PADA 16 hingga 18 Disember ini, Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN), satu acara dwitahunan yang mengumpulkan pengarang muda di Malaysia diadakan buat kali ketiga di Kuala Lumpur.
PPMN III ini merupakan kesinambungan daripada PPMN I yang berlangsung di Tanjung Piai, Johor pada tahun 2005 dan juga PPMN II di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2009.
Bertempat di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, PPMN III yang bertemakan Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Percetakan Nasional dan Akademi Kenegaraan ini diadakan usaha untuk melihat perkembangan dunia kesusasteraan, cabaran masa kini, dan fungsi pengarang muda.
Abad ke-21 ialah abad yang bersifat sejagat. Sempadan antara sebuah negara dengan negara yang lain hanya bersifat geografi. Kepesatan teknologi maklumat menyebabkan wujudnya sebuah dunia yang baharu dalam sejarah ketamadunan manusia. Kepesatan ini juga menyebabkan pengaliran pemikiran, kebudayaan dan kesusasteraan tidak dapat dibendung. Pengaliran ini memberikan pelbagai kesan, termasuk merancakkan interaksi, merombak nilai-nilai asal dan membentuk pandangan pengarang muda.
Alaf baru juga, dalam konteks lokal, telah memperlihatkan beberapa perubahan dalam landskap sosioekonomi dan sosiobudaya. Beberapa peristiwa yang bersifat politik, kelihatan turut menimbulkan pelbagai persoalan. Persoalan ini perlu dijawab oleh pengarang muda sendiri.
Untuk itu, di manakah posisi pengarang muda dan apakah fungsi yang mereka harus mainkan agar mereka kekal menjadi semangat zaman? Oleh sebab itu, PPMN III cuba menjawab dan menyorot hal ini.
Sehubungan dengan itu, pihak pengajur telah menggariskan empat matlamat utama dalam merealisasikan pengisian selaras dengan tema perhimpunan pada tahun ini. Matlamat-matlamat berkenaan adalah:
1. Menjadikan Sastera kebangsaan sebagai medium utama untuk melangsungkan tradisi kepengarangan negara dengan menjadikan sastera Kebangsaan sebagai medium wacana dan pemikiran dalam menjelaskan isu-isu semasa ke arah pengukuhan masyarakat yang saling menghormati dan mempraktikkan Perlembagaan Persekutuan.
2. Membina keperibadian, kreativiti dan intelektualiti pengarang muda agar sentiasa aktif dalam menjawab persoalan yang meliputi kesusasteraan dan bukan kesusasteraan.
3. Membentuk kesatuan dan makna diri penulis generasi baharu dalam soal prinsip dan cita-cita pengkaryaan/penulisan demi kepentingan bersama yang lebih luas.
4. Meningkatkan keupayaan untuk penghasilan karya kreatif yang bernas kepada masyarakat sebagai satu kesinambungan dalam tradisi kesusasteraan / persuratan Melayu.
PPMN III yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu terbuka kepada semua penulis, khususnya penulis muda. Perhimpunan ini akan dirasmikan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada majlis ulang tahun ke-50 Pena pada 16 Disember 2011 di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang. manakala ucaptama bertemakan "Pengarang Muda dan Makna Diri" akan disempurnakan oleh Profesor Md Salleh Yaapar pada 17 Disember.
Antara makalah yang bakal dibentangkan termasuklah Pengarang Muda di Tengah Cabaran Intelektual, Kreativiti dan Pertembungan Pandangan Alam, Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam Sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan, Perkembangan Pengarang Muda Kontemporari: Antara Tanggungjawab Sosial dan Individu, Pengarang Muda dan Faham Kebudayaan Kebangsaan dan Perkembangan Karya Pengarang Muda Mutakhir. Antara pembentang ialah Dr. Zariat, Dr. Awang Azman, Dr. Faisal Musa, Helmi Rameli, S.M Zakir, Ariff Mohamad dan Dr. Hanafi Ibrahim.
Selain pengisian berbentuk seminar dan wacana, PPMN III juga turut diisi dengan program santai iaitu, acara baca puisi Malam Genta Puisi Aswara - PENA. Acara ini akan diadakan pada malam kedua, iaitu 17 Disember 2011. Baca puisi yang mendapat kerjasama Aswara ini akan menampilkan penyair mapan seperti Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan, penerima Sea Write Award seperti Zaen Kasturi dan SM Zakir, serta ramai lagi barisan penyair tanah air. Pada malam tersebut, persembahan juga akan diserikan dengan persembahan kumpulan muzik seperti Dewangga Sakti dan penyanyi Tahira.
Penyertaan untuk PPMN III masih terbuka. Para penulis muda dijemput untuk mendaftar secara dalam talian di laman PPMN III (http://www.penulismudanasional.
blogspot.com/p/borang-penyertaan.
html). Penginapan dan makan minum untuk para peserta disediakan di Akademi Kenegaraan sepanjang perhimpunan. Yuran penyertaan adalah RM 40 untuk bukan ahli Pena dan RM 20 untuk ahli Pena; bayaran boleh dijelaskan secara wang pos atau tunai semasa sesi pendaftaran pada 16 Disember 2011.
Untuk sebarang pertanyaan tentang PPMN III, boleh hubungi Pena di talian 03-21425824. Pertanyaan dan maklumat juga boleh diajumelalui laman sesawang rasmi perhimpunan ini (http://www.penulismudanasional.
blogspot.com) atau hubungi Ariff Mohamad (arifmohamad@gmail.com), Rebecca Ilham (beckyilham@yahoo.com) dan Hani Salwah (haniesalwah@gmail.com).