SEMINAR Pencinta Buku Malaysia bertema Memperkasa Budaya Membaca Karya Terjemahan akan diadakan di Dewan Utama, Wisma ITNM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 21 September ini, jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Kenyataan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) melalui e-mel berkata, seminar itu akan menjawab segala persoalan bagaimana peningkatan besar jualan buku terjemahan di Malaysia berlaku sehingga mampu mencetuskan fenomena baru yang bakal mengubah prasarana keseluruhan industri buku negara.
“Tahun ini adalah tahun ke-4 penganjuran seminar berkenaan dan ia diteruskan sebagai medan ilmu di kalangan pencinta buku bagi mengadakan diskusi mengenai pelbagai isu berkenaan dunia penterjemahan, perbukuan, penerbitan, dan pembacaan,” katanya.
Seminar anjuran ITNM dengan kerjasama Komuniti Buku Online (KBO) sebagai sokongannya terhadap usaha mengembangkan peradaban ilmu yang boleh dicapai menerusi transformasi besar-besaran dalam aktiviti terjemahan dan pemantapan budaya membaca dalam sesebuah masyarakat.
“Sejumlah lapan kertas kerja berkaitan dunia penterjemahan sebagai gelanggang menambah ilmu akan dirasmikan Kartunis terkenal tanah air, Datuk Mohamed Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat yang akan turut membentangkan kertas dasar, Penghayatan Karya Terjemahan Melalui Watak Komik,” katanya.
Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah Peranan ITNM dalam Memperkasakan Karya Terjemahan, Peranan Komuniti Buku dalam Pembudayaan Pembacaan Karya Terjemahan, Pengalaman Estetika Membaca Karya Terjemahan: Perspektif Penterjemah, Pengalaman Estetika Membaca Karya Terjemahan: Perspektif Pencinta Buku dan Pengalaman Estetika Membaca Karya Terjemahan: Perspektif Penulis.
Seminar dibuka kepada semua masyarakat dan yuran penyertaan RM50 dikenakan untuk organisasi, RM30 (individu) dan RM10 (pelajar) dan maklumat lanjut hubungi talian 019-217 7204 (Mohd Khairulanuar) / 019-390 6349 (Norzaiti), e-mel anuar@itnm.com.my , norzaiti@itnm.com.my atau layari www.itnm.com.my.