahkan. Buku-buku yang ditulisnya diterjemahnya dan diterbitnya sudah mencecah hampir lima ratus buah.

Di sisi yang lain pula, ada seorang anak muda berbakat luar biasa yang mana lakarannya pernah dan masih mengisi kolum "Scenes of Malaysian Life" di sebuah akhbar terkemuka negara. Lakaran dan coretannya cukup memikat, menghiburkan tetapi sindiran sosialnya yang halus dan berseni. Ceritanya bukan saja tentang zaman indah kenakalannya di kampung bahkan merentasi jauh warna-warni kehidupan di bumi bertuah Malaysia ini, itulah sosok luar biasa Dato' Mohammed Nor Khalid atau lebih dikenali dengan nama Lat, kartunis tersohor dan karyawan kebanggaan Malaysia. Buku terlarisnya 'Kampung Boy' telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa utama dunia termasuk bahasa Arab dan Jerman oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Lat dan Abdullah Al-Qari adalah dua tokoh besar karyawan sekali gus pencinta buku luar biasa. Kedua-duanya masih lagi terus menulis dan berkarya sehingga kini. Kedua-duanya akan dipertemukan dalam Seminar Pencinta Buku Malaysia yang di anjurkan oleh ITNM dengan kerjasama Komuniti Buku Online pada 21 September depan. Lat akan menyampaikan ucaptama dan Abdullah pula akan berkongsi pengalaman panjangnya dalam seminar tersebut yang akan menghimpunkan para pencinta buku dari seluruh negara. Seminar yang keempat kali ini bertemakan 'Memperkasa Budaya Membaca Karya Terjemahan.

Pencinta buku sebagai pewaris pencinta ilmu akan sentiasa membuka dirinya kepada kepelbagaian tradisi ilmu melalui pembacaan karya-karya terjemahan. Amat menarik pertemuan pencinta buku kali ini berlaku dalam suasana kemeriahan semangat Aidilfitri di samping menikmati 'santapan mental' buku-buku terbitan ITNM yang akan diberi diskaun istimewa hanya pada hari seminar tersebut. Ini tentunya berita yang menggembirakan buat pencinta buku.

Menurut International Organization of Booktown (IOB), terdapat 15 juta pencinta buku yang 'mengelilingi' kampung buku dan kota buku di seluruh dunia dan kelompok inilah yang memberi sokongan dan menyegarkan kelangsungan industri buku global dalam apa keadaan sekalipun. Kelompok kecil ini atau 'biblioholis' menurut seorang pemikir, Ziauddin Sardar menghidupkan apa yang diistilahnya sebagai "peradaban buku" yang sebenarnya mewarnai sebuah peradaban ilmu.

Transformasi

Sebuah peradaban ilmu tidak mungkin berkembang tanpa transformasi besar-besaran dalam aktiviti terjemahan dan penghayatan budaya membaca sesebuah masyarakat atau bangsa. Upaya penterjemahan mencerminkan kekuatan sesebuah tradisi intelektual yang berkembang subur dan terbuka.

Dalam pertemuan ini para pencinta buku akan mengetahui karya-karya terjemahan yang mempengaruhi peradaban manusia dan bagaimana ianya memberi 'sentuhan' mental dan 'spiritual' manusia sepanjang zaman. Membaca karya-karya terjemahan tidak terlepas dari nikmat tersendiri atau estetika membaca yang diperoleh daripada membaca karya tersebut. Pengalaman estetika membaca adalah pengalaman unik ketika membaca buku dan setiap pembaca berbeza pengalamannya.

Keunikan pengalaman ini menjadi fokus perbincangan dengan berkongsi pengalaman penterjemah, pengarang dan pencinta buku. Ketiga-tiga kelompok ini pula secara tidak langsung membentuk komuniti buku sebagai penjelmaan massa dalam gerakan budaya membaca, Peranan komuniti buku, misalnya Oprah Book Club mampu mengerakkan revolusi budaya membaca di Amerika Syarikat. Peranan komuniti dalam memperkasakan budaya membaca karya terjemahan turut menjadi perbincangan seminar ini. Penghayatan komik dan kartun sebagai satu sisi estetika tersendiri turut menjadi perhatian seminar ini. Pembacaan komik dan kartun sudah pun diterima sebagai bahan bacaan yang popular, menghiburkan tetapi mendidik. Banyak karya-karya yang serius dan 'berat' diberi wajah baru yang ringan dalam bentuk komik dan kartun. Dan inilah 'trend' yang sedang mewarnai industri buku global.

Di perspektif yang lain pula, seminar ini tidak melupakan terjemahan sebagai satu gerakan intelektual yang berpengaruh yang menyegarkan sesebuah tradisi ilmu. Dalam konteks ini, para pencinta buku dan peserta seminar di bawa menyelami sejarah gerakan terjemahan di dunia Parsi atau Iran yang berkembang subur mewarnai peradaban Islam-Parsi yang melahirkan ilmuwan dan saintis Islam terbilang, selain Lat dan Abdullah Al-Qari, seminar ini turut menampilkan pembicara seperti Feisal Tehrani (pengarang), Prof Emeritus Abdullah Hassan (Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia), Rahimi Saad (Komuniti Buku Online), Muhammad Kamil Zuhairi (Pencinta Buku), Dr Syed Nurul Akla Abdullah (Penterjemah), Mohd Khir Ngadiron (Pengarah Urusan ITNM). Zinitulniza Abd Kadir (ITNM). Seminar ini bukan saja akan mempertemukan pencinta buku tetapi turut menghadirkan penerbit, aktivis buku, pustakawan dan sesiapa saja yang berminat pada dunia 'peradaban buku'. Penyertaan seminar masih lagi terbuka dan boleh menghubungi talian 019-390 6349 (Norzaiti) atau 019-217 7204 (Mohd Khairulannuar).

Pencinta Buku Berhimpun di ITNM