Oleh Nazmi Yaakub
TEKAD penyair tanah air dalam memperjuangkan bahasa Melayu yang keramatnya tercatat pada Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 terpancar pada Malam Pengucapan Puisi 152 meskipun laungan puitis mereka bergema di hadapan khalayak yang sederhana jumlahnya.
Kehadiran sekitar 100 khalayak pada majlis di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, Ahad lalu, boleh dianggap mendukacitakan kerana acara itu membuka tirai sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 yang diadakan pada keesokan harinya.
Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari itu boleh dijadikan alasan untuk menyedapkan hati, tetapi komitmen khalayak sastera terutama pengarang dan penyair wajar diletakkan di bawah mikroskop untuk dilihat punca kurangnya kehadiran.
Apatah lagi sudah timbul pelbagai desas-desus di sebalik penganjuran acara yang dianggap agak tergopoh-gapah, terutama melihatkan tidak ramai tokoh penting Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang hadir, selain kehadiran wakil persatuan penulis peringkat negeri sangat mengecewakan.
Ketidakhadiran penyair berbangsa Cina mungkin dapat difahami kerana kesibukan menyambut Tahun Harimau, tetapi kegagalan penyair yang mewakili pelbagai etnik dan bangsa boleh ditafsirkan perjuangan bahasa Melayu lebih akrab pada bangsa Melayu.
Justeru, tidak hairanlah pentas dan latar Pengucapan Puisi 152 tidak ada bezanya dengan malam apresiasi puisi yang lain, kecuali kain rentang dan tema deklamasi puisi lebih berfokus iaitu kepada soal bahasa Melayu.
Ketua 2, Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Datuk Dr Mohamed Mansor Abdullah atau nama penanya M Ashikin, membuka tirai majlis dengan puisinya, Bahasa Bonda Jiwa Bangsa yang Megah, meluahkan kebanggaan yang sewajarnya dikongsi oleh semua rakyat di negara ini.
Denyut nadimu, bahasaku
ombak nafaskan satu bicara
menunjang kewibawaan negara tercinta
menjadi akar umbi ketamadunan
satu bangsa yang gah terbilang.
Ketua 1, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Ali Hanafiah, pula mengeluh terhadap pengkhianatan yang memamah martabat bahasa ibunda di tanah air sendiri lewat puisinya, Persidangan Keranda, sambil mengingatkan perjuangan bahasa bakal menjadi keranda yang berterbangan untuk membalas dendam.
Siapakah algojo bahasa
untuk diletakkan dalam keranda
bakal kita semah dan usung
dalam perarakan bangsa yang berantakan.
Semangat anak Johor itu bagaikan menyeberangi sempadan negeri apabila penyair Pahang, Ramli Selamat atau lebih dikenali sebagai Marsli NO, tampil dengan puisinya, Hutang Bahasa yang menyambut tekad dengan bahasa mudah, tetapi membuak dengan marah tak tertahan.
Kerana hutangnya, kita tahu
tak mampu kita lunaskan
hanya dengan janji
dan sandiwara.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron, pula mengejutkan khalayak dengan bakat deklamatornya apabila tampil dengan puisi Seru Bahasa karya Nazmi Yaakub.
Dengan badik petir
kita tarung kata batil
diksi doa jadi ribut
lidah mantera lalu kalut
dari tanah kita pulangkan
mereka ke lahad likat.
Penyair Pahang, Daeng Ramli Muhammad Akil atau lebih dikenali sebagai Daeng Ramliakil, membacakan puisi prosanya, Puisi Maruah Bahasa Jawi, di samping anaknya, Muhammad Hidhir yang memanfaatkan gaya surat yang dituju kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pasangan bapa dan anak itu mengembalikan kenangan terhadap jasa ayahanda Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang terkenal sebagai Bapa Pembangunan, tetapi dalam masa sama banyak menyumbang kepada pembangunan bahasa Melayu.
Acara awalnya pertegak
tiang seri bahasa bangsa
Hadiah Sastera 1971
jati diri bahasa ialah
semangat ialah maruah
ialah kebahagiaan ialah
kepuasan.
Pengerusi Majlis pada Pengucapan Puisi 152, Dr Ibrahim Ghaffar, tampil dengan puisinya, Munafik Bahasa: Sia-sianya Akta 152, dengan diksi yang keras terhadap kelompok yang curang terhadap bahasanya, sekali gus mengingatkan adat istiadat tidak lagi menjadi pusaka yang mulia dan watak Hang Jebat dihidupkan kembali apabila bahasa dicederakan.
Belasungkawa itu
bahasa jiwa bangsamu
di sana nanti, jawablah segala pertanyaan tepu
dan kemunafikan tajalli satu persatu.
Langit malam Pengucapan Puisi 152 turut dipecahkan oleh deklamasi Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), A Ghafar Ibrahim (Agi), Khalid Salleh, Mohamad Daud Mohamad, Dr Ahmad Razali Yusuf, Jamaludin D, Saring Sirad (Ismas Saring), Ahmad Sarju, Razali Mohd Yusof, Md Yusuf Ali (Ria Asmira), Hamdan Abd Rahman dan Salleh Mohd Tahir.
Malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi puisi Persatuan Anjung Seni Bingkas Kebayan, Malaysia (Bingkas Kebayan) dengan ahli paling muda, Amir Haikal Supardi, 6, dan paling tua, Nur Suhaila Abd Razak, 20, membacakan puisi Ladin Nuawi, Mahkota Benua.
Terdahulu, majlis tahlil turut diadakan sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Kuala Lumpur, yang dihadiri Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Ketua 1 Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein.