KUALA LUMPUR – Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan menerbitkan 130 judul buku bacaan tambahan sains dan matematik yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu untuk dibekalkan ke sekolah rendah dan menengah pada penghujung tahun depan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd. Khair Ngadiron berkata, penerbitan buku itu bertujuan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam bidang sains dan teknologi, di samping menarik perhatian pelajar sekolah untuk meminati bidang itu sejak usia muda.
Beliau berkata, pada ketika ini, pihaknya sedang mengenal pasti buku-buku sains dan matematik dari United Kingdom, Jerman dan Amerika Syarikat untuk diterjemahkan.
“Kita kena akui tidak semua yang boleh memahami bahasa Inggeris, jadi kita kena bantu pelajar terutama di luar bandar untuk memahami konsep sains dan matematik dengan menterjemahkannya dalam bahasa Malaysia.
“dengan menterjemahkan buku-buku tersebut, ia bukan sahaja membuktikan bahawa bahasa kita boleh digunakan sebagai bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik, tetapi juga sebagai jambatan ilmu untuk menarik minat pelajar mendalami subjek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 di sini semalam.
Mohd. Khair berkata, ITNM juga sedang mengenal pasti 50 buku yang bertemakan kreativiti untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bagi memupuk pemikiran kreatif di kalangan pelajar sekolah. – Bernama