Berita

Pengarang Muda Lupa Tradisi

21 Jun 2010 - Berita Harian

Oleh Nazmi Yaakub

Bangga dengan milik asing sehingga sanggup tayang dalam karya

KARYA pengarang muda khususnya cerpen mutakhir banyak menampilkan latar dengan pentas antarabangsa dan mengungkap tema global sehingga keghairahan terhadap dunia luar seolah-olah menjadikan mereka semakin jauh daripada akar budaya tradisi yang sepatutnya diterapkan dalam karya.

Hal ini turut diperkatakan dalam ranah sastera negara jiran, Indonesia, sehingga sebahagian pengarang mapan mereka mula mengusulkan penulis muda negara itu kembali mengungkapkan budaya lokal, sekali gus dapat mengangkat Indonesia ke pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, isu keghairahan penulis muda di negara ini dengan latar luar dan tema global belum memancing teguran daripada pengkritik dan pengarang veteran sehingga kita semakin kurang dapat menikmati karya yang berulamkan budaya tradisi dan berlaukkan latar setempat.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Kamariah Kamarudin, berkata sebahagian penulis muda ghairah dengan latar asing kerana pembacaan dan pergaulan yang luas, selain ramai yang berpeluang menuntut di luar negara serta mengembara ke pelosok dunia.

“Jadi tidak salah penulis muda berkongsi pengalaman dengan pembaca di samping menghidangkan maklumat berguna dengan memanfaatkan pengalaman mereka di negara berkenaan untuk perutusan khalayak. Tindakan mengetengahkan latar luar negara untuk isu besar dan persoalan bersifat avant-garde.

“Sungguhpun demikian, saya dapat melihat sebahagian penulis muda masih berpijak di bumi nyata kerana kelompok ini tetap megah menyuakan latar tempatan sebagai paksi dalam karya kreatif,” katanya ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pembaca akan kecenderungan terbabit.

Beliau yakin bahawa tidak semua pengarang muda ‘jauh’ daripada budaya setempat kerana masih ada di kalangan mereka yang tidak lupa dengan asal usul dan susur galur khususnya yang menampilkan latar Sabah dan Sarawak dengan memperkenalkan pelbagai etnik dan persekitaran menarik.
“Cuma pengarang muda hari ini barangkali tidak terdorong dalam menghasilkan latar setempat lantaran terpesona dengan bauran latar asing dan setempat yang rata-ratanya diketengahkan dalam karya yang banyak memenangi pelbagai anugerah, peraduan dan sayembara, sejak akhir-akhir ini.

“Bagaimanapun, pengarang yang sebenar ialah mereka yang berupaya membawa bauran latar setempat dan luar negara dalam sesebuah karya sepadan dengan hasrat serta niat masing-masing. Selagi kecenderungan mengemukakan latar asing tanpa nawaitu atau agenda tersembunyi, kita tidak boleh menghalang,” katanya.

Nawaitu dan agenda tersembunyi yang dimaksudkan itu termasuklah pengarang mengharapkan populariti berbanding karya berkualiti, memaparkan gaya hidup Barat dengan latar asing yang dominan sehingga mengatasi kehidupan Timur, sekali gus meraikan Islam liberal.

Beliau menyarankan penulis muda memanfaatkan kekayaan Malaysia dengan latar budaya yang memukau, dari negeri sekecil Perlis sehingga Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, tanpa melupakan Sabah serta Sarawak, selain turut melihat kekayaan dialek yang perlu diketengahkan.

“Kita melihat warna kegemilangan Sasterawan Negara (SN), S Othman Kelantan dan Dr Fatimah Busu dengan dialek Kelantan, manakala SN, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Penerima Anugerah Penulisan Sea 1988, Azizi Abdullah (dialek Kedah), manakala Jong Chian Lai (budaya Sarawak).

“Barangkali pengarang muda akan bermotivasi mengangkat budaya etnik andainya ada imbuhan menerusi hadiah dalam bentuk peraduan, sayembara dan anugerah atau institusi tertentu termasuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut ‘giat’ mempromosi serta memberi laluan terhadap karya sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, penyair dan cerpenis mapan, Ramli Selamat atau lebih dikenali sebagai Marsli NO, tidak berlapik lagi apabila menyindir sistem masa kini yang mendidik generasi muda termasuk penulis yang lebih berbangga dengan milik orang lain tanpa menyedari keistimewaan dan kehebatan bangsa mereka.

“Kita wajar mengucapkan tahniah untuk sistem yang mendidik anak muda kita sehingga akhirnya menelurkan mereka sebagai generasi yang lebih berbangga dengan milik orang lain, lalu buta serta menjauhkan diri daripada akar budaya sendiri. Mereka berasa bangga, lebih hebat dan bermartabat seandainya berbicara sesuatu di luar lingkungan sendiri,” katanya.

Marsli NO menolak sebarang usaha untuk memaksa generasi muda dalam melahirkan karya yang intim dengan budaya mereka dengan alasan persoalan mengungkapkan sesuatu dalam karya tidak boleh dipaksa-paksa dan lazimnya lahir atas kesedaran sendiri.

“Kita tidak perlu menjadi ketam mengajar orang lain berjalan betul kerana jika pemimpin dan sebahagian besar kalangan kita yang sudah tua sendiri tidak menghormati bahasa, budaya dan seni sendiri, kenapa pula hendak kita salahkan orang muda yang sekadar mengekor perbuatan buruk kita?” soalnya.

Tanggapan Marsli NO itu seolah-olah disahkan oleh penulis muda apabila Hazwani Rameli atau lebih dikenali sebagai Rebecca Ilham apabila mengakui karya penulis yang kurang menggabungjalinkan unsur budaya tradisi mungkin disebabkan kurang akrab dengan unsur budaya tradisi sendiri.

“Ini juga mungkin berpunca daripada kurang penghayatan kebudayaan setempat di kalangan generasi muda sehingga tidak berjaya mencerna dan meluahkannya ke dalam karya. Boleh jadi pendedahan terhadap warisan tradisi kurang atau sifar atau kurang berminat kerana apa-apa berkaitan tradisi semacam kampungan dan tidak ‘cool’,” katanya.

Bagaimanapun, Rebecca Ilham melihat usaha pengarang muda mengangkat isu global melalui watak tempatan yang kental jati diri dalam latar antarabangsa, sebenarnya tetap mengangkat wajah ketimuran yang tegas dalam lembut.

“Hal ini penting dalam ruang lingkup untuk mencabar keangkuhan pihak di hemisfera utara yang belum terhakis mentaliti kolonialisme mereka, lalu cuba menggunakan pendekatan pasca kolonialisme pula.

“Serentak itu, penulis muda tidak perlu dipaksa untuk kembali kepada akar kerana tidak mustahil mereka berbuat demikian dengan kemahuan sendiri dan kematangan berkarya yang akhirnya mengenalkan kami kembali kepada susur galur sehingga mengagumi sejarah sendiri,” katanya.

Pengarang Muda Lupa Tradisi