PERADUAN Ulasan Buku ITNM di Blog/Facebook dan Menangi Wang Tunai RM10,000! bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 diadakan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi menggalakkan budaya membaca, memahami isi dan mengulas buku.
Pengarah Urusan ITNM, Mohd Khair Ngadiron, berkata peraduan itu juga bertujuan menghargai pencinta buku, menggalakkan aktiviti pembacaan dan memeriahkan industri buku negara dan peserta hanya perlu menulis ulasan buku terbitan ITNM sama ada di blog atau nota Facebook peribadi.
“Ulasan buku itu perlu lengkap dengan judul, nama penulis, nama penerbit ITNM, harga dan paparan visual buku dalam bentuk paling kreatif. Peraduan bermula Februari lalu sehingga 13 Mac ini, membenarkan peserta mengirim seberapa banyak ulasan buku ITNM,” katanya.
Sepuluh ulasan terbaik akan dipilih berdasarkan kualiti ulasan, paparan visual buku ITNM paling kreatif, dan jumlah komen diterima. Pemenang akan dinilai oleh juri profesional (30 %) dan diundi pengunjung gerai ITNM di PBAKL 2010 (70 %).
Peserta perlu melayari www.facebook.com/klik ITNM , menulis judul yang diulas berserta nama penuh dan alamat e-mel pengulas di ‘dinding’ Facebook ITNM, klik ‘pautan’ di bawah ‘dinding’, salin alamat sumber URL blog atau nota Facebook, tampal sumber URL di ‘pautan’ terbabit, klik ‘Kongsi’ dan ulasan buku akan terpapar di Facebook ITNM.
Peraduan ini menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 untuk tempat pertama, kedua (RM3,000) dan ketiga (RM1,500), manakala bagi paparan buku paling kreatif pula menerima hadiah wang tunai RM500.
Hadiah utama bagi peraduan terbabit iaitu kereta Perodua Myvi dimenangi Guru SMK Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor, pada PBAKL 2009, manakala maklumat lanjut hubungi Mohd Khairulanuar Manshor di talian 03-4149 7210, e-mel anuar@itnm.com.my, Norhasydah Ayub di talian 03-4149 7210 atau e-mel shida@itnm.com.my.