Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) adalah sebuah syarikat berhad yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada 14 September 1993 dengan tujuan untuk mengangkat industri terjemahan dalam negara, menangani urusan berkaitan terjemahan dan kejurubahasaan, selain bertanggungjawab merangsang usaha pemindahan ilmu pada semua peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Dengan modal asas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, dan pentadbirannya yang diuruskan Kementerian Pelajaran Malaysia, ITNM bergerak selari dengan falsafah korporatnya untuk membina sebuah masyarakat progresif berteraskan sains dan teknologi, serta berusaha memperkaya ilmu dan menggalakkan daya saing negara dalam ekonomi serantau.