News

Perjumpaan pejuang bahasa sepi?

25 Feb 2010 - Sinar Harian

 

Oleh - Wak Lanang

Bahasa jiwa bangsa, begitu slogan membuktikan bahawa pentingnya bahasa dalam sesebuah kehidupan bangsa. Atau daripada pengertian lain, tanpa bahasa tidak wujud bangsa. Manakala pada slogan dalam kalangan cendekiawan menyatakan bahawa ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Ertinya, sesuatu bangsa hanya di kenal dari bahasanya. Tapi bagaimana mahu mengenal bangsa Melayu kalau sebahagian besar daripada rakyat yang kini berjumlah kira-kira 25 juta tidak mengamal dan menggunakan bahasa Melayu/Kebangsaan dalam kehidupan seharian.

Amat dikesali bahawa Bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 152 yang mana ia wajar ditutur dan diguna oleh segenap lapisan masyarakat tanpa membezakan ianya di sektor awam atau swasta. Namun apa yang berlaku, Bahasa Melayu masih miskin penggunaannya. Lebih teruk dari zaman penjajah.

Berikutan dengan kesedaran inilah satu perjumpaan ‘Hari Pejuang Bahasa’ diadakan di Dewan Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tujuan mengingati hari pejuang bahasa dalam perjuangannya untuk “menagih” supaya Bahasa Melayu dimahkota dan didaulatkan di negara yang berdaulat, negara Malaysia.

Perjumpaan itu dianjurkan bersama oleh tiga persatuan Penulis iaitu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dengan kerjasama di antaranya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), DBP, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf dan turut hadir Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Datuk Pendeta Dr Ismail Hussein.

Wak yang turut menyelitkan diri hadir pada majlis yang amat bermakna itu tidak bertujuan untuk memberi info mengenai ceramah yang terdapat dalam pertemuan itu yang hadiri oleh jumlah peserta yang amat menyedihkan kerana ianya dihadiri kira-kira 500 orang sahaja.

Wak agak hairan melihat keadaan itu mengapakah acara yang begitu besar maknanya kepada bahasa, hanya sekelumit daripada kira-kira 25 juta rakyat Malaysia hadir pada majlis itu.

Tapi kalau memang menjadi tujuan utama penganjur tidak membuka kepada umum dan pertemuan itu hanya dikhaskan kepada “pejuang bahasa” saja, maka Wak dengan rendah hati memohon maaf, lantaran ianya di luar minda Wak bahawa ia hanya untuk pejuang bahasa dan bukan untuk umum, maka akan jadilah Bahasa Melayu itu hanya untuk sebahagian kecil rakyat, terutama hanya milik pejuang bahasa.

Dalam perkara ini izinkanlah Wak memetik serangkap kata daripada pembentang kertas kerja dalam majlis itu, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan yang juga bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hassan Ahmad yang mana antara lain beliau menegaskan dalam kertas kerjanya: “mengapakah kita masih perlu bergelut dengan soal ‘memartabatkan, Bahasa Melayu dan ‘memperjuangkan Bahasa Melayu manakala Dr Ridhuan Tee menyatakan “Apa lagi yang nak kita perjuangkan, kerana semuanya sudah bukan sahaja ada tetapi diakui dalam Perlembagaan Persekutuan 152, yang penting ialah pelaksanaannya.”

“Bahasa menunjukkan bangsa, di mana bangsa tanpa bahasa”.

Perjumpaan pejuang bahasa sepi?