Oleh Hafizah Iszahanid dan Latifah Ariffin
bhsastera@nstp.com.my
2011/12/21
Ketidakhadiran sesetengah kelompok seolah-olah membuktikan berlaku perpecahan
SEJARAH kebangkitan dan pembentukan sesebuah negara banyak dicatatkan golongan muda dengan rentetan perjuangan yang bukan hanya digerakkan politikus, tetapi juga penulis muda seperti dicatatkan dalam peta sastera negara ini yang turut membuktikan kelompok terbabit turut memberi sumbangan.
Golongan penulis dan wartawan turut berjuang dengan tinta mereka dalam memastikan Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya seperti dibuktikan antaranya oleh Allahyarham Ishak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako dengan karyanya Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan.
Penerima Hadiah Pejuang Sastera 1976 yang juga Tokoh Wartawan Negara 1988 dan Anugerah Roman Magsaysay 1994, Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail dalam Patah Sayap, Terbang Jua dan Tembok Tidak Tinggi, manakala pelopor sastera moden Malaysia, Syed Syeikh Al-Hadi (Hikayat Faridah Hanum, Rokombul Dalam Sibiria, Anak Dara Ghasan, Hikayat Setia Asyik Kepada Maksuk).
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Dr Salleh Yapar yang juga Pengarah Penerbitan Universiti Sains Malaysia (USM), memberi pengiktirafan itu penulis sebagai golongan peka perkembangan politik semasa menerusi karya yang mereka tangani.
"Enam tahun sebelum peristiwa berdarah 13 Mei, Allahyarham Hassan Ibrahim menghasilkan Tikus Rahmat, namun ahli politik tidak memberi perhatian pada karya bersifat satira itu. Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, juga mengungkap situasi politik Malaysia dalam Menteri (1967).
“Pengarang muda era ini juga sangat peka mengenai perkembangan politik dan sosial masyarakatnya. Penyair Mohd Lutfi Ishak misalnya menulis mengenai masa depan bahasa Melayu pada 2006 ketika negara sedang berdepan dengan kemelut Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
“Justeru penulis muda perlu memastikan jati diri mereka terpancar jelas dalam karya mereka kerana ia asas kekuatan bangsa dan bagi membuktikan sastera memberi sumbangan besar dalam pembangunan negara kerana ia turut memuatkan pemikiran masyarakat," katanya dalam ucaptama Pengarang Muda dan Makna Diri pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2011 (PPMN).
Sayang ketika sumbangan penulis dalam membangunkan masyarakat dan negara dilihat begitu besar, tidak ramai yang hadir kerana acara kali ini berlaga dengan Festival Puisi Antarabangsa Pulau Pangkor - sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku.
Program dwi tahunan anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Akademi Kenegaraan , Kuala Lumpur, sepatutnya ‘direbut’ penulis muda memandangkan iklan mengenainya sudah disiarkan empat bulan sebelum acara berlangsung.
Tidak pasti di mana silapnya, meskipun kumpulan pengarang muda Sabah dan Sarawak seperti Jaafar Hamdan, Maslina Mahbu, Faridah Abd Hamid, Pena Alam, Faridah Abd Hamid datang dengan jumlah yang ramai dan dengan biaya sendiri, penulis muda Semenanjung Malaysia tidak ramai yang berminat untuk turut serta.
Selain penulis kelahiran Minggu Penulis Remaja (MPR) seperti Nisah Haron, Shahril Hasrin Sanin dan Salina Ibrahim, sekalung tahniah diucapkan kepada penulis muda kelompok serius, iaitu Mohd Dahiri Zakaria, Saifulizan Yahya, Ibnu Azman Al-Kurauwi, Zaid Akhtar, Raja Yusuf Ariffin yang sudi menghadirkan diri.
Kelibat penulis muda dengan royalti puluhan ribu ringgit terutamanya dari PTS Publications and Distributors Sdn Bhd seperti Ain Maisarah, penulis dari Alaf 21 atau Buku Prima, tidak pula kelihatan dan adakah acara sebegini tidak cukup hebat untuk mereka?
Khabarnya penganjur ada membuat jemputan peribadi kepada beberapa penulis muda popular dari penerbitan ini, namun tiada balasan dan senario ini seakan-akan mengesahkan pandangan serta kebimbangan beberapa ahli panel mahupun khalayak bahawa wujud perpecahan dalam dunia sastera Malaysia.
Satu kumpulan penulis yang menulis atas tiket sastera serius dan satu lagi menulis karya popular dan komersial, selain kelibat ahli panel yang ditunggu-tunggu seluruh khalayak PPMN atas faktor kehebatan karyanya dan kontroversi, Faisal Tehrani, juga tidak muncul!