KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini meluangkan masa menjayakan program "bacaan buku" yang buat julung kali diadakan sebagai kemuncak pengisian aktiviti sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010.
Konsep bacaan buku itu anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) yang diadaptasi ketika menyertai Frankfurt International Book Fair di Jerman, adalah aktiviti intelektual yang menjadi amalan di kebanyakan negara Barat tetapi tidak pernah dilaksanakan dalam skala formal pada acara di Malaysia.
Pada program ini, Najib membaca buku hasil tulisan beliau "Menakhoda Zaman" yang dilancarkan untuk pasaran umum sejak Oktober tahun lalu. Kira-kira 100 pengunjung yang membeli naskhah buku berkenaan menyertai program "bacaan buku" itu bersama-sama Perdana Menteri di Gerai ITNM Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada program itu, Perdana Menteri membacakan 23 baris ayat tulisan beliau yang dipetik dari Bab 5: Pertarungan Minda Perang Masa Depan, muka surat 32 hingga 35, yang diikuti oleh peserta lain.
Dalam bab 5 itu, Najib menekankan mengenai keupayaan minda yang menjadi kekuatan yang lebih utama dan kritikal dalam menentukan kejayaan kepada organisasi, bangsa atau negara.
Katanya, keupayaan minda yang hebat membolehkan seseorang itu menggarap, menaakul dan mencerap pelbagai masalah secara lebih intelektual, rasional dan berstrategi.
"Jika dikaji dalam konteks tafsiran semasa, ayat al-Quran dan hadis itu menuntut agar kita sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan segala bentuk kekuatan untuk menghadapi cabaran semasa," katanya.
Buku "Menakhoda Zaman" diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Buku itu menghimpunkan pelbagai idea, kritikan dan pandangan Najib yang digarap secara jujur apabila memperkatakan tentang kelemahan anak bangsa, bagaimana masyarakat perlu bangkit untuk menyahut cabaran, apakah cara untuk menggerakkan perubahan dan laluan mana sebaiknya dipilih untuk membolehkan gagasan membina masa depan itu dapat dicapai demi kemajuan negara dan kemakmuran rakyat seluruhnya.
Perdana Menteri kemudian meluangkan masa kira-kira 30 minit berkunjung ke gerai yang menyertai PBAKL 2010.