Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Karya sastera bermutu boleh diketengahkan ke persada antarabangsa
PENGANJURAN anugerah dan hadiah sastera peringkat antarabangsa tidak hanya bermakna laba dalam bentuk wang kepada pengarang yang memenanginya, sebaliknya turut berfungsi sebagai promosi penting untuk pemasaran buku serta mengangkat sastera negara asalnya.
Tidak hairanlah kemenangan pengarang dari India seperti Salman Rushdie melalui Midnight’s Children; Arundhati Roy (The God of Small Things); Kiran Desai (The Inheritance of Loss) dan terbaru, Aravind Adiga (The White Tiger) dalam Hadiah Man Booker turut melonjakkan ranah sastera negara mereka.
Peluang itu sebenarnya agak sukar untuk diambil oleh pengarang yang menulis dalam bahasa ibunda kerana banyak anugerah dan hadiah sastera seperti Man Booker mengkehendaki karya yang ditulis dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, tidak semua anugerah dan hadiah sastera mengehadkan karya asal dalam bahasa Inggeris atau bahasa Perancis, sebaliknya Anugerah Sastera Antarabangsa Impac Dublin (Anugerah Impac) turut mengambil kira karya terjemahan yang diterbitkan pada tahun sebelumnya dengan judul asal disyaratkan buku yang terbit dalam tempoh empat tahun sebelumnya.
Terbaru, Hadiah Sastera Man Asia mengumumkan format terkini penilaian apabila mula dibuka kepada semua novel karya pengarang Asia dengan syarat ia diterbitkan dalam bahasa Inggeris termasuk karya terjemahan dengan nilai hadiah dinaikkan kepada kira-kira RM100,000 (AS$30,000).
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ruzy Suliza Hashim, berkata kerajaan dan penerbit yang berkaliber termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sepatutnya mengambil peluang penilaian hadiah buku untuk mempromosikan karya sastera tempatan.
“Cuma kita ada beberapa perkara yang sering berlaku pada karya terjemahan kita iaitu tidak mencapai tahap yang baik berbanding karya negara lain seperti Indonesia melalui novel Pramoedya Ananta Toer yang mempunyai mutu penterjemahan yang tinggi.
“Tidak hairanlah kita mudah mendapati buku Pram dalam bahasa Inggeris di rak buku di kebanyakan perpustakaan di luar negara kerana penterjemahan yang bagus mendorong pihak perpustakaan tidak ragu-ragu untuk meletakkan buku itu di institusi mereka,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di UKM, Bangi, baru-baru ini.
Dr Ruzy Suliza yakin bahawa penterjemahan yang baik menjadi faktor penting untuk melayakkan karya terjemahan memenangi hadiah sastera seperti dibuktikan karya pengarang Belanda, Gerbrand Bakker, yang asalnya ditulis dalam bahasa Belanda dan memenangi Anugerah Impac 2010.
“Ini menunjukkan mereka tidak melihat sangat kepada faktor sama ada karya itu terjemahan atau karya asal, sebaliknya sekiranya ia bermutu tinggi dan terjemahannya bagus, ia sudah menjadi kayu ukur yang baik untuk memenanginya.
“Kita juga boleh dapati pengarang yang memenangi hadiah dan anugerah seperti itu menulis berkaitan pengalaman lampau mereka sebagai penulis diaspora, manakala sebahagian pula yang menetap di tanah air, mengangkat ‘warna’ tempatan,” katanya.
Mengenai hadiah dalam bahasa asing yang lain seperti Perancis dan Amerika Latin, Dr Ruzy Suliza mengakui, khalayak sastera tempatan memang kurang mencari peluang tetapi buat sementara waktu, tumpuan wajar diberikan kepada hadiah yang mengambil kira penterjemahan dalam bahasa Inggeris.
“Kita wajar mencuba cara yang paling mudah terlebih dulu kerana kita mempunyai ramai penterjemah yang boleh menterjemah daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris sedangkan untuk bahasa lain, kita kekurangan sumber manusia.
“Seandainya kita sudah berjaya menempatkan karya sastera tempatan sama ada dalam senarai panjang, pendek atau memenanginya, mungkin kita boleh mencuba pula dalam bahasa lain,” katanya.
Dr Ruzy Suliza menganggap pengarang tanah air belum diuji dalam konteks penilaian hadiah kerana mereka belum pernah memenangi hadiah pada peringkat yang lebih luas kecuali Anugerah Penulisan SEA.
“Bagaimanapun penilaian Anugerah Penulisan SEA membenarkan setiap penulis dari negara serantau memenanginya dan terpulang kepada jawatankuasa tempatan untuk memberikan satu nama selepas penilaian dibuat.
“Kita tidak pernah cuba pada tahap yang lebih tinggi, tetapi siapa yang patut mengusahakan ke arah ini, mungkin Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana pencalonan Anugerah IMPAC dibuat oleh perpustakaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd Khir Ngadiron, berkata pihaknya akan menghantar dua novel yang melalui proses penilaian dalaman dan luaran kepada Urus Setia Hadiah Man Asia kerana setiap syarikat penerbitan dibenarkan mengirimkan hanya dua judul.
“Ia sebenarnya usaha yang baik untuk memperkenalkan negara kita dan kita memang jarang melihat karya kita ditonjolkan di luar negara, sekali gus Hadiah Man Asia memberi ruang kepada penerbit untuk turut sama mengangkat sastera tanah air.
“Memang wajar penerbit yang berbuat demikian berbanding penulis kerana mungkin mempunyai kekangan tersendiri dan biarlah penerbit yang bertanggungjawab untuk memasar dan mempromosi karya mereka,” katanya pada pertemuan di pejabatnya di ITNM, Wangsa Maju, baru-baru ini.
Mohd Khir memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa melihat ruang dan peluang baru untuk buku terjemahan kerana mendapati hadiah buku menjadi salah satu cara promosi seperti yang berlaku pada novel White Tiger karya Aravind Adiga yang memenangi Hadiah Man Booker 2008 yang menjadi sangat popular.
Mengenai tanggapan ITNM mengambil masa yang lama untuk mengangkat buku terjemahannya ke arena hadiah antarabangsa, Mohd Khir berkata, pihaknya terlebih dulu memberi tumpuan kepada usaha membina jenama ITNM dengan mencari rakan kongsi pintar di luar negara.
“Ini membantu kami untuk mengenal pasti wujudnya anugerah yang turut mengambil kira buku terjemahan kerana rakan kongsi kami itu bakal mencadangkan penyertaan ke dalam anugerah berkenaan.
“Kita sebenarnya tidak terlambat untuk Hadiah Man Asia kerana ia baru membuka penyertaan kepada buku yang diterjemah ke bahasa Inggeris, selain kami sendiri baru terbabit dalam penterjemahan karya sastera sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.
Pada peringkat kebangsaan, buku terjemahan ITNM turut dipertanding dan dinilai dalam hadiah buku termasuk buku Sejarah Matematik dan Alam Matematik yang berjaya menerima anugerah daripada Persatuan Sains Matematik Malaysia (PESAMA), baru-baru ini.
“Bagaimanapun, ITNM tetap mengharapkan badan lain juga perlu mengambil tindakan proaktif dalam mempromosi karya tempatan kerana ia sebenarnya memberi nilai tambah kepada industri buku dan dunia sastera tanah air.
“Kalau kita lihat karya pemenang Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan, kita dapati karya mereka diterjemah terlebih dulu dan barulah karya mereka menerima anugerah, sekali gus menunjukkan kita perlu mempergiatkan usaha ini untuk mencalonkan pengarang kita pada pengiktirafan seperti itu,” katanya.