Oleh Nazmi Yaakub
Hasrat terbabit boleh direalisasikan melalui terjemahan ke pelbagai bahasa
WAWANCARA Sofa Putih di gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 membuka perspektif kepentingan terjemahan karya sastera tanah air ke pelbagai bahasa besar dunia.
Program itu sekali gus membebaskan kepungan orientasi pemikiran yang hanya menjuruskan penterjemahan ke bahasa Inggeris, turut mengingatkan khalayak terhadap kepentingan negara memperkenalkan kebudayaan, kesusasteraan dan kesenian di pentas antarabangsa.
Datuk (Dr) Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, berkata karya sastera tanah air sudah banyak diterjemahkan ke bahasa Inggeris, tetapi kurang diterjemahkan ke bahasa lain di Eropah seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, Itali dan Russia.
“Jumlah pengguna bahasa Sepanyol sangat besar sehingga menduduki pada senarai ketiga atau keempat dalam bahasa besar di dunia selepas bahasa Mandarin dan Inggeris dengan sebahagian penggunanya di dunia Amerika Latin.
“Bagaimanapun, orientasi kita lebih banyak kepada bahasa Inggeris kerana kita lebih menerima didikan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK),” katanya pada wawancara yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd Khair Ngadiron.
Baha Zain turut mengingatkan khalayak akan tradisi kolonial Inggeris menyerang pemikiran bangsa sehingga melupakan peradaban dunia besar yang lain seperti Jepun, China, Sepanyol, Perancis dan Jerman.
“ITNM nampaknya sudah mengorak langkah berpandangan jauh apabila memperkenalkan unsur kesenian, kebudayaan dan peradaban kita di tengah media antarabangsa.
“Pada zaman globalisasi ini, kita bukan hanya perlu memperkenalkan Proton, kelapa sawit, minyak, konduktor elektrik dan alat elektronik, bahkan perlu memacu usaha yang fundamental, iaitu ‘mengeksport’ kemanusiaan dan ketamadunan kita,” katanya yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, pada 19 Mac lalu.
Beliau berkata, kesusasteraan membawa unsur kemanusiaan, peradaban dan tamadun bersifat sejagat sehingga bangsa seperti Jepun, Jerman dan Inggeris dipandang tinggi bukan semata-mata kehebatan teknologi, sebaliknya sastera, bahasa dan nilai yang terpendam.
“Saya akui usaha penterjemahan bukan mudah dan sangat mahal harganya dengan pulangan pendapatan daripada terjemahan itu merayap saja, tetapi ia menjadi pelaburan budaya yang sangat besar makna kepada tamadun bangsa,” katanya yang kini sedang menyiapkan dua kumpulan puisi terbaru, Gendungan di Taman dan Sajak-sajak Merdeka.
Mengenai penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan itu, Baha Zain menganggapnya sebagai amanah yang perlu digalas khususnya dalam bentuk sumbangan persuratan kepada bangsa dan negara serta mengangkat sastera tanah air ke pentas dunia.
“Memang selepas menerima ijazah kehormat itu, saya sendiri memikirkan masalah itu kerana gelaran datuk pun saya jarang pakai termasuk di kad nama, sekali gus menjadikannya bukan kepujian untuk bermegah.
“Pada satu segi, gelaran pada saat sisa usia saya 70 tahun lebih, tidaklah saya sambut dengan kemeriahan luar biasa kerana saya lebih banyak menghitung setahun hingga tiga dan perkiraan usia yang sudah tidak lagi panjang,” katanya.
Baha Zain mengharapkan anugerah itu akan merangsang penulisannya agar lebih jujur dan ikhlas serta memberi sesuatu yang bermanfaat kepada bangsa dan negara, tanpa mengharapkan ganjaran wang ringgit.
“Setiap kali saya menulis, di belakang pemikiran saya ialah moga-moga karya itu memberi kesan dan manfaat kepada pembaca serta berdoa agar Tuhan menganugerahkan taufik dan hidayah untuk membolehkan saya terus berkarya,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai kepentingan teknologi maklumat kepada sastera, beliau berkata ia menandakan kemenangan luar biasa kepada penulis, pengarang, seniman dan sasterawan apabila mendapat kebebasan di hujung jari sehingga ciptaan sampai kepada orang lain dalam hitungan saat.
“Namun, kemenangan dalam kebebasan biasanya tiada ganjaran material, sebaliknya yang ada adalah pulangan kerohanian dan mental termasuk kebebasan mencipta di laman blog tidak memberi kewangan yang banyak kecuali kita memaparkan iklan.
“Bagaimanapun, pencipta dan pencinta karya sastera pasti tidak akan berpuas hati untuk membaca melalui internet, sebaliknya mereka mahu membawa buku ke bilik tidur, ruang rehat atau laman rumahnya,” katanya yang turut menulis di laman blog.
Mengenai bukunya, Berguru Pada Binatang, beliau menyerahkan saja kepada penerbit dan penterjemah kerana kos penterjemahan yang tinggi untuk ditanggung sekiranya dilakukan secara bersendirian.
Bagaimanapun Mohd Khair menganggap buku berkenaan menarik untuk dipersembah dalam pelbagai bentuk dan karya Baha Zain Kumpulan puisi Baha Zain, Menangguh Kebenaran dan Puisi Lain diterjemah ke bahasa Sepanyol dengan judul, Posponiendo La Verdad Y Otros Poemas.